4/03/19

Review Filem The Prodigy


Filem:
The Prodigy

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Nicholas McCarthy

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Taylor Schilling, Jackson Robert Scott, Peter Mooney, Colm Feore, Paul Fauteux & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Februari 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang kehidupan sepasang suami isteri iaitu John dan Sarah yang telah lama menantikan kehadiran cahaya mata dalam hidup mereka. Akhirnya mereka berjaya memiliki seorang anak lelaki yang diberi nama Miles. Anak mereka membesar dan mengalami perkembangan hidup yang berbeza berbanding kanak-kanak yang seusia dengannya dari segi pemikiran dan kebijaksanaan. Namun, ibunya Sarah mula bimbang tentang keadaan anak lelakinya yang mula berkelakuan pelik dan ganas apabila berusia 8 tahun. Pada mulanya, Sarah tidak mempercayai nasihat pakar bahawa masalah tersebut berkaitan dengan perkara ghaib. Namun, selepas Sara melihat sendiri kejadian aneh yang berlaku di hadapannya menyebabkan Sarah mula mencari cara untuk menyelamatkan anaknya daripada gangguan sebuah roh jahat yang pendendam dan kini berada di dalam jasad anaknya. Berjayakah Sarah menyelamatkan satu-satunya anak lelakinya itu? Saksikan filem seram yang menarik dan menyeramkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem The Prodigy di MMcineplex e-Curve, Mutiara Damansara pada 4 Mac 2019 yang lepas. Lebih menghiburkan apabila kami dapat menonton filem seram ini bersama-sama dengan Youtuber filem terkenal Malaysia buat masa ini iaitu Zhafvlog serta orang kuat Horizon Film Entertainment iaitu saudara Hasib. Apa yang kami dapat simpulkan disini ialah filem ini berjaya menyampaikan satu penceritaan yang menarik daripada awal sehingga kepada penamat filemnya. Selain itu, tahap keseraman filem ini agak menarik dimana ia dibuktikan melalui suara jeritan kedua-dua manusia yang mana nama mereka disebut di atas tadi.


Filem The Prodigy sememangnya tidak dapat lari daripada terjebak dan terperangkap di dalam dunia filem seram Hollywood kerana sekali lagi mengitar semula kisah berkaitan dengan sebuah roh jahat yang menawan jasad anak kecil untuk menyelesaikan sebuah perkara yang dianggap roh terbabit masih belum selesai. Namun, kelainan filem ini yang menerapkan tentang elemen kepercayaan terhadap kelahiran semula menyebabkan filem The Prodigy berjaya lari daripada kebiasaan filem seram lain yang lebih bergantung kepada babak-babak rasukan, terapung atau pun menggunakan solekan ngeri bagi menakut-nakutkan penonton. Kami melihat kitaran semula idea usang ini yang ditambah baik dengan perkara tersebut telah membuahkan hasil yang luar biasa apabila kisah yang terhasil ini berjaya memberikan impak yang cukup menarik dan menguji keberanian para penonton sepanjang waktu tayangannya. 


Pujian melangit seharusnya diberi kepada pelakon kanak-kanak yang memainkan peranan utama sebagai Miles Blume iaitu Jackson Robert Scott. Beliau adalah satu-satu kekuatan utama di dalam filem ini. Kami amat kagum dengan persembahan lakonan si cilik ini yang sangat hidup dan cukup untuk membuatkan bulu roma anda meremang saat menyaksikan lirikan mata dan senyumannya yang sangat 'psychopath'Watak Miles ini mempunyai dua karakter yang sangat berbeza namun hasil penjiwaan yang hebat daripada pelakon cilik ini pasti membuatkan anda kagum apabila melihat beliau berjaya menterjemahkan kedua-dua karakter tersebut di dalam persembahan lakonannya dengan sangat baik. Emosi untuk kedua-dua karakter yang dibawakan watak Miles ini juga untuk membuatkan anda berasa bersimpati dengan Miles yang menjadi mangsa roh jahat Edward Scarka tersebut. Disebabkan kehebatan lakonan Jackson Robert Scott inilah yang menyebabkan filem The Prodigy ini sentiasa mengundang debaran buat anda pada setiap kali watak ini muncul. Sekali lagi kami memuji peranan yang dibawakannya dimana kehebatan lakonan ini bukan sekadar berubah pada eksperesi wajah atau suara semata-mata apabila karakternya bertukar tetapi dia turut mengubah gerak tubuhnya daripada seorang kanak-kanak kepada seorang lelaki dewasa. Serius, hasil lakonannya wajar diberi pengiktirafan kerana kehebatan ini sukar untuk dilihat pada seorang pelakon kanak-kanak di dalam memainkan dua karakter yang terlalu asing dan mempunyai jurang usia yang jauh daripada dirinya yang sebenar.


