Review Filem Milly & Mamet


Filem:
Milly & Mamet

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Ernest Prakasa

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Sissy Priscillia, Dennis Adhiswara, Julie Estelle, Yoshi Sudarso, Ernest Prakasa & Etc.

Tarikh Tayangan:
7 Mac 2019

Pengedar:
Horizon Film Entertainment Sdn Bhd, TGV Pictures & SG Entertainment & Advertising

Sinopsis:
Melanjutkan timeline dari kisah Ada Apa Dengan Cinta 2, kini Milly (Sissy Priscillia) & Mamet (Dennis Adhiswara) sedang sibuk menguruskan bayi mereka. Mamet yang punya semangat memasak dan sempat bekerja sebagai chef kini bekerja di kilang milik Papa Milly. Satu pilihan yang agak terpaksa, kerana kini dia jadi tumpuan keluarga kecil mereka setelah Milly berhenti dari pekerjaanya sebagai penagawi bank untuk fokus membesarkan anak.Pada suatu hari, Mamet berjumpa Alexandra (Julie Estelle),kawan rapatnya semasa belajar dulu. Dengan yakin sekali, Alexandra bercerita bahawa dia sudah mendapatkan pelabur untuk membayar idea restoran yang dulu pernah mereka mimpikan bersama. Dengan hubungan Mamet dan Papa Milly yang semakin buruk, apakah Mamet akan menerima tawaran ini dan mengejar mimpinya? Dan bagaimana Milly beradaptasi dengan hidup barunya sebagai suri rumah sepenuh masa. Saksikan filem yang sangat menarik dan menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Horizon Film Entertainment Sdn Bhd dan TGV Pictures untuk menonton filem Milly & Mamet di TGV Cinemas One Utama pada 4 Mac 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, filem Milly & Mamet ini adalah spin off filem Ada Apa Dengan Cinta dimana kali ini memberi fokus kepada dua watak rakan Cinta dan Rangga yang semestinya bersamaan dengan tajuk filem ini iaitu Milly dan Mamet. Filem yang diarahkan oleh Ernest Prakasa yang merupakan seorang pelawak ini juga semestinya membawakan unsur humor yang menyegarkan seperti mana yang boleh ditonton pada filem-filem arahan Ernest sebelum ini seperti Cek Toko Sebelah dan Susah Sinyal. 


Kami melihat filem Milly & Mamet merupakan sebuah filem yang cukup berani mengangkat kisah watak Milly dan Mamet yang dilakonkan oleh Sissy Priscillia dan Dennis Adhiswara sebagai subjek utama filem ini. Berani yang kami maksudkan disini ialah ia tidak mempertaruhkan rupa paras atau fizikal pelakon untuk menarik penonton datang menonton di pawagam tetapi ialah filem ini berani bermain dengan plot penceritaan yang kelihatannya santai tetapi sebenarnya penuh dengan mesej menarik tentang kehidupan, kekeluargaan serta makna kasih sayang. Ditambah enak lagi dengan suntikan elemen komedi yang sangat cemerlang membuatkan para penonton dengan mudah dapat menerima mesej yang ingin disampaikan di dalam filem ini. Mesej yang memberi erti cinta sebenarnya bukannya datang daripada paras rupa tetapi apabila si lelaki dan si wanita sanggup dan ikhlas untuk hidup dan berhadapan dengan segala macam cabaran dan dugaan di dalam kehidupan berpasangan. Maka, para penonton akan dibawa untuk melihat perjalanan Milly dan Mamet di dalam menempuh pelbagai cabaran hidup di dalam berumah tangga. 


Kami sukakan filem Milly & Mamet ini kerana kisah percintaannya lebih dekat dengan kisah suami isteri di alam nyata. Mamet yang sebenarnya bercita-cita ingin menjadi chef dan membuka restoran sendiri terpaksa melupakan impiannya itu demi menurut kata-kata dan mengambil hati ayah Milly dengan mengambil alih jawatan CEO dan menguruskan syarikat kilang kain kepunyaan ayah mertuanya itu. Manakala Milly pula terpaksa berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa menjaga anak mereka di rumah. Pada plot ini, kami dapat melihat bagaimana Mamet terpaksa melakukan perkara yang tidak digemarinya. Lebih menarik apabila jawatan CEO itu hanya pada nama sahaja kerana segala keputusan tidak boleh dilakukannya sendiri tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu daripada ayah mertuanya. Disini dapat dilihat bagaimana Mamet yang tidak berasa merdeka jiwanya hanya memendam rasa sehingga pada suatu hari terjadinya sebuah konflik yang besar yang menyebabkan Mamet tercabar dengan ayah mertuanya dan mengambil keputusan untuk membuka restoran sendiri selepas diajak oleh rakan lamanya. Konflik seterusnya menjadi lebih menarik apabila Milly terpaksa menggantikan posisi kosong jawatan utama yang ditinggalkan suaminya gara-gara kasihankan bapanya yang tidak sihat sewaktu kembali bertugas semasa ketiadaan Mamet. Disebabkan kesibukan serta masalah kesihatan si anak menyebabkan Mamet dan Milly mula bergaduh dan menyuarakan rasa tidak puas hati yang disimpan selama ini.


Satu faktor yang menjadikan filem Milly & Mamet ini sangat menarik untuk ditonton ialah gred warna filemnya yang ceria, cerah dan jelas pada semua adegan filem ini. Visualnya bukan sekadar kelihatan cantik pada sudut wajah pelakon sahaja tetapi ia meliputi keseluruhan latar tempat setiap babak penceritaan filem ini. Kualiti yang diberikan ini sangat kami puji kerana bukan semua filem yang mampu memberikan satu pengalaman tontonan visual yang cantik seperti filem Milly & Mamet.


