Review Filem Can You Ever Forgive Me?


Filem:
Can You Ever Forgine Me?

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Marielle Heller

Genre:
Biografi, Komedi & Drama

Pelakon:
Melissa McCarthy, Richard E. Grant, Dolly Wells, Jane Curtin, Ben Falcone, Stephen Spinella,
Gregory Korostishevsky, Christian Navarro, Pun Bandhu, Brandon Scott Jones,Shae D'lyn & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Februari 2019

Pengedar:
20th Century Fox

Sinopsis:
Filem ini berkisarkan tentang seorang penulis wanita bernama Lee Israel yang menyara hidupnya dari tahun 60-an sehingga tahun 80-an dengan menulis artikel profil wanita berjaya. Apabila dia tidak lagi dapat menerbitkan penulisannya, dia mula memalsukan surat yang dikatakan ditulis oleh penulis, penulis drama dan pelakon yang sudah mati. Dia berjaya menjual surat-surat palsunya dengan harga yang tinggi tetapi mengambil keputusan untuk berhenti apabila ramai orang mula curiga dengan sepucuk surat yang kononnya ditulis oleh Noel Coward. Untuk terus mendapatkan wang bagi menampung kehidupan, dia dan rakan lelakinya yang rapat iaitu Jack Hock mula menjual surat sebenar yang dicuri dari arkib perpustakaan. Sampai bilakah perbuatan Lee Israel ini akan berterusan? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda pada 28 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak 20th Century Fox untuk menghadiri tayangan media untuk filem Can You Ever Forgive Me? bertempat di GSC One Utama pada 21 Februari 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, filem ini merupakan sebuah kisah yang diadaptasi daripada kisah sebenar seorang penulis wanita yang dikenali sebagai Lee Israel. Apa yang menarik perhatian kami sewaktu menonton filem ini ialah ia membawa para penonton untuk mengikuti secara dekat kehidupan seorang penulis yang dipandang oleh majikannya sebagai seorang pekerja yang tidak lagi relevan dan bernilai kepada syarikat. Kehidupannya menjadi lebih sukar apabila dia dibuang kerja kerana ketagihannya kepada alkohol dan Lee yang mempunyai pelbagai masalah hutang perlu mencari jalan bagaimana untuk meneruskan kehidupannya bersama seekor kucing peliharaan yang merupakan satu-satunya kawan yang paling rapat yang dia pernah ada di dalam hidupnya selama ini.  


Filem ini mengingatkan kami kepada sebuah filem lakonan Leonardo DiCaprio berjudul Catch Me If You Can dimana ia berkisarkan tentang penipuan memalsukan dokumen. Untuk filem Can You Ever Forgive Me? ini pula memaparkan bagaimana Lee Israel secara tidak sengaja pada mulanya menambah baik kandungan surat yang diterimanya oleh salah seorang pelakon terkenal Amerika Syarikat untuk dijual bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupannya selepas dibuang kerja dan tidak diterima oleh mana-mana lagi syarikat penerbitan yang lain. Tanpa disangka pulangan daripada hasil penipuan yang dilakukan ini memberikan wang yang sangat lumayan dan membuatkan Lee Israel mula berasa ketagih dan seronok melakukan penipuan untuk meraih wang lebih banyak bagi menyelesaikan bebanan hutang dan masalah kewangan yang dihadapinya. Hasil pertemuan dengan rakan lamanya iaitu Jack yang merupakan seorang kaki minum serta memiliki persamaan yang sama dengan dirinya yang tidak menyukai manusia angkuh menjadikan dirinya lebih berani untuk menghasilkan serta menjual pelbagai jenis surat palsu dengan meniru tandatangan pelbagai figura hebat yang terkenal di Amerika Syarikat. Ironinya, hasil kerja tangan Lee Israel sangat hebat sehingga membuatkan ramai pengumpul serta penjual terpedaya dengan penipuan yang dilakukan oleh mereka berdua. Penceritaan menjadi lebih menarik apabila Lee Israel sekali lagi melangkah kehadapan dengan cubaan untuk menukar ganti hasil penulisan surat palsunya dengan dokumen yang asli. Nak tahu lebih lanjut anda kena tonton filem hebat ini di pawagam nanti.


Memandangkan filem ini mengisahkan tentang kehidupan seorang penulis, ia sangat dekat dengan pihak kami yang menonton. Ini disebabkan penceritaan filem ini yang sememangnya mempunyai hubung kait dengan kerjaya kami yang juga merupakan seorang penulis. Jadi, pada permulaan jalan cerita sahaja pihak kami merasa sangat terkesan melihat bagaimana Lee Israel ini dibuang kerja apabila karya-karya penulisannya tidak lagi bersesuaian dengan kehendak pembaca. Lebih menyedihkan bagaimana Lee Israel yang sebelum ini dilayan baik oleh syarikat penerbitan kerana menghasilkan keuntungan tetapi kemudian dipandang bagaikan pengemis oleh pengamal kapitalis ini terutamanya sewaktu babak Lee Israel meminta bantuan kepada syarikat penerbitan. Situasi tersebut menjentik perasaan kami kerana hakikatnya memang ia sering kali dilalui dan menghantui penulis-penulis yang berkhidmat dengan syarikat-syarikat komersial yang lebih memandang dan menghargai keuntungan tanpa langsung memikirkan untuk menghargai jasa para penulis yang sebelum ini memberikan mereka kekayaan hasil perahan idea penulisan si penulis itu sendiri. Jadi, melihatkan kehidupan Lee Israel yang putus asa ini melalui dialog kepada bekas majikannya di dalam satu babak amat menyentap jiwa. Lee menyatakan bahawa dengan umurnya yang sudah tua adalah sangat mustahil untuk dia mencuba sebuah perkara baru untuk menarik perhatian golongan-golongan muda untuk menyukainya dan seterusnya mendapatkan wang untuk hal yang dilakukan itu. Dialog tersebut apabila dipadankan dengan keadaan situasi yang sedang dialami oleh Lee sememangnya memberikan satu perasaan yang sayu kepada kami. Ia benar-benar satu babak yang menyentuh emosi dan begitu memberi kesan buat kami sepanjang tontonan.