Kami juga menyukai bahasa filem ini untuk beberapa babak yang kami anggap menarik untuk dilihat dan diteliti. Pertamanya, bagaimana watak ibu Miles iaitu Sarah yang begitu teruja dengan perkembangan anaknya yang luar biasa dan memilih untuk meletakkannya di sekolah kanak-kanak genius. Keduanya ialah sewaktu watak Miles mencuci separuh mukanya di hadapan cermin sewaktu hari Halloween yang secara tidak langsung memberitahu penonton bahawa Miles sebenarnya mempunyai dua perwatakan yang berbeza. Ketiga berkenaan bahasa tubuh yang berlaku di antara Miles dan ibunya Sarah di dalam banyak babak dan membawakan pelbagai maksud untuk kita sendiri terjemahkan keputusannya. 


Filem The Prodigy mempunyai unsur seram yang cukup untuk membuatkan anda tidak dapat tidur lena jika teringatkan beberapa babaknya yang boleh dikatakan sangat menguji tahap keberanian anda. Penggunaan jump scare di dalam filem ini tidak terlalu banyak namun apa yang mengagumkan kami ialah penggunaannya di dalam babak-babak terpilih filem ini bukan sahaja sangat tepat tetapi cukup berkesan untuk menakutkan penonton ke tahap maksimum. Ditambah pula dengan tona warna filem ini yang agak suram dilihat berjaya mewujudkan suasana seram dan menguatkan lagi plot penceritaan filem ini. Lebih menarik, ada beberapa babak seram dan menakutkan hasil bantuan penggunaan imej janaan komputer yang minima pasti cukup untuk membuatkan anda terjerit-jerit tanpa segan di dalam panggung dan seterusnya menyukai filem ini sebagai salah satu filem seram yang perlu ditonton pada tahun 2019.


Kami akui filem ini turut mempunyai kelemahan tersendiri terutama dalam membina perkembangan watak Edward Scarka serta mangsanya yang kurang membantu penceritaan filem ini pada peringkat awal. Selain itu, ada beberapa babak yang kurang menarik terutamanya melibatkan watak ayah Miles yang sangat tidak kukuh di dalam beberapa babak akhir. Namun, kami sangat menyukai babak akhir filem ini yang sangat menguji kesabaran kami. Sabar disini bukannya bermaksud filem ini teruk tetapi pengakhirannya agak menarik dan pandai bermain dengan elemen emosi yang pasti membuatkan anda yang menonton akan berasa simpati dengan watak-watak utama di dalam filem ini.


Bagi kami, filem seram The Prodigy ini sememangnya sangat menarik dan berbaloi untuk ditonton di pawagam berdekatan anda bermula pada 28 Februari 2019 kerana tahap keseraman yang dipaparkan sangat menarik dan kena dengan jalan cerita. Lebih menarik lagi kerana pengakhiran filem ini yang penuh dengan emosi sedih, marah, geram dan pelbagai lagi bakal dirasai oleh anda saat keluar dari panggung wayang nanti. Kalau nak tahu kenapa kami berkata begitu maka anda kena cepat-cepat pergi ke wayang untuk menonton filem ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem The Prodigy ini untuk perkongsian buat kita semua. Selamat menonton!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Komedi Romantik Dari Indonesia Yang Sangat Menghiburkan Iaitu Filem Milly & Mamet. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. Wahhh...betul-betul seram ni. Kalau LeYa yang menontonnya ni, mesti kena bawak bantal kecik untuk tutup muka jika terkejut.. Hahaha..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      tak sempat nak tutup muka dah menjerit

      Padam
  2. Berjaya tonton selepas membaca review Hans. Plot dan penceritaan yang baik lagi tersusun. Kanak2 yg berlakon watak Georgie dlm film IT semakin menyerlah dan bole pegi jauh lagi. Ada part yg clichě tapi jgn kesahkan semua tu, kita layan movie ni sambil makan popcorn, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. owh dia berlakon IT ker?
      tak perasan lak
      hahahah

      Padam