Review Filem The Captain


Filem:
The Captain

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Andrew Lau

Genre:
Drama

Pelakon:
Zhang Hanyu, Du Jiang, Yuan Quan & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
3 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan kejadian sebenar berkaitan salah satu pendaratan cemas yang paling ajaib dalam sejarah kontemporari penerbangan China. Ia berlaku pada tahun 2018 dimana cermin hadapan kokpit sebuah kapal terbang pecah semasa penerbangan. Juruterbang Kapten Liu Chuanjian perlu memastikan keselamatan lebih 100 orang penumpang dan kru dalam kapal terbang tersebut. Saksikan filem yang cukup menarik dan mendebarkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 3 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem kantonis yang cukup menarik berjudul The Captain di Amerin Cineplex pada 10 Oktober 2019 yang lepas. Filem ini merupakan adaptasi kisah sebenar kejadian penerbangan Sichuan Airlines 3U8633 yang berlaku sekitar tanggal 14 Mei 2018 dimana selepas empat puluh minit penerbangan pada ketinggian 32000 kaki, cermin depan pesawat tersebut retak dan pecah berderai dimana ia merupakan satu misi mustahil sama ada untuk melakukan pendaratan di kawasan pergununangan Tibet atau menyelamatkan kesemua 119 orang penumpang serta barisan krew penerbangan yang bertugas.


Memandangkan filem The Captain yang diadaptasi daripada kisah sebenar merupakan salah satu kategori yang kami cukup gemari maka sememangnya kami mengharapkan filem ini mampu memberikan sesuatu yang kami tidak jangkakan sama sekali. Dari sudut penceritaannya pada kami menarik untuk ditonton tetapi ia bukan lah terlalu luar biasa. Cuma apa yang bagusnya ialah ia memberi kefahaman yang lebih mendalam buat kepada penonton tentang peranan sebenar pramugari mahu pun pramugara serta tugas-tugas lain yang perlu mereka laksanakan selain daripada menyiapkan makanan atau membantu penumpang meletakkan barang di kawasan yang disediakan. Selain itu, filem ini juga turut memaparkan pasukan-pasukan lain di belakang tabir yang mana terlibat di dalam memantau trafik penerbangan serta membantu juruterbang apabila berlaku masalah-masalah di luar kawalan seperti mana yang boleh ditonton di dalam filem ini.


Seperti biasa filem-filem yang memaparkan kisah-kisah bencana atau tragedi buruk ini semestinya mempunyai adegan-adegan klise yang tidak dapat dielakkan. Hal yang sama dapat dilihat di dalam filem The Captain dimana ianya secara jelas dapat dilihat kepada karakter watak-watak para penumpang pesawat ini yang meneruskan kesinambungan karakter-karakter 'wajib ada' seperti lelaki yang sombong atau berlagak, pasangan kekasih yang sedang bercinta, ibu dan anak, warga emas serta penumpang yang terlalu fobia atau ketakutan sehingga sanggup bertindak di luar batasan. Pada kami, perkara ini secara dalamannya tidak terlalu membantu filem The Captain untuk kelihatan lain daripada filem-filem yang berkait dengan tragedi buruk seperti ini namun apa yang menyelamatkan kisahnya daripada kelihatan biasa adalah berkenaan dengan kisah-kisah krew penerbangannya yang pada kami menarik, unik dan segar. Watak ketua pramugari berjaya memberikan kekuatan yang cukup hebat di dalam filem ini terutama dari sudut amanah dan tanggungjawab dalam pekerjaan manakala anak-anak buahnya iaitu pramugari pula dilihat bersinar dari aspek kemanusiaan. Satu perkara menarik yang dilihat berjaya mengangkat taraf pekerjaan pramugari pada satu tahu tahap yang cukup mulia dan boleh dipandang tinggi apabila anda menonton filem ini nanti.


Tetapi, kekuatan utama filem The Captain ini pada pandangan kami ialah dari sudut visual filemnnya dimana kekuatan VFX melalui kesan CGI yang diberikan adalah sangat baik dan berada di dalam kategori bertaraf dunia dan boleh dibanggakan. Setiap urutan adegan cemas yang memaparkan suasana luaran pesawat mahu pun kawasan kokpit juruterbang serta keadaan penumpang di dalam pesawat adalah cukup mengagumkan dan berjaya membuatkan kami turut sama merasa cemas kerana adegan-adegan ini kelihatan begitu realistik dan meyakinkan. Tahniah buat pasukan VFX filem ini kerana hasil kerja kalian sememangnya cukup luar biasa. Kesimpulannya, filem The Captain merupakan sebuah filem yang pada kami menarik untuk ditonton dan berjaya mencapai misinya di dalam memberikan sebuah karya yang bukan sekadar mengharapkan 'ihsan' daripada kejadian sebenar yang telah berlaku namun berjaya menyuntik elemen serta mesej-mesej murni untuk dihadam secara sihat oleh para penonton filem ini.


Jadi, selamat menonton filem The Captain di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 3 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Dari Jepun. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan