Filem:
Ghost Writer
Penilaian:
7/10
Pengarah:
Bene Dion
Genre:
Komedi & Seram
Pelakon:
Tatjana Saphira, Ge Pamungkas, Deva Mahenra, Ernest Prakasa & Etc.
Pengedar:
TGV Pictures
Tarikh Tayangan:
10 Oktober 2019
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Naya yang sudah tiga tahun tidak menerbitkan sebarang novel baru walaupun kemunculan karya sulungnya sebelum berjaya dan disukai ramai. Akibat terdesak untuk mendapatkan wang maka Naya mengambil keputusan untuk menggunakan sebuah diari lama yang dijumpainya dimana ianya dimiliki oleh hantu bernama Galih sebagai bahan rujukan bagi novel barunya. Pengarangnya menyukai kisah mengenai kehidupan Galih tetapi dia hanya memberi Naya tempoh dua bulan untuk melengkapkan novel itu. Namun, hantu Galih pula sebaliknya apabila dia menganggap Naya sebagai pencuri. Adakah Galih akan membenarkan kisahnya dinovelkan? Saksikan filem seram komedi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Indonesia berjudul Ghost Writer di TGV The Mines pada 12 Oktober 2019 yang lepas. Filem ini menggabungkan tiga genre berbeza di dalam satu cerita iaitu komedi, seram dan drama dimana kombinasi ini dilihat berjaya diolah dan disampaikan dengan agak baik walaupun tidak secara keseluruhannya.
Filem Ghost Writer dilihat bijak menyampaikan mesej serta kritikan yang menarik sama ada berkaitan dengan psikologi manusia mahu pun tentang dunia kerjaya seorang penulis. Menarik untuk melihat beberapa perkara yang ditekankan di dalam filem ini yang berjaya disampaikan secara ringan dan sedikit santai iaitu berkaitan dengan masalah tekanan perasaan, masalah kekeluargaan serta perkara paling buruk iaitu menghukum diri sendiri dengan membunuh diri. Kami sangat tertarik tentang isu bunuh diri yang dilakukan oleh hantu Galih saat dirinya masih seorang manusia dimana perkara ini berlaku apabila ibunya dilihat gagal di dalam memberikan perhatian serta kasih sayang kepada Galih seperti yang sepatutnya. Sikap, perasaan mahu pun layanan ibu Galih terhadap lelaki ini dilihat gagal menyampaikan maksud sebenar kepada Galih yang mana dia hanya nampak aura negatif sahaja pada cara bagaimana ibunya melayan dirinya setiap waktu. Walaupun plot penceritaan filem ini kelihatan agak longgar untuk memberikan perhatian khusus kepada hal ini namun ianya masih boleh difahami walaupun tidak memberi kepuasan secara hakiki.
Filem Ghost Writer juga berjaya membawa penonton untuk menyelami cabaran kerjaya sebagai seorang penulis dimana itulah antara asam garam seorang penulis di dalam mencari rezeki dengan sentiasa berfikir untuk mencari idea yang lebih baik dari semasa ke semasa. Menariknya disini juga ialah filem ini berjaya memaparkan bagaimana campur tangan daripada kuasa orang atasan yang mempunyai kuasa untuk mengubah idea atau pun hasil akhir karya setiap penulis yang terlibat bekerja dengan pihak mereka. Secara tidak langsung, penonton akan lebih memahami itulah sebenarnya yang berlaku di dalam industri seni tanah air kita yang bertuah ini dimana jika hasil tulisannya berjaya maka syarikat yang akan mendapat keuntungan dan nama sedangkan penulis hanya tetap berada di sebalik tabir tanpa dikenali mahu pun menerima pujian seperti mana yang diperoleh oleh pihak yang tidak sepatutnya.
Filem Ghost Writer dilihat cuba menarik perhatian penonton melalui gabungan elemen seram dan komedinya. Kami melihat gabungan ini adakalanya memang membantu memberi keceriaan berganda kepada jalan cerita filem ini namun kami secara peribadi agak terganggu dengan beberapa pengulangan elemen komedi yang terdapat di dalam filem ini. Seperti contoh dalam salah satu babak, rakan kepada adik Naya yang mengalami masalah sakit perut dan hal tersebut diangkat serta dimanipulasi secara maksimum untuk memecahkan ketawa para penonton. Tidak dinafikan ianya menghiburkan tetapi apabila ianya diguna pakai terlalu kerap di dalam babak yang panjang maka adakalanya ia kelihatan terlalu murah dan menjengkelkan. Begitu juga dengan babak komedi yang lain dimana ada sebahagiannya yang berjaya dan sebahagian lagi kelihatan sedikit lesu.
Secara keseluruhannya, kami melihat filem Ghost Writer ini merupakan sebuah karya yang masih menghiburkan sama ada dari sudut humor mahu pun intipati kisah serta mesej-mesej yang ingin disampaikan. Namun, momentumnya yang tidak konsisten membuatkan kami merasa sayang dengan karya ini dimana ia sebenarnya mampu memberikan sesuatu yang jauh lebih besar daripada apa yang telah kami saksikan di layar perak. Walau bagaimanapun, filem ini masih menarik dan menghiburkan untuk anda tonton jika anda mahu saksikan filem yang memberikan anda kepelbagaian emosi iaitu gembira, lucu, seram dan juga mesej intelektual pada waktu yang sama.
Jadi, selamat menonton filem Ghost Writer di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Hebat Dari Perancis Berjudul Les Invisibles. Nantikan Ulasannya!
4 Ulasan
pernah ternampak review filem ini macam best jugak, macam kelakar cuma bab bila hantu perempuan tu keluar seram sikit lah
BalasPadamhahahaha
Padamboleh lah layan
Ni baru betul-betul ghost writer. Nanti nak tengok gak la
BalasPadamselamat menonton zumal
Padam