Review Filem Captain Marvel


Filem:
Captain Marvel

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Anna Boden & Ryan Fleck

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Brie Larson, Samuel L. Jackson, Ben Mendelsohn, Djimon Hounsou, Lee Pace, Lashana Lynch& Etc.

Tarikh Tayangan:
6 Mac 2019

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Mejer Carol Danvers yang merupakan seorang juruterbang wanita United States Air Force. Apabila DNAnya secara tidak sengaja tercampur dengan genetik makhluk asing, ia membuatkannya mendapat kuasa luar biasa. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Captain Marvel di TGV Cinemas The Mines pada 6 Mac 2019 yang lepas. Umum sudah mengetahui ramai kaki wayang terutamanya peminat tegar filem Marvel yang menunggu-nunggu kemunculan filem Captain Marvel ini sebelum menonton filem Avengers: End Game pada bulan April nanti untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi perihal watak ini. Ramai menjangkakan watak Captain Marvel ini merupakan antara watak terpenting di dalam misi menewaskan Thanos nanti. Secara asasnya, filem Captain Marvel ini sebenarnya penting kepada peminat filem Marvel bagi menjawab persoalan berkaitan dengan bagaimana tertubuhnya organisasi yang diberi nama Avengers ini.


Secara jujurnya, kami berpendapat filem Captain Marvel ini menampilkan kisah penceritaan yang sangat perlahan, berserabut dan agak membosankan di dalam memperkenalkan watak adiwira yang satu ini pada permulaan awal filem. Watak Captain Marvel ini tidak berkembang dengan baik seperti yang diharapkan akibat permainan imbas kembali yang terlalu kerap dan mengelirukan para penonton. Namun, filem ini agak bernasib baik kerana diserikan dengan jenaka daripada watak Nick Fury untuk membuatkan kami masih dapat menikmati plot penceritaan filem ini yang agak meleret. Namun babak pertengahan filem ini agak menarik dan menghiburkan apabila secara perlahan-lahan pembongkaran identiti sebenar Captain Marvel ini mulai dipaparkan kepada penonton. Beberapa perubahan plot yang dilakukan pada pertengahan filem juga boleh dikatakan agak menarik dan berjaya menghilangkan kebosanan melampau kami pada peringkat awalnya.  


Ada satu perkara yang menarik untuk diperkatakan tentang pemain utama filem ini iaitu Brie Larson yang berperanan sebagai Captain Marvel. Tidak dinafikan lakonannya di dalam filem-filem terdahulu memang hebat tetapi kami tidak dapat merasai aura kehangatannya sebagai seorang superhero yang sepatutnya lebih gah daripada watak-watak yang lain. Penampilannya seakan-akan bermasalah sehinggakan lakonannya dilihat seakan-akan terlalu biasa dan gagal memberi impak yang besar kepada watak Captain Marvel ini untuk lebih dipandang tinggi. Tetapi, kami agak gembira melihat keserasian yang wujud di antara Brie dan Samuel L. Jackson yang berjaya menghangatkan filem ini di dalam babak-babak yang mempertemukan mereka berdua sebagai Carol Danvers dan Nick Fury. Tidak dapat dinafikan watak Nick Fury ini sememangnya dinanti-nanti kerana lakonannya yang bersahaja dan melucukan. Paling penting di dalam filem Captain Marvel inilah persoalan yang selama ini bermain di dalam fikiran anda berkaitan matanya akan terjawab.


Semua sudah sedia maklum bahawa mana-mana filem keluaran Marvel yang memberi fokus kepada perkembangan satu watak adiwira sahaja pasti akan menampilkan watak penjahat kelihatan gah pada awal sahaja tetapi kemudiannya ia akan menjadi satu lagi watak jahat di dalam Marvel Cinematic Universe yang akan dilupakan oleh para penonton. Watak-watak jahat di dalam filem ini sebenarnya agak mengecewakan dan tidak memberi sebarang tentang langsung kepada Captain Marvel. Kemunculan watak Ronan juga yang pada awalnya kami jangka mampu memberikan sesuatu pengalaman yang menarik sepanjang tontonan filem ini turut gagal memberi sebarang rasa. Jadi, kami percaya untuk menikmati kehebatan sebenar watak adiwira Captain Marvel hanya lah melalui filem seterusnya iaitu Avengers: End Game  sahaja.


