Review Filem The Angry Birds Movie 2


Filem:
The Angry Birds Movie 2

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Thurop Van Orman

Genre:
Animasi

Pelakon:
Jason Sudeikis, Josh Gad, Leslie Jones, Bill Hader, Rachel Bloom,
Awkwafina, Sterling K. Brown, Eugenio Derbez, Danny McBride & Etc.

Tarikh Tayangan:
29 Ogos 2019

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Red dan rakan-rakan burungnya yang masih bergaduh dengan khinzir-khinzir hijau dari Piggy Island. Namun, kehadiran Zeta yang mengetuai Eagle Island telah mengubah segala-galanya apabila dia mula mengugut untuk memusnahkan kedua-dua pulau iaitu Bird Island dan Piggy Island dengan melancarkan beberapa siri serangan. Red dan rakan-rakan burungnya akhirnya telah sepakat untuk bekerjasama dengan khinzir-khinzir dari Piggy Island untuk memusnahkan senjata pemusnah Zeta yang terdapat di Eagle Island. Berjayakah misi mereka menyelamatkan Bird Island dan Piggy Island dari cengkaman Zeta? Saksikan filem animasi yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 29 Ogos 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula buat pertama kalinya telah menerima jemputan daripada pihak Sony Pictures Entertainment untuk menghadiri tayangan media bagi filem The Angry Birds Movie 2 yang berlangsung di MBO Starling pada 23 Ogos 2019 yang lepas. Kami tidak pernah menonton filem The Angry Birds sebelum ini dan hanya pernah ketagih bermain permainannya di telefon pintar sebelum ini. Jadi, memang tidak ada sebarang perbandingan yang dapat dibuat berdasarkan filem terdahulu. Namun, secara jujurnya kami sangat menyukai sekuel filem ini yang pada kami sangat menghiburkan dan bersesuaian buat tontonan setiap peringkat usia tidak kira kanak-kanak mahu pun dewasa. 


Filem The Angry Birds Movie 2 dimulakan dengan adegan-adegan melucukan berkaitan serangan balas antara Bird Island yang diketuai oleh Red serta Piggy Island yang diketuai oleh Leonard. Jadi, berdasarkan babak awal pengenalan untuk sekuel filem ini sahaja sudah memudahkan penonton untuk memahami tentang perseteruan yang telah lama berlaku di antara kedua-dua watak utama filem ini iaitu burung dan babi. Banyak perkara yang melucukan dimana elemen pergaduhannya juga tampak begitu santai dan kelihatan ringan untuk tontonan kanak-kanak kecil. Filem ini kemudian melangkah lebih jauh apabila memperkenalkan watak antagonis utama untuk sekuel kali ini iaitu Zeta yang merupakan seekor helang betina yang kesunyian dan sudah bosan dengan kedinginan pulaunya serta merancang untuk menjajah Bird Island dan Piggy Island demi merasai kehidupan yang lebih baik sambil disinari oleh cahaya panas sang matahari. Walaupun perkara ini kelihatan agak janggal kerana memberikan kelompongan kisah kepada pengenalan latar tempat tinggal watak Zeta ini namun ianya berjaya ditutup dengan elemen-elemen lucu yang berjaya menggeletek hati kami untuk lebih memberi fokus kepada watak-watak yang terdapat di dalam filem ini.


Filem The Angry Birds Movie 2 kali ini menampilkan lebih banyak mesej-mesej menarik serta nilai murni yang dapat dilihat kepada setiap watak-watak yang bermain di dalam sekuel kali ini. Penonton akan dibawa untuk melihat bagaimana Red berhadapan dengan jati diri serta prinsip hidupnya dimana memilih sama ada untuk hidup di atas sanjungan komunitinya atau berhadapan dengan kesunyian hidup sekali dimana ianya amat menakutkan diri Red. Walaupun hal ini pada asasnya kelihatan berat dan bersesuaian untuk tontonan dewasa tetapi kami menyukai bagaimana ianya disampaikan secara ringan yang pastinya tidak mengganggu keseronokan penonton cilik untuk turut sama melihat, merasai dan belajar tentangnya. Filem ini juga turut sama memaparkan kisah percintaan melalui watak Red dan Chuck Silver yang pada kami bukan sekadar melucukan tetapi juga menempelak segelintir manusia yang terlalu mencari kesempurnaan dan persamaan terhadap pasangan mereka. Menarik untuk melihat bagaimana hubungan watak antara Red dan Chuck ini dibina dengan cukup cantik daripada awal pertemuan mereka sehingga kepada pengakhiran filem ini.



