Review Filem Gundala


Filem:
Gundala

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Joko Anwar

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fiksyen Sains

Pelakon:
Abimana Aryasatya, Tara Basro, Bront Palarae, Ario Bayu, Rio Dewanto & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
26 Disember 2019

Sinopsis:
Filem yang diadaptasi dari karakter komik Indonesia iaitu Gundala ciptaan Hasmi pada tahun 1969 ini mengisahkan Sancaka yang perlu menjaga diri sendiri dan membesar di tepi jalanan sejak ditinggalkan oleh ibunya ketika kecil. Kini setelah meningkat dewasa, dia bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Suatu hari Sancaka telah disambar petir dan dia mendapati ia telah membangkitkan kuasa luar biasanya. Dia perlu memilih antara meneruskan hidup dengan melindungi diri sendiri atau menggunakan kuasanya untuk kebaikan dan bangkit sebagai adiwira bagi golongan yang ditindas. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Januari 2020 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem Gundala bertempat di TGV KLCC pada 20 Disember 2019 yang lepas. Filem ini telah dicanang-canang oleh beberapa orang rakan media yang telah menontonnya lebih awal di Jakarta sebagai salah sebuah filem adiwira Indonesia yang sangat menarik dan kualitinya telah meninggalkan jauh sama sekali karya-karya adiwira Malaysia buat masa ini. Kami pula berpandangan sebaliknya dimana walaupun tidak dinafikan filem ini sememangnya berjaya membuatkan filem-filem adiwira Malaysia kelihatan terlalu keanak-anakan dan terkebelakang namun sukar untuk kami menyatakan filem ini adalah filem terbaik. Karya ini juga bukannya lemah tetapi ia masih dilihat mempunyai kekurangan di dalam beberapa perkara.


Satu perkara yang menarik perhatian kami tentang filem Gundala ialah dari sudut temanya yang berat iaitu membawa isu-isu serta permasalahan berkaitan kegelapan dunia politik serta kaitannya kepada masyarakat mahu pun keseluruhan rakyat yang terkait sama dengan permainan dunia penuh kegelapan tersebut. Disaat filem-filem adiwira Malaysia masih belum mampu berani bermain dengan isu-isu politik sebegini sehingga lahir lah karya-karya seperti Cicak Man dan Badang yang takutkan getah dan air, lain pula dengan Gundala yang bukan sekadar cuba mengeksploitasikan nilai komersial elemen adiwira tersebut tetapi juga cuba menyedarkan penonton dengan lebih mendalam tentang apa sebenarnya yang harus dilalui oleh rakyat saat ahli-ahli politik yang memerintah kawasan, daerah, negeri mahu pun negara terlibat dengan jenayah serta terkongkong oleh golongan ekstremis atau gangsterism yang berdiri kuat di belakang menguasai susur galur pemerintahan sesebuah negara tersebut. Pada kami, inilah merupakan kekuatan utama Gundala yang menjadikan ia sebuah filem adiwira yang lain daripada kebiasaannya. 


Walaupun filem Gundala ini membawakan sebuah kisah yang gelap dan berat namun ianya berjaya diseimbangkan melalui elemen humor yang sesekali berjaya menggeletek hati penonton untuk ketawa. Pujian harus diberikan kepada pelakon cilik Muzzaki Ramdhan yang berjaya menghidupkan watak Sancaka dengan cukup baik melalui ekspresi, gerak tubuh, lontaran vokal serta permainan emosi sehingga membuatkan penonton merasa sangat dekat dengan watak Sancaka itu sendiri yang sentiasa ketakutan bukan sahaja dengan guruh tetapi juga dengan masa depan yang perlu dilaluinya keseorangan. Walaupun begitu, kami secara peribadi kurang menyukai permulaan ceritanya yang terlalu perlahan dan meleret serta bagaimana penggunaan teknik imbas kembali yang terlalu kerap hingga membuatkan ada beberapa momen cerita kelihatan terganggu dan tersangkut. Ia bukan sahaja berkaitan dengan penceritaan watak Sancaka tetapi juga watak antagonisnya Pengkor yang turut diceritakan kepada penonton menggunakan cara yang sama. Namun, masalah ini dapat diubati sedikit dengan penggunaan frasa dialog yang pada kami bijak dan mempunyai subteks yang menarik untuk dilihat dan dihayati. Terlalu banyak untuk ditulis disini tetapi apa yang kami boleh nyatakan filem ini mempunyai falsafah dan identiti yang berjaya digarap dengan baik di dalam setiap dialog serta penceritaannya.