Selain watak Nick Fury, filem ini turut diserikan lagi kemunculan watak Goose The Cat yang sebenarnya memberi pengaruh yang agak besar terhadap keseluruhan filem-filem Marvel sebelum ini. Selain berjaya memberikan sebuah kejutan yang menarik kepada anda, watak kucing ini juga akan memberikan jawapan kepada beberapa persoalan anda dalam keadaan yang melucukan. Kesimpulannya, filem Captain Marvel bukan lah sebuah filem yang gagal memberikan kepuasan secara menyeluruh cuma urutan permainan plot penceritaan pada naskhah kali ini yang sedikit lembab memberi kesan ketara kepada pengalaman menonton filem ini berbanding kisah-kisah adiwira Marvel yang lain. Namun, harus diakui filem Captain Marvel ini telah berjaya menjawab beberapa persoalan penting yang bermain di fikiran kami. Kami percaya kisah di dalam filem ini sebenarnya telah menjadikan peminat filem-filem Marvel lebih teruja untuk menantikan Avengers: End Game pada April yang akan datang dan ini merupakan salah satu bentuk promosi yang sangat kreatif daripada pihak Marvel.


Seperti biasa di dalam mana-mana filem Marvel, para penonton pasti akan setia menanti sehingga ke penghujung kredit untuk menonton selingan menarik yang bakal memberi petunjuk kepada filem seterusnya. Untuk filem Captain Marvel ini terdapat dua babak pendek yang agak menarik. Salah satunya ada hubung kait dengan filem Avengers: End Game yang bakal membuatkan anda bersorak sambil bertepuk tangan kerana perasaan teruja yang melampau. Manakala babak seterusnya ialah berkaitan gambar makhluk di atas yang lebih kepada menghiburkan anda. Jadi, pastikan untuk terus setia menanti kemunculkan kedua-dua babak ini pada bahagian pertengahan akhir kredit filem sebelum keluar dari panggung. 


Jadi, selamat menonton filem Captain Marvel di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Mac 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : In Sha Allah Jika Tiada Aral Melintang Kami Akan Ke Jakarta Indonesia Pada Minggu Hadapan Untuk Malam Gala Premiere The Sacred Riana : Beggining

Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. ni kira pengawalan kisah avengers la yek... watak2 kt avengers tu klu kita tertinggal atau tak tau watak mmg jemm rasa, kene jgk tahu psl setiap stu watak tuh

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      kena tahu perjalanan dia
      so nanti dalam Avengers End Game nanti baru leh feel lebih sikit :)

      Padam
  2. Infinity war ke endgame?.. Huhuhuhu

    BalasPadam
  3. Terkejot baca review film ni, 6/10 je. Selain tu, ianya membosankan, perlahan, serabot etc., rugi kalau film ni. Hmmmm... mcm tu saya layan Hindi Badla je la. Jom Hans layan film baru Amitabh Bahchan tu, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      ada yang suka
      kami bukan tak suka dan bukan suka sangat
      boleh layan jadi 6/10 dah kira okay la tu :)

      Padam
  4. Ermmm... Macam menarik tak menarik je gilem ni.. Hahaha.. Nak tengok ke tak nak ni? Nanti la difikirkan.. Dahcbaca review sini macam dah tau je ending nye

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem nih sederhana
      tapi bergantung pada individu
      ada yang suka sampai bagi 9/10 dan 10/10

      Padam
  5. dah tgk captain marvell nie...watak kucing tu interested ...kelakar ada lawak jugak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha..
      flarken
      watak dia campur dengan Fury memang menjadi

      Padam