Review Filem Happy Old Year


Filem:
Happy Old Year

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Nawapol Thamrongrattanarit

Genre:
Romantik

Pelakon:
Chutimon Chuengcharoensukying, Sunny Suwanmethanon, Apasiri Nitibhon & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
13 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Jean yang ingin mengubah suai kediamannya menjadi rumah pejabat. Ketika sedang mengemas dan menyusun atur barang yang sudah tidak digunakan lagi, dia terjumpa beberapa barangan milik bekas kekasihnya Aim. Dia mendapati barangan itu mengingatkannya semula kepada kenangan lama mereka dan ia tidak boleh dilupakan begitu sahaja dengan cara membuangnya. Kini Jean perlu memilih antara menyimpan, membuang atau mengembalikan barangan itu semula kepada tuan empunya badan untuk dia meneruskan kehidupannya. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Februari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Thailand berjudul Happy Old Year bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 13 Februari 2020 yang lepas. Walaupun momentum penceritaan filem ini sangat perlahan namun kami sangat menyukai intipati penceritaannya yang betul-betul makan dalam dan membuatkan kami sendiri bermusahabah selepas selesai menonton filem ini. Secara tersuratnya, filem ini sangat mudah dimana ia membawa kami untuk menonton kisah seorang wanita bernama Jean yang ingin menukarkan rumahnya yang sempit akibat dipenuhi banyak barangan yang tidak digunakan kepada sebuah ruang pejabat yang luas dan memuatkan jumlah perabot yang minima. Tetapi, perkara yang tersirat di sebalik kejadian ini yang sebenarnya menjadikan filem ini bukannya sebuah filem biasa yang klise.  


Filem Happy Old Year ini dimulakan dengan babