22/02/19

Review Filem Happy Death Day 2U


Filem:
Happy Death Day 2U

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Christopher Landon

Genre:
Ngeri

Pelakon:
Jessica Rothe, Israel Broussard, Suraj Sharma, Sarah Yarkin, Ruby Modine, Phi Vu,
Rachel Matthews, Steve Zissis, Charles Aitken, Laura Clifton, Missy Yager, Tran Tran & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Februari 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Theresa `Tree` Gelbman yang mendapati dirinya mati berkali-kali disebabkan bahaya yang sedang dihadapinya. Adakah Theresa dapat menyelesaikan misteri tersebut dan seterusnya menyelamatkan dirinya daripada malapetaka menakutkan iniSaksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda pada 21 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menonton filem Happy Death Day 2U di TGV Cinemas One Utama pada 21 Februari 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, filem ini merupakan sekuel kepada filem pertamanya yang bertajuk Happy Death Day. Apa yang menariknya ialah para pelakonnya masih dikekalkan dan lebih membuatkan kami yang menonton teruja kerana filem sekuel ini kembali kepada kejadian yang berlaku pada perjalanan cerita filem pertamanya tetapi kisahnya pula 100 peratus berubah daripada kisah filem pertama. Ini adalah suatu teka-teki yang menarik untuk dilihat pada filem sekuel kali ini. Jadi, cadangan kami buat anda yang belum pernah menonton filem pertama iaitu Happy Death Day ini agar menonton terlebih dahulu supaya anda lebih memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan di dalam filem sekuel ini.



Perbezaan antara filem sekuel Happy Death Day 2U dan filem sulungnya Happy Death Day bukan sahaja sekadar terarah kepada jalan ceritanya. Tetapi, genre untuk kedua-dua filem juga boleh dikatakan berbeza. Jika pada filem Happy Death Day, para penonton pasti sentiasa diberikan kejutan disebabkan filem tersebut lebih kepada unsur-unsur seram, misteri dan thriller. Namun, untuk filem Happy Death Day 2U ini pula dapat dilihat kepada elemen drama, sains fiksyen serta humor. Walaupun kedua-dua filem tetap mengekalkan elemen misteri melalui watak pembunuh yang memakai topeng berwajah bayi tersebut namun perasaan menonton kedua-dua filem ini tidak sama.


Filem kali ini menampilkan jalan cerita yang pada kami agak menarik kerana ia memberi fokus kepada penggembaraan masa. Happy Death Day 2U ini sebenarnya merungkai kembali punca sebenar kepada penyebab terjadinya kejadian misteri yang dialami oleh watak Three yang sebenarnya ada hubung kaitnya dengan watak rakan Carter iaitu Ryan yang telah mencipta satu mesin yang berfungsi untuk membawa manusia pergi ke dimensi lain tetapi melalui kehidupan yang sama daripada segi keluarga dan rakan-rakan sekeliling. Pada awalnya, kami menjangkakan filem kali ini akan memberikan fokus kepada Ryan pula dan Three hanya sekadar watak pembantu utama namun apabila babak penceritaan berubah dimana Three bangun dan kembali semula kepada hari lahirnya untuk sekali lagi berhadapan dengan pembunuh bertopeng bayi untuk dibunuh dan mati berkali-kali membuatkan kami rasa begitu teruja untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.  


Jika anda telah menonton filem pertamanya dan sangat menyukainya, potensi besar untuk and menyukai sekuel filem Happy Death Day 2U ini agak tipis jika anda masih mengharapkan filem ini mengekalkan gaya 'slasher' seperti mana yang boleh ditonton pada filem Happy Death Day. Seperti yang dikongsikan pada perenggan sebelum ini, filem ini lebih fokus kepada watak-watak utamanya di dalam merungkai dan menyelesaikan misteri tentang apa sebenarnya yang berlaku dan dihadapi oleh watak Three ini. Bukannya tidak ada babak-babak mengerikan melibatkan pembunuh bertopeng bayi. Ia masih ada tetapi tidak terlalu banyak. Manakala bagaimana Three menghadapi pelbagai jenis kematian pula pada kali ini dipaparkan di dalam keadaan yang lebih bersifat humor. Secara tidak langsung bagi anda yang masih mengharapkan untuk menikmati cara kematian Three seperti mana pada filem terdahulu, kami cadangkan anda untuk tolak ketepi perkara tersebut dan cuba menikmati filem sekuel ini yang membawakan gaya berlainan dan tersendiri.  


