Review Filem Dream Girl


Filem:
Dream Girl

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Raaj Shaandilyaa

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Ayushmann Khurrana, Nushrat Bharucha, Annu Kapoor & Etc.

Tarikh Tayangan:
13 September 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Lokesh Bisht yang tinggal di bandar Mathura. Lelaki ini mempunyai kebolehan untuk meniru suara wanita namun dirinya selalu gagal di dalam temuduga pekerjaan. Pada suatu hari, Lokesh berpeluang mendapat pekerjaan di sebuah syarikat cari jodoh yang beroperasi secara haram dimana Lokesh perlu menjadi operator telefon dengan menyamar sebagai Puja untuk melayani pemanggil-pemanggilnya yang kesunyian dan rata-ratanya ialah lelaki. Pekerjaan tersebut berjaya membuatkan Lokesh hidup mewah namun situasi mula menjadi huru-hara apabila para pelanggannya yang terdiri daripada lelaki dan wanita mulai jatuh cinta kepadanya dan cuba bertemu dengannya. Apa yang melucukan apabila mangsa-mangsa yang terlibat merupakan ayahnya sendiri, bakal adik ipar, polis, wanita garang serta anak muda yang liar dimana Lokesh perlu merahsiakan hal ini daripada diketahui oleh tunangnya. Saksikan filem yang sangat melucukan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 13 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang sangat lucu berjudul Dream Girl di TGV Cinemas Jaya Centre pada 13 September 2019 yang lepas. Melihat nama Ayushmann Khurrana sebagai pelakon utama sudah cukup untuk menarik perhatian kami bagi menonton filem ini. Selepas kecemerlangan pelakon ini di dalam kebanyakan filem yang melibatkannya maka kami sememangnya menantikan sesuatu yang baru daripada beliau dan sememangnya Ayushmann telah berjaya memberikan sesuatu yang melucukan di dalam filem Dream Girl ini. Jika filem-filem Bollywood sebelum ini lebih gemar memaparkan watak utama atau hero yang menyamar menjadi perempuan dari sudut berpakaian tetapi berlainan untuk filem ini dimana ia memberi fokus kepada suara wanita. Olahan ceritanya juga meyakinkan apabila sejak awal lagi filem ini memaparkan kebolehan watak Lokesh Bisht yang sejak kecil mampu meniru suara wanita dengan cukup baik dan menjadi penggerak untuk keseluruhan filem ini berkembang.


Pada hemat kami, filem Dream Girl ini merupakan sebuah filem komersial ringan berbentuk komedi yang mempertaruhkan bakat-bakat hebat yang popular untuk menarik perhatian penonton datang menonton ke pawagam. Walaupun ianya memaparkan kisah yang ringan dan mudah dihadam namun naskah ini tidak lupa untuk memaparkan mesej-mesej yang menarik untuk menjadikan filem Bollywood ini bukannya sebuah filem kosong tetapi tetap punya nilai tersendiri. Salah satu mesej menarik tentang filem ini ialah berkaitan dengan kesunyian manusia yang walaupun hidup mereka dikelilingi ramai manusia lain mahu pun rakan-rakan namun secara hakikatnya mereka hanya hidup bersendirian tanpa punya rakan yang betul-betul akrab atau memahami. Ianya juga menarik untuk melihat bagaimana kuasa psikologi mampu membuatkan manusia yang kesepian ini tertarik kepada watak Pooja yang merupakan ciptaan Lokesh Bisht untuk masing-masing rasa disayangi dan jatuh cinta hanya dengan mendengar suara manusia yang sentiasa melayan kehendak dan memahami diri mereka yang kesunyian ini. Hal ini jika dilihat secara mendalam akan membuatkan anda memahami kenapa sindiket penipuan yang didalangi oleh warga Afrika khususnya sentiasa berjaya menipu mangsa-mangsa disebabkan satu perkara iaitu kesunyian. Walaupun ianya hanya dibicarakan secara ringan kerana lebih menekankan kepada elemen komedi namun setidak-tidaknya filem ini tetap berjaya menyampaikan hal ini buat penonton-penontonnya.


Filem Dream Girl juga sentiasa konsisten di dalam mengekalkan kisahnya yang penuh komedi melalui kekuatan utamanya iaitu dialog para pelakonnya. Terdapat banyak juga elemen komedi yang aneh namun ianya berjaya menggeletek hati penonton untuk sentiasa bergelak ketawa melihat gelagat setiap watak-watak yang ada di dalam filem ini. Pada kami bahagian pertama filem ini boleh dikatakan sangat berjaya dari sudut humor tersebut kerana ceritanya diolah dengan agak baik dan perkembangan watak-wataknya juga sekata. Cuma pada bahagian kedua filem ini sememangnya terdapat beberapa babak yang agak klise kerana dipenuhi oleh lawak-lawak slapstik terutamanya apabila ia melibatkan hal berkaitan Pooja serta pertemuannya dengan mangsa-mangsa yang terlibat. Namun, harus diakui kelemahan ini berjaya ditutup dengan persembahan yang sangat cemerlang daripada Ayushmann Khurrana dan Annu Kapoor yang sememangnya mempunyai keserasian yang cukup baik sebagai anak dan bapa di dalam filem ini. Gandingan ini layak dipuji kerana sememangnya berjaya memberikan keceriaan kepada filem ini.


Filem Dream Girl bukanlah sebuah filem yang terlampau hebat seperti Andhadhun mahu pun Article 15 yang dilakonkan oleh Ayushmann Khurrana sendiri sebelum ini. Filem ini juga bukan lah sebuah filem humor seperti Baadhai Ho yang mempunyai isu-isu taboo yang kuat dan kelihatan bijak untuk isi kandungan sebuah filem komedi. Namun, Dream Girl merupakan sebuah filem yang sememangnya menghiburkan dan akan membuatkan mata anda sentiasa celik sepanjang 2 jam 12 minit berada di dalam panggung. Sebuah filem komedi yang tidak membosankan dan berbaloi untuk anda membelanjakan wang bagi membeli tiket filem ini. 


Jadi, selamat menonton filem Dream Girl di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan!

Catat Ulasan

2 Ulasan