Filem The Angry Birds Movie 2 juga tidak terlepas di dalam memaparkan kisah cinta yang lebih bersifat kedewasaan yang melibatkan watak Zeta serta Mighty Eagle dimana ianya menarik untuk melihat bagaimana nilai-nilai tanggungjawab serta rasionalisma perlu ada di dalam diri apabila menentukan sesuatu keputusan yang ingin dilakukan. Melarikan diri daripada tanggungjawab bukan lah satu perkara yang baik. Bertindak melulu mengikut kata hati yang penuh dengan rasa dendam juga bukan suatu perkara yang baik untuk diikuti. Disini kami melihat filem The Angry Birds Movie 2 berjaya menyampaikannya di dalam cara yang bersesuaian dengan penerimaan kanak-kanak dan turut berjaya difahami oleh golongan penonton dewasa dengan baik sekali. Elemen-elemen seperti perpaduan, muafakat serta persahabatan turut berjaya ditekankan dengan baik di dalam filem ini dimana ia memberikan nilai-nilai positif buat kanak-kanak untuk mengikutinya dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan mereka bersama rakan-rakan sebaya.



Filem The Angry Birds Movie 2 juga sememangnya merupakan sebuah filem animasi yang menarik ditonton pada bulan Ogos dan September ini kerana ianya sebuah filem yang padat dengan aksi serta elemen lucu yang sangat menghiburkan. Walaupun sebahagian besar lawak-lawak yang terdapat di dalam filem ini lebih bersifat slapstik dimana ianya mudah menangkap perhatian kanak-kanak yang tidak memahami maksud tersirat disebaliknya namun kami akui filem animasi ini sememangnya berjaya menghiburkan kami daripada awal sehingga kepada pengakhiran filem ini. Anda pasti akan ketawa keriangan melihat kelibat watak Chuck dan Bom yang tidak pernah berhenti sekali pun untuk menggeletek jiwa anda. Belum lagi melihat kelibat watak Leonard dan rakan-rakan babinya yang turut berjaya menghiburkan anda sama ada secara lisan mahu pun melalui reaksi wajah. Selain itu, watak tiga anak burung cilik yang lebih sesuai dikatakan berfungsi sebagai 'side kick' filem sememangnya menjadi pada pandangan kami. Kemunculan mereka di dalam beberapa adegan semestinya amat dinanti-nantikan dimana anda bukan sahaja akan terhibur melihat keletah lucu mereka yang cemerkap tetapi juga menyukai wajah mereka yang comel dan gebu.



Beberapa elemen tambahan pada filem The Angry Birds Movie 2 kali ini seperti aksi cabar mencabar di dalam tarian breakdance selain perjalanan misi kumpulan Red dan Leonard di dalam Eagle Island juga sememangnya berjaya menambah keceriaan di dalam filem. Momen-momen melucukan ini ditambah baik lagi melalui penggunaan muzik latar yang popular dan semestinya diingati dan pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. Para pelakon yang menyumbang suara kepada setiap watak-watak ini juga pada kami berjaya melakukannya dengan baik dimana kami dapat merasai setiap emosi yang dirasai oleh setiap watak-watak ini terutama watak-watak utamanya.


Secara keseluruhannya, filem The Angry Birds Movie 2 merupakan sebuah filem yang mempunyai segala-gala yang diinginkan oleh kanak-kanak serta golongan dewasa yang meminati filem animasi iaitu kecomelan watak-wataknya, kelucuan jalan ceritanya, keindahan sinematografinya, kemerduan lagu latarnya serta paling penting nilai-nilai murni yang berjaya disampaikan dengan baik dan santai. Kami yakin kecemerlangan filem The Angry Birds Movie 2 ini akan menyebabkan ada sambungannya nanti sama ada di dalam bentuk trilogi atau prekuel filem ini nanti. Pada pandangan kami, filem ini berbaloi untuk anda tonton di wayang bersama anak-anak anda kerana ia adalah sebuah karya yang menghiburkan dan visual filem ini yang penuh warna-warni pastinya memberikan satu kenangan indah sewaktu menontonnya nanti.


Jadi, selamat menonton filem The Angry Birds Movie 2 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 29 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan!

Catat Ulasan

0 Ulasan