Apa yang menjadikan sekuel filem Happy Death Day 2U ini sangat menarik pada perhatian pihak kami ialah elemen kekeluargaanya yang betul-betul menangkap rasa di jiwa. Bayangkan pada kehidupan sebenarnya yang dilalui anda, orang yang anda paling sayang sudah meninggal dunia atau anda sendiri tidak pernah bertemu dengan orang yang disayangi tersebut kerana tidak berpeluang berbuat demikian. Tetapi, apabila anda memasuki dimensi kehidupan versi lain dimana anda dapat bertemu, bertentang mata, berpegang tangan dan saling bersentuhan serta berpelukan dengan orang yang anda sayang dan rindukan. Adakah anda masih ingin pulang ke dimensi dunia anda yang asal atau ingin kekal tinggal di dalam dimensi yang baru anda masuki? Ini adalah antara konflik yang melanda watak utamanya Theresa yang sangat menarik dan berjaya memberikan kesan emosi yang hebat kepada sesiapa sahaja yang menonton filem ini.


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Happy Death Day 2U ini di pawagam berhampiran bermula pada 21 Februari 2019:

1) Jika anda menonton filem Happy Death Day maka anda wajib menonton sekuel filem ini bagi mengetahui punca sebenar mengapa watak Three yang terpilih untuk menghadapi kejadian malang itu berulang kali. Filem ini telah berjaya menjawab persoalan tersebut dengan cara yang tersendiri.  

2) Filem Happy Death Day 2U lebih berunsurkan humor dan sains fiksyen berbanding filem pertama yang diminati ramai kerana membawakan elemen seram,misteri dan kejutan di dalam penceritaanya. Namun, filem ini sangat menarik pada pandangan kami disebabkan beberapa babak yang mempertaruhkan elemen kekeluargaan serta emosi yang berjaya memberi kesan yang cukup mendalam buat para penonton. Lakonan yang dipersembahkan oleh Jessica Rothe sangat hebat dan dan mempesona.

3) Teka-teki yang bermain di dalam sekuel filem Happy Death Day 2U ini pada permulaan sehingga pertengahan filem boleh dikatakan antara kekuatan dan tarikan utama untuk anda datang menonton. Kami boleh katakan susun atur perjalanan cerita dan kesinambungan setiap watak dan babak pada sekuel filem ini sangat kemas, kreatif dan memberikan impak yang menarik sepanjang tontonan.


Kesimpulannya, sekali lagi kami tegaskan bahawa adalah lebih baik anda menonton terlebih dahulu filem Happy Death Day sebelum pergi ke pawagam untuk menonton filem sekuel Happy Death Day 2U ini. Ia sebagai langkah awal agar anda tidak keluar pawagam terlalu awal kerana tidak memahami jalan cerita atau berasa bosan dengan filem ini. Untuk kami yang sebelum ini telah menonton filem Happy Death Day, apa kami boleh katakan filem Happy Death Day 2U ini walaupun menampilkan genre yang berbeza namun masih mempunyai keistimewaan dan daya tarikan tersendiri untuk membuatkan kami yakin untuk menyatakan adalah berbaloi membeli tiket untuk menonton filem ini. Jadi, jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini. Selamat menonton! 

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Filem Can You Ever Forgive Me. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. Balasan
    1. bergantung pada penonton
      ada yang suka filem pertama berbanding sekuel dan begitu sebaliknya
      tetapi, yang pasti kena tonton filem pertama dulu sebab jalan cerita dia berkait :)

      Padam