Selain itu, elemen komedi yang memenuhi perjalanan cerita Milly dan Mamet ini juga bukannya komedi sembarangan. Tidak dinafikan ada unsur-unsur humor filem ini yang slapstik atau klise tetapi ada juga momen humor filem ini yang bijak dan menggeletek hati penonton untuk sentiasa ketawa tanpa dipaksa. Watak-watak pembantu yang terdiri daripada para pelakon seperti Dinda Kanya Dewi, Bintang Emon, Aci Resti dan Isyana Sarasvati sememangnya berjaya menyinar apabila babak-babak komedi yang diberikan kepada watak mereka berjaya dilunaskan dengan baik melalui lontaran dialog yang bersahaja dan dibantu oleh karakter masing-masing yang pelik, lurus bendul serta nakal. Kami pasti sesiapa pun yang menonton pasti akan terpikat dan ketawa senang hati melihat adegan-adegan lucu ini. Lihat sahaja babak-babak yang melibatkan watak Rika (lakonan Isyana Sarasvati) yang merupakan pembantu peribadi James (lakonan Yoshi Sudarso) berjaya memberikan banyak 'punchline' menarik di dalam filem ini. Antara babak-babak menarik yang pasti membuatkan wayang gempita dengan gelak tawa penonton ialah satu babak yang mempunyai kaitan dengan anjing, kucing dan monyet serta satu lagi babak menarik sewaktu Rika ingin menghalang Mamet daripada memasuki bilik pejabat bertemu dengan Milly.


Lakonan para pelakon di dalam filem ini juga boleh diberi pujian kerana watak-watak utamanya berjaya memberikan satu persembahan lakonan yang sangat menarik dan kelihatan realistik. Ia seolah-olah satu pantulan kisah kehidupan rakyat marhaen yang sebenar dan diangkat untuk ditonton di layar perak. Bukannya kisah cinta seperti drama-drama adaptasi novel yang lebih kepada kahwin paksa atau anak orang kaya tiba-tiba jatuh cinta pada gadis miskin. Keserasian di antara pelakon Sissy Priscillia dan Dennis Adhiswara yang membawakan watak Milly dan Mamet benar-benar dapat dirasakan dan suara watak ini sebenarnya mewakili suara cinta manusia-manusia di luar sana yang lebih jelas berpijak di bumi yang nyata. Jelas disini bahawa filem Milly & Mamet bukan sekadar membuatkan anda ketawa sepanjang masa tetapi pasti akan membuatkan anda tersentuh dengan permainan emosi yang berlaku di dalam hubungan Milly dan Mamet ini. Buktinya ada beberapa penonton yang gagal menahan sebak serta air mata apabila merasai konflik kehidupan pasangan berumah tangan yang sedang dihadapi oleh pasangan tersebut di dalam penceritaan filem ini.


Selain daripada mesej-mesej menarik berkaitan cita-cita serta impian, hal rumah tangga, hubungan suami isteri dan mertua serta pelbagai lagi, kami turut menyukai beberapa mesej subteks menarik yang dapat kami tangkap sepanjang menonton filem Milly & Mamet ini. Antara yang masih segar di dalam ingatan ialah perihal satu babak dimana Mamet berhadapan dengan kesukaran untuk mencari pembekal untuk kain fabrik berwarna merah. Bekalan fabrik yang ditemukan pula walaupun berwarna merah tetapi tidak seiras dengan warna merah asal pada fabrik sebelumnya. Jadi, satu ungkapan dialog yang diungkapkan pada babak ini sangat menarik perhatian kami dimana dialog tersebut menyatakan,"Fabrik warna merah ini ingin dibuat baju untuk orang politik. Tidak bagus jika warnanya berbeza kerana nanti orang akan berpandangan sedangkan warna baju sahaja sudah berbeza apatah lagi janji-janji manifestonya!" Kami yang mendengar dialog tersebut terus secara spontan merasakan bangga kerana susun atur frasa ayatnya sangat mendalam, sinis dan bijak. Selain itu juga, kami menyedari satu perkara tentang watak Yongki yang dilakonkan oleh pengarah filem ini sendiri iaitu Ernest Prakasa. Watak Yongki ini sering kali tampil dengan topi yang berbeza-beza dan mempunyai tulisan tertentu di hadapan topinya yang merujuk kepada objektif sebenar kemunculan watak ini di dalam babak-babak yang melibatkannya. Satu perkara yang menarik apabila menyedari hal-hal kecil seperti ini tetapi sebenarnya memberikan impak kepada filem ini sendiri. Selain itu, kami juga menyukai lagu-lagu yang menghiasi filem Milly & Mamet ini yang sangat sedap didengar. Lebih menarik apabila kami tidak sedar tentang kemunculan Melly Goeslaw di dalam filem ini sehingga tamat tayangan. Kami hanya mengetahuinya apabila diberitahu oleh rakan-rakan media yang lain selepas keluar dari panggung. Jadi, kalau nak tahu watak apa yang Melly Goeslaw pegang maka anda kena lah tonton sendiri filem menarik ini di pawagam berdekatan nanti.


Kesimpulannya, kami sangat tertarik dan menyukai filem  Milly & Mamet ini walaupun ia sekadar membawakan sebuah penceritaan kisah yang ringan. Walaupun kisahnya mudah dicerna namun apa yang membuatkan ia memberikan satu peninggalan rasa kepada penonton pada waktu yang lama ialah elemen komedinya yang segar, spontan dan bijak. Jadi, selamat menonton filem Milly & Mamet di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 7 Mac 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Yang Menjadi Sebutan Ramai Sekarang Iaitu Filem Captain Marvel. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan