Review Filem Siccin 6


Filem:
Siccin 6

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Alper Mestçi

Genre:
Seram

Pelakon:
Merve Ates, Adnan Koç, Dilara Büyükbayraktar & Etc.

Tarikh Tayangan:
22 Ogos 2019

Pengedar:
Antenna Entertainments

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Yaşar yang sukar untuk menerima kenyataan atas kematian bapanya. Pada masa yang sama, dia berdepan masalah dengan ibu tirinya setelah dia mewarisi harta bapanya. Dia juga mendapat tahu bahawa kakak iparnya Canan yang tinggal serumah jatuh hati kepadanya. Sementara dia cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi, kejadian aneh mula berlaku dalam rumah tersebut. Efsun, anaknya yang mengalami gangguan mental, berdepan kisah silam gelap yang menyebabkan keadaan keluarga itu menjadi lebih rumit. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram dari Turki berjudul Siccin 6 di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 22 Ogos 2019 yang lepas. Secara jujurnya, kami tidak pernah menonton lima siri filem Siccin yang terdahulu dimana ianya telah membawa fenomena hebat sehingga membuatkan pengarahnya Alper Mestçi dikenali ramai. Namun, kami pernah menonton filem seram Beddua: The Curse yang turut diarahkan oleh pengarah yang sama pada tahun lepas dimana kami sangat berpuas hati dengan elemen seram yang dipaparkan di dalam filem tersebut. Jadi, adakah Siccin 6 mampu memberikan kami pengalaman yang menarik seperti mana yang diperoleh sebelum ini?


Melihatkan kepada sinopsis filem Siccin 6 seperti yang kami kongsikan di atas, satu bayangan awal yang jelas dapat dilihat ialah filem ini menampilkan begitu ramai watak dan setiap watak mempunyai perkembangan kisahnya yang tersendiri sama ada secara menyeluruh atau sebaliknya. Pada satu tahap, apabila terlalu banyak watak yang ingin diceritakan di dalam satu garis masa membuatkan kami sedikit bingung dan adakalanya ia menyesakkan fikiran kerana setiap penerangan kisah watak-watak ini pasti akan ditemani dengan elemen jump scare yang sentiasa wujud tanpa berkesudahan. Jadi, adakalanya tontonan kami sedikit terganggu kerana lelah mendengar skor bunyi serta jump scare yang terlalu kerap digunakan. Lelah disini bukannya bererti takut tetapi penat kerana ianya sentiasa berlaku sepanjang masa. Cuma syukur kerana pencahayaan filem ini menarik dan jelas kelihatan tidak seperti sebuah filem seram tempatan yang pernah menggemparkan negara dengan jumlah kutipannya yang hebat.


Kami tidak nafikan permainan kamera yang bijak di dalam filem ini membuatkan kebanyakan adegan yang menggunakan jump scare dapat disampaikan dengan baik kepada penonton dimana rata-rata penonton sememangnya berjaya dikejutkan dengan jayanya sekali. Cuma pada kami yang sudah acap kali menonton filem seram, cara penyampaian sebegini adakalanya membosankan apabila ianya terlalu kerap digunakan di dalam setiap babak-babak filem ini. Namun, inilah hakikatnya identiti filem Siccin yang perlu kami hadam apabila menonton siri filemnya yang keenam ini.


Walaupun struktur plot penceritaan filem Siccin 6 ini pada kami agak kelam-kabut dan kurang meyakinkan kerana susunannya yang berselerak pada beberapa bahagian, namun filem Siccin 6 berjaya mengekalkan hasil kerja yang baik dari sudut sinematografi. Dapat dilihat bahawa visual-visual rumahnya yang gelap sama ada di dalam mahu pun luar berjaya dihasilkan dengan cukup baik dan meyakinkan sehinggakan elemen seram sentiasa berjaya dikekalkan sepanjang masa sehingga membuatkan kebanyakan penonton tidak dapat duduk diam saat menyaksikan pelbagai kejadian menarik yang berlaku di dalam filem ini. Cuma dari sudut solekan ngeri watak hantunya, kami tidak merasa aura keseraman tersebut kerana wajah-wajah hantunya tidak mengerikan. Hal ini sama sekali berbeza seperti mana yang kami rasai sewaktu menonton filem Beddua: The Curse yang sememangnya lebih menyeramkan.


Secara keseluruhannya, kami merasakan jalan cerita filem ini kurang jelas dan tidak lah terlalu menarik buat kami. Watak-watak utamanya gagal mewujudkan nilai empati untuk membuatkan kami bersimpati dengan apa yang dialami mereka di dalam mereka. Kami merasakan plot penceritaannya begitu mudah dan sedikit caca merba sehingga ianya tidak terlalu memberi impak sama ada sewaktu menonton mahu pun selepas keluar dari panggung. Namun, jika anda ingin menguji tahap keberanian anda maka kami menyarankan untuk menonton filem Siccin 6 ini kerana ianya penuh dengan elemen-elemen kejutan yang pastinya bakal melelahkan anda selepas keluar daripada panggung.


Jadi, selamat menonton filem Siccin 6 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Menarik Iaitu Ready Or Not. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. kena tengok sinccin 3 , 4 , baru boleh paham sikit2 pasal sinccin 6.. pada saya paling best sinccin 1.. mmg xberapa seram sgt sinccin ni dan tredmark die elemen2 terkejut dan byk sgt mimpi.. hehe.. paling sedih 2 kot yg anak lelaki die meninggal..

    BalasPadam
  2. kena tengok sinccin 3 dan 4, baru boleh paham yg keenam ni..

    BalasPadam