Filem adiwira semestinya tidak boleh lari daripada babak-babak aksi. Begitu juga dengan Gundala dimana ianya juga penuh dengan beberapa aksi-aksi yang menarik dan mencemaskan. Berbeza dengan filem adiwira luar yang lain dimama setiap adiwiranya mempunyai kekuatan yang terlalu luar biasa hingga tidak tercapai dek akal saat awal-awal menerima kuasa, watak Sancaka berjaya dikembangkan dengan baik untuk penonton melihat bagaimana watak ini masih mempunyai kelemahan dan bagaimana ia mengatasi kelemahan itu secara perlahan-lahan. Aksi-aksi yang dipaparkan juga dilihat cukup menarik terutama dari sudut koregraf aksinya yang membuatkan filem ini berada satu tapak lagi di hadapan dan wajar diberi pujian. Namun, sayang seribu kali sayang apabila babak aksi terakhir yang sepatutnya menjadi babak yang perlu diingati di dalam filem Gundala ini berakhir tanpa rasa yang dikehendaki dimana pertarungan antara Sancaka dengan anak-anak didik Pengkor yang mempunyai pelbagai karakter, keunikan serta kemahiran berlawan dilihat terlalu lemah. Kami sebenarnya sudah tertarik apabila melihat setiap anak didik Pengkor ini tidak kira lelaki mahu pun wanita mempunyai kegilaan serta variasi watak yang agak menyeramkan tetapi tidak sangka babak akhir pertarungan mereka dilihat terlalu mudah dan kelihatan terlalu biasa. Serius, ianya agak mengecewakan kerana sepatutnya ini adalah babak pertarungan yang sangat-sangat dinantikan dan perlu memberikan satu momen yang lebih kuat berbanding babak-babak aksi lain pada pertengahan filem. 


Berkaitan dengan penggunaan imej janaan komputer atau CGI pula, filem Gundala dilihat berjaya memanfaatkan dengan sebaik mungkin. Walaupun masih ada kekurangan yang dapat dilihat tetapi setidak-tidaknya ia tidaklah terlalu buruk atau kelihatan terlalu animasi. Namun, reka bentuk kostum setiap adiwira mahu pun watak-watak antagonis yang berbelas orang itu pada kami boleh dianggap cukup memukau dan bukannya dibuat asal boleh. Ini adalah satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian oleh pembikin filem di Malaysia dimana filem Gundala menampilkan satu daya tarikan yang cukup tinggi terhadap segala segi pakaian adiwiranya. Ini juga membantu produksi filem Gundala ini dari sudut memasarkan barang-barang 'merchandise' mereka yang kelihatan unik dan punya nilai komersial yang tinggi. 


Secara keseluruhan, filem Gundala ini merupakan antara filem adiwira yang menarik perhatian kami pada tahun 2019 dimana tema yang cuba dipaparkan di dalam plot penceritaannya sangat menarik. Politik adalah satu bentuk kuasa yang boleh digunakan untuk kebaikan mahu pun kejahatan. Setiap perkara berkaitan politik memberi kesan kepada pihak-pihak yang berada di bawah kuasa dan pengaruhnya dan pihak tersebut ialah rakyat. Penggunaan bahasa-bahasanya yang adakala puitis dan adakalanya berfalsafah memberikan pelbagai subteks yang bukan sahaja berkaitan dengan rakyat Indonesia semata tetapi juga kena dengan nasib rakyat-rakyat yang berada di negara yang lain termasuk Malaysia. Selain itu, bagaimana filem Gundala ini menyelitkan beberapa adiwira lain yang bakal diperkembangkan di dalam filem-filem mereka pada tahun-tahun mendatang juga dilihat bijak dan berjaya membuatkan kami sebagai penonton ternanti-nanti filem seterusnya seperti Sri Asih, Virgo dan Godam. Walaupun filem Gundala bukannya sebuah filem yang terbaik namun ia merupakan satu filem adiwira yang wajar dibanggakan oleh negara Asean misalnya dan memberi cabaran buat pembikin filem tempatan untuk membuktikan bahawa kita bukan sahaja mampu menghasilkan filem animasi yang baik tetapi sepatutnya mampu menghasilkan filem-filem adiwira yang berani menyentuh isu-isu yang berat seperti mana yang telah Gundala buktikan.


Jadi, selamat menonton filem Gundala di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 26 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Diadaptadi Daripada Kisah Sebenar Iaitu The Cave. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan