Review Filem Death Whisper


Filem:
Death Whisper (Sunyi)

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Awi Suryadi

Genre:
Seram

Pelakon:
Amanda Rawles, Angga Aldi Yunanda, Teuku Ryzki, Arya Vasco, Naomi Paulinda & Etc.

Tarikh Tayangan:
22 Ogos 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini merupakan sebuah filem penghasilan semula berdasarkan filem seram dari Korea Selatan berjudul "Whispering Corridors" yang diterbitkan pada tahun 1998. Filem ini mengisahkan tentang dua orang pelajar baru, Alex dan Maggie, di sebuah sekolah tinggi eksklusif. Malangnya, mereka dibuli oleh pelajar lain, terutamanya Andre, Erika dan Fahri yang suka membuli Alex. Apabila trio itu memaksa Alex untuk melakukan ritual, kesilapan berlaku menyebabkan satu roh jahat mula mengganas di sekolah itu. Saksikan filem seram yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem Death Whisper bertempat di TGV One Utama pada 19 Ogos 2019 yang lepas. Untuk maklumat semua, filem ini merupakan adaptasi daripada sebuah filem seram Korea Selatan. Semestinya ia ada kelainan yang ketara tetapi mesej yang cuba dibawakan oleh filem ini berkaitan masalah buli yang berlaku di sekolah, konflik antara pelajar senior dan junior yang dipelopori oleh sistem hierarki ciptaan manusia serta pembentukan keluarga yang tidak bahagia dilihat berjaya disampaikan kepada kami dengan cukup baik sekali. 


Kami tidak pasti tentang adakah budaya buli yang dipaparkan di dalam filem ini sememangnya benar-benar berlaku di Indonesia atau Korea Selatan atau ia hanya sekadar penyedap kepada intipati kisah filem ini. Namun, jika benar maka ianya adalah satu masalah yang sangat serius apabila pelajar tahun pertama @ junior langsung tidak dibenarkan untuk menggunakan kantin, perpustaan serta tandas. Tetapi, kisah buli ini kelihatan bernyawa dan disokong dengan tindakan watak-watak yang menyebut tentang hubungan alumni yang kuat serta kesan negatif jika ada pelajar baru yang melaporkan hal ini kepada ibu bapa mahu pun pihak atasan pengurusan sekolah. Jadi, memang bertepatan dengan satu ayat yang disebutkan oleh watak utamanya bahawa dia berada di Sekolah Menengah Neraka. Apa yang lebih menarik apabila kisah filem ini berjaya memberi kritikan bijak terhadap pengurusan sekolah yang tetap menutup mata atas alasan ia adalah tradisi yang dilakukan oleh pelajar-pelajar bijak dan terbukti sebelum ini telah berjaya memberi nilai tambah dan menunjukkan hasil yang baik buat gred para pelajar di sekolah tersebut. 


Jadi, hubungan yang cuba dibina antara makhluk misteri yang telah mati serta watak-watak utama filem ini dilihat mempunyai sebab yang kukuh dan boleh dipercayai. Pelajar baru Alex yang sentiasa menjadi mangsa kepada tiga orang pelajar senior iaitu Andre, Erika dan Fahri juga berjaya mempengaruhi penonton untuk menerimanya berdasarkan urutan peristiwa serta perkembangan kisah watak yang meyakinkan dan boleh dipercayai. Melakukan ritual panggilan roh pada filem ini juga dilihat meyakinkan tanpa perlu menggunakan sebarang props yang aneh dan punca kepada terjadinya peristiwa itu juga mengikut logik filem ini yang pada kami adalah satu permulaan yang bagus buat sebuah filem seram sebegini. 


Walaupun kami secara peribadi kurang gemar dengan skor bunyinya yang sangat bingit tanpa arah tuju yang jelas pada beberapa adegan, namun kemunculan hantu atau roh-roh di dalam filem ini sentiasa tepat pada masanya yang pasti akan membuatkan anda bakal terkejut besar jika tidak menyiapkan diri lebih awal. Istimewanya tentang hantu-hantu yang diwujudkan di dalam filem ini ialah bagaimana diri mereka kelihatan sewaktu muncul di dalam adegan-adegan seram filem ini. Wajah hantu kali ini menampilkan pembaharuan yang sangat banyak kerana ia hadir melalui cara bagaimana roh-roh ini mati sebelum ini. Kami kurang pasti adakah penampakan hantu ini menggunakan teknik kesan janaan imej khas (CGI) tetapi pada kami, kemunculan entiti yang pelbagai ini sememangnya menarik dan mampu membuatkan bulu roma anda meremang saat menatap wajah mereka di skrin nanti. Tidak dinafikan sinematografi filem ini juga berada di dalam tahap cemerlang yang menyebabkan adegan-adegan misteri yang mempunyai elemen seram sentiasa berjaya memberi impak kepada penonton. 


Namun, ada beberapa perkara yang agak merencatkan keterujaan menonton filem ini terutamanya pada bahagian akhir klimaks dimana ianya gagal memberi impak semaksimum yang boleh disebabkan persoalan misteri yang menyelubungi ini telah pun terjawab tanpa sengaja melalui beberap adegan pada bahagian pertengahan filem yang kelihatan begitu ketara memberikan jawapan kepada penonton. Anda akan memahami penulisan kami ini usai anda selesai menontonnya nanti di pawagam. Kedua ialah tentang masalah yang mungkin pada sesetengah orang remeh tetapi pada kami, ianya memberi impak terhadap pengalaman menonton iaitu berkaitan dengan penglibatan atau kewujudan pelajar-pelajar sekolah pada beberapa adegan yang terlalu sunyi tanpa kelibat mereka. Untuk sebuah lokasi yang besar dan pada ketika masih ramai berada di dalam sekolah, kami hanya dapat menyaksikan satu atau dua watak sahaja dalam kebanyakan adegan yang menyebabkan ia tampak kosong dan sunyi(bertepatan dengan tajuk filem ini sewaktu ditayangkan di Indonesia). Namun, secara keseluruhannya, filem ini berbaloi dan menarik untuk ditonton oleh peminat filem seram disebabkan ideanya yang bijak serta elemen-elemen seramnya yang lari daripada kebiasaan filem seram Indonesia dimana ia lebih berpaksikan kepada filem seram dari Korea Selatan. Satu pengalaman menonton filem yang menarik yang anda bakal peroleh sewaktu menontonnya nanti di skrin layar perak. 


Jadi, selamat menonton filem Death Whisper di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Menarik Dari Jepun. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Filem ini classification dia brp?.. Seram tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak silap Umum.
      kalau Makmum yang 18 TAHUN KE ATAS.
      Seram jenis Korea. Seronok lah layan :)

      Padam
  2. Best gile cerita ni..gempak bhai

    BalasPadam