Kami menyukai kesinambungan adegan-adegan Lee Israel di rumahnya yang memaparkan masalah ketagihan alkoholnya yang agak teruk serta keadaan kucing belaan yang dipaparkan tidak sihat dan sering mengalami bersin. Pada mulanya, kami menyangka bahawa perbuatan serta reaksi wajah kucing tersebut sekadar simbolik kepada kesukaran kehidupan yang sedang dilalui oleh Lee Israel. Namun, babak seterusnya yang memaparkan suasana dan keadaan sebenar rumah yang didiami oleh Lee Israel yang langsung tidak terurus, kotor dan berbau busuk itu sangat memberikan kejutan kepada sesiapa sahaja yang menonton. Satu perkara yang sangat menyedihkan melihat bagaimana kehidupan Lee Israel ini yang berjaya divisualkan sebagai manusia yang telah patah semangat sehingga mampu tinggal di dalam rumah seperti itu. Babak ini sangat kuat apabila ia memaparkan betapa kotornya bilik Lee Israel ini sehingga bawah katilnya dipenuhi dengan najis kucing peliharaannya yang bersepah merata-rata. Ini adalah salah satu babak yang sebenarnya sangat mengujakan kami kerana memikirkan bagaimana tekanan yang dihadapi Lee Israel ini memberi kesan kepada kehidupan peribadinya di rumah.   


Menariknya tentang filem Can You Ever Forgive Me? ini juga ialah walaupun ia berteraskan kisah kehidupan Lee Israel, namun watak-watak sekitarnya seperti Jack Hock, Anna, Alan, Andre, Marjorie dan ramai lagi di dalam penceritaan filem ini berjaya memberikan kita sebuah cerminan realiti yang menarik tentang watak-watak yang dibawakan mereka. Ia satu perkara yang cukup hebat untuk dihayati di dalam filem ini dimana kami boleh katakan setiap watak yang muncul pasti memberikan sebuah hasil lakonan yang seolah-olah nyata. Mereka membuatkan para penonton percaya bahawa watak yang dilakonkan itu sebenarnya watak manusia yang sebenar. Ini adalah satu pengalaman menarik dapat menonton filem sebegini kerana emosi suka dukanya berjaya disatukan dan disampaikan dengan tepat kepada hati penonton sehinggakan ia mampu membuatkan anda ketawa dan sedih pada satu masa yang sama. 


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Can You Ever Forgive Me? ini di pawagam berhampiran bermula pada 28 Februari 2019:

1) Filem ini bukan sekadar memaparkan realiti kehidupan seorang penulis Lee Israel yang tidak dihargai tetapi ia turut memaparkan kehidupan manusia-manusia lain yang berada dekat dengan kehidupan wanita ini. Setiap watak sebenarnya membawakan penceritaan mereka yang tersendiri menyebabkan anda yang menonton akan merasa terlalu dekat dengan semua kisah yang dipaparkan di dalam filem ini.  

2) Jenayah yang dilakukan oleh Lee Israel merupakan sebuah jenayah berat yang kreatif. Filem ini bukan dibuat untuk menyokong perbuatan jenayah tersebut tetapi sebenarnya memaparkan apa yang setiap manusia mampu, boleh atau akan buat apabila berhadapan dengan situasi yang tidak dapat diatasi dalam satu-satu fasa kehidupan mereka. Menariknya filem ini ialah pada permulaan ceritanya, Lee Israel pasti akan mengjengkelkan anda dengan sikapnya yang sangat negatif dan sukar diramal namun secara perlahan-lahan plot penceritaanya yang membuatkan anda mula memahami, merasa dekat dan bersimpati dengan watak wanita ini.

3) Suasana bandar New York juga berjaya dipaparkan di dalam filem ini bersesuaian dengan latar tahunnya sekitar 90-an. Ia bukan sekadar memaparkan sinematografi mahu pun peralatan serta busana yang selari dengan era tersebut namun kritikan sosialnya tentang kehidupan serta sikap warga kota serta para pemain seni dan sasteranya sangat menarik untuk dilihat dan dirasai. 

4) Sebuah filem yang cukup rencah rasanya dan sangat bersesuaian dengan tajuk filem ini sendiri iaitu Can You Ever Forgive Me. Kisahnya bukan sekadar menghukum Lee Israel atas kesilapan jenayahnya semata-mata tetapi sebenarnya turut memberi satu penghormatan kepada wanita ini daripada sudut keberaniannya untuk berkongsi kisah ini sebagai satu pengajaran buat semua manusia lain tentang setiap tindakan yang telah dipilih oleh wanita ini demi kelangsungan hidup.


Kesimpulannya, kami sangat yakin bahawa filem Can You Ever Forgive Me? ini sangat menarik dan wajib ditonton buat sesiapa yang menyukai kisah-kisah yang diangkat atau diadaptasi daripada kisah hidup sebenar. Lakonan pelakonnya yang mantap serta jalan ceritanya yang jujur membuatkan penceritaan filem ini begitu dekat dengan hati anda. Jadi, jangan lupa untuk menonton filem hebat ini pada 28 Februari 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Seram Dari Indonesia Berjudul Hide And Seek Minako. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan