Review Filem Tanhaji: The Unsung Warrior


Filem:
Tanhaji: The Unsung Warrior

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Om Raut

Genre:
Aksi, Biografi & Drama

Pelakon:
Ajay Devgn, Saif Ali Khan, Kajol, Sharad Kelkar, Luke Kenny & Etc.

Pengedar:
-

Tarikh Tayangan:
9 Januari 2020

Sinopsis:
Filem yang berlatar belakangkan kurun ke-17 ini mengisahkan Maharaja Mughal Aurangzeb yang mengisytiharkan kubu Kondhana sebagai ibu kota India Selatan dan merancang untuk melebarkan empayar Mughal. Jeneral Tanaji Malusare telah diperintahkan oleh Maharaja Maratha Chhatrapati Shivaji Maharaj untuk menakluk kubu itu demi melindungi India Selatan daripada dijajah pihak Mughal. Sementara Aurangzeb pula menghantar komander Uday Bhan untuk mempertahankan kubu itu. Pertarungan antara kedua-dua pihak untuk menguasai kubu itu tercetus dan sehingga kini ia dikenali sebagai Perang Sinhagad. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Tanhaji: The Unsung Warrior di TGV Cinemas Jaya Centre pada 12 Januari 2020 yang lepas. Filem ini mendapat pujian yang agak baik daripada pengkritik filem di India. Jadi, hal ini membuatkan kami tidak sabar-sabar untuk menonton filem yang menemukan pasangan suami isteri Ajay Devgn dan Kajol di dalam filem biopik yang boleh dikatakan menarik kerana ia merupakan kisah sejarah negara India yang sangat baru bagi kami sebagai penonton ini.


Filem  Tanhaji: The Unsung Warrior ini memaparkan kisah sejarah yang berlaku pada pertengahan abad yang ke-17 yang mengisahkan seorang pahlawan lelaki bernama Tanaji yang digeruni musuh-musuhnya. Tanaji belajar seni pertahanan diri sejak kecil lagi dengan ayahnya yang juga merupakan seorang pahlawan dimana ayahnya terkorban di dalam peperangan. Selepas itu, filem ini juga memaparkan kesan perjanjian Purandar yang berlaku pada tahun 1664 dimana Raja Shivaji telah menyerahkan 23 buah kubunya kepada kerajaan Mughals sehingga menyebabkan Ratu Jijabai bersumpah untuk berjalan kaki tanpa memakai sebarang kasut atau alas sehingga kubu kuat mereka iaitu Kondhana kembali diperoleh dan ditawan semula.  Jadi, filem yang agak banyak menggunakan imej janaan 3D serta VFX ini dilihat menawarkan sebuah kisah yang cukup dramatik dan seronok untuk ditonton.


Filem  Tanhaji: The Unsung Warrior ini dilihat bijak mengimbangi antara elemen sejarahnya, dramanya serta emosi penceritaan dan watak-wataknya dengan cukup bijak. Menolak ketepi hal sejarah yang terdapat di dalam filem ini kerana kami sendiri kurang arif tentang sejarah negara India yang dipaparkan di dalam penceritaan kali ini, namun kisahnya jelas dan mudah difahami terutama dari sudut kronologi penceritaan yang berjaya disusun dengan baik dan kemas untuk membantu penonton mengikuti naratif filem ini tanpa menghadapi sebarang kesukaran seperti yang dibayangkan.


Filem  Tanhaji: The Unsung Warrior ini sebenarnya diperkuatkan dengan persembahan yang cukup bertenaga dan penuh jiwa daripada para pelakon utamanya yang tidak perlu diperkenalkan lagi di dalam industri perfileman Bollywooyd iaitu Ajay Devgn dan Saif Ali Khan. Ajay Devgan bijak menghidupkan karakter pahlawan Maratha iaitu Tanhaji di dalam filem ini dimana di dalam kecekapannya memastikan watak Tanhaji ini kelihatan tegas dan garang di dalam arena peperangan, Devgn tidak lupa untuk memastikan elemen patriotik sentiasa kekal di dalam jiwa watak Tanhaji ini. Tetapi, semestinya kami sebulat suara bersetuju bahawa pelakon Saif Ali Khan wajar diberi pujian yang menggunung kerana sangat berjaya membawakan watak antagonis, Udaybhan dengan betul-betul berkesan sekali. Menariknya tentang watak antagonis ini ialah walaupun Udaybhan mempunyai sisi-sisi kejam yang sangat menggila dan layak digelar sebagai syaitan bertopengkan manusia namun pada sisi lain watak ini juga mempunyai elemen humor serta kemanusiaan yang membuatkan watak ini dilihat benar-benar realistik untuk kisah sejarah sebegini. Ia bukannya sekadar watak yang direka semata-mata untuk kelihatan jahat di layar tetapi ia membawa penonton untuk melihat kesemua sisi-sisi yang ada pada watak Udaybhan ini dan semestinya Saif berjaya menjadikan watak Udaybhan sebagai Udaybhan dan bukannya dirinya. Memang terbaik! Kemunculan Kajol pula walaupun tidak sekerap kedua-dua watak lelaki utama ini namun kemunculannya dilihat kerap kali bersinar disebabkan kekuatan susunan frasa dialog yang mempunyai subteks yang bagus. 


Kekuatan kedua filem  Tanhaji: The Unsung Warrior ini pula semestinya dari sudut hasil kerja CGI dan sinematografi 3D yang dihasilkan oleh Keiko Nakahara yang merupakan jurutera Jepun yang mendapat latihan di Amerika Syarikat. Hasil yang baik ini sangat membantu terutama daripada sudut adegan pertempuran yang boleh dilihat pada babak-babak peperangan yang melibatkan penggunaan pedang, panahan panah dan sebagainya. Walaupun tidak kesemuanya cemerlang namun diakui banyak adegan yang menggunakan efek ini dilihat berjaya menonjol dengan baik. Secara keseluruhan, filem ini berjaya mengangkat sebuah kisah sejarah lama India dengan cukup baik melalui susunan kronologi cerita yang cemerlang, kesan visual yang agak kemas serta paling penting lakonan para pelakonnya yang membantu menjadikan filem ini mempunyai kualiti yang boleh dibanggakan oleh India walaupun bukannya seratus peratus.


Jadi, selamat menonton filem Tanhaji: The Unsung Warrior di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Mandarin Yang Menarik Berjudul Detention. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Pertama kali saya tonton Saif Ali Khan jadi watak jahat. Sakit ati je tengok dia, siap potong belalai gajah tu. Watak dia pon memang kuat, pd saya dia dah berjaya kalahkan Tanhaji. Tengok la pedang dia... 3 in 1, hebat film nih cuma agak meleret di bahagian tengah, saya dah nak terlelap, nasib baik ada Kajol yg menyeri kan film nih, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      yups
      ini persembahan Saif Ali Khan yang sangat bagus dan meyakinkan
      watak dia telah menenggelamkan sedikit watak Devgn sebagai Tanhaji
      hehehe

      Padam
    2. Setuju dgn Hans. Saya suka lagi watak S.A.Khan tu, heheh

      Padam