Review Filem The Cave


Filem:
The Cave

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Tom Waller

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Ekawat Niratvorapanya, Eoin O'Brien, Nopadol Niyomka & Etc.

Pengedar:
Oneworld Alliance Film Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
26 Disember 2019

Sinopsis:
Filem yang berdasarkan kisah benar ini telah berlaku pada tanggal 23 Jun 2018 di Thailand yang tular di seluruh dunia. Ia mengisahkan tentang satu kumpulan bola sepak Wild Boar yang terdiri daripada 12 orang kanak-kanak berusia 11 hingga 16 tahun yang terperangkap di dalam gua Tham Luang di Chiang Rai bersama penolong jurulatih mereka. Operasi pencarian serta menyelamat menjadi sukar akibat kenaikan paras air di dalam gua itu berikutan hujan lebat. Jadi, penonton akan disajikan dengan kronologi menyelamatkan tiga belas individu tersebut sehingga hari terakhir kejadian. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 26 Disember 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima dua keping tiket daripada rakan blogger Neyra untuk menghadiri tayangan filem The Cave yang berlangsung di TGV KLCC pada 23 Disember 2019 yang lepas. Sebenarnya sejak kejadian ini berlaku sekitar pertengahan tahun 2018, kami sememangnya mengharapkan pada suatu hari nanti akan ada mana-mana syarikat produksi yang menghasilkan filem berdasarkan kisah benar ini. Ternyata filem yang kami impikan ini akhirnya telah terhasil dan ditayangkan di pawagam pada tahun 2019 ini. Namun, secepat filem ini dihasilkan maka secepat itu juga ia menjejaskan kualiti serta impak yang sepatutnya mampu diberikan oleh filem sebegini kepada penonton-penonton seperti kami. Ternyata filem The Cave tidak mempunyai unsur-unsur sinematik mencukupi seperti yang kami bayangkan serta harapkan.


Menonton filem The Cave mengingatkan kami kepada sebuah filem tempatan berjudul The Rise Ini Kalilah dimana konsep penceritaannya adalah sesuatu yang kami sangat tidak gemari atau dengan erti kata lain ianya menyampaikan satu kisah yang semua orang sudah tahu. Dengan erti kata lain, jika anda mengikuti kisah tragedi ini maka tiada sebarang perkara baru yang anda bakal peroleh usai menonton keseluruhan filem ini. Kami tahu bahawa satu dunia mengambil berat tentang hal berkaitan terperangkapnya 13 manusia di dalam gua tersebut dan kami juga tahu tentang pelbagai usaha yang telah dilakukan dan ditawarkan oleh pelbagai pihak untuk mengeluarkan mereka yang terperangkap di dalam gua tersebut. Hal yang sama juga dibangunkan di dalam plot cerita filem ini dimana ia lebih memberi fokus kepada usaha menyelamat dimana ianya terlupa untuk memberi perhatian kepada perkembangan watak serta kisah-kisah yang terjadi terhadap 13 individu yang terperangkap tersebut serta ahli-ahli keluarga mereka. Jadi, dimana keistimewaan filem The Cave ini? Jawapan kami tiada!


Filem The Cave banyak disia-siakan dengan isu-isu serta konflik yang diceritakan terlalu panjang lebar. Misalnya tentang kerenah birokrasi serta berkaitan politik yang melibatkan isu bantuan pam air yang diberi nama pam turbo jet. Hal ini sebenarnya menarik tetapi ianya dipaparkan dengan terlalu panjang lebar melalui penceritaan sehala yang mengurangkan impaknya kepada kami yang menonton filem ini. Lain pula halnya dengan adegan melibatkan kematian penyelam mahu pun keadaan mangsa-mangsa terperangkap yang hanya dipaparkan dalam waktu seketika. Ia seolah-olah seperti kami sedang menonton sebuah dokumentari dimana tiada elemen-elemen dramatik atau kejutan yang cuba diserap masuk ke dalam filem ini. Agak mengejutkan kerana sebagai seorang penggemar filem yang sukakan karya yang diadaptasi dari kisah-kisah benar, filem The Cave benar-benar tidak mencapai kualiti yang sepatutnya perlu ada pada filem-filem sebegini sedangkan intipati kisahnya sangat menarik jika dibuat kajian yang lebih mendalam.


Satu perkara yang boleh dipuji di dalam filem The Cave ini ialah hasil kerja kamera yang boleh dikatakan bagus dimana beberapa adegan yang melibatkan keadaan di dalam guna mahu pun di dalam dapat disampaikan dengan cukup menarik. Filem ini juga menampilkan kejutan apabila membawakan mangsa sebenar untuk kembali di dalam filem ini sebagai pelakon yang memainkan watak mereka sendiri namun ianya tidak membantu untuk menjadikan filem yang sudah sedia lemah ini kembali menarik seperti yang diharapkan. Bagi kami, kelemahan terbesar filem ini ialah ketiadaan unsur ketegangan, dramatik serta penceritaan terhadap watak-watak protagonis yang terperangkap di dalam gua tersebut. Segala yang ada di dalam filem ini semuanya anda boleh peroleh dengan membaca atau menonton kembali laporan-laporan berita yang telah dibuat sebelum ini. Sayang sebuah naskah yang sepatutnya mampu membuatkan ianya diingati hanya menanti masa untuk dilupakan dan diketepikan oleh minda penonton pada masa-masa mendatang.


Secara keseluruhan, filem The Cave hanya menterjemahkan kembali kisah ini di dalam bentuk visual ke layar perak dengan memberi fokus kepada usaha menyelamat semata-mata. Secara zahirnya, kami teruja melihat bagaimana gambaran gua, keadaan dan usaha menyelamat itu dipaparkan namun secara jujurnya tiada apa-apa kejutan yang kami peroleh kerana kami tidak dapat mengenali secara mendalam ketiga-tiga belas watak utama yang terperangkap serta bagaimana cabaran, tekanan dan masalah yang dihadapi oleh mereka sepanjang berada di dalam gua tersebut. Lain orang lain pandangan dan citarasa. Jadi, tonton lah sendiri dan mungkin filem ini adalah salah sebuah filem yang anda sukai pada penghujung tahun 2019 ini.


Jadi, selamat menonton filem The Cave di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 26 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Tempatan Iaitu Busut Bonang. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Sudah tonton dan sangat menarik. 5/5.

    BalasPadam
  2. Knpa ko bagi 5/10? Padahal based pd review yg ditulis, mgkin cuma layak 3/10 kot..

    I mean, xde aspek yg baik pun yg ko puji selain penggunaan kamera dia..seakan2 filem ni hambar jer, tp dpt 5/10..

    BalasPadam
    Balasan
    1. aku suka filem adaptasi kisah sebenar...
      cuma kisah dia terlalu straight without any conflict atau elemen dramatic.
      so, filem nih agak boring tetapi aku layan jer sampai habis.
      sebab tu dapat 5...hahaha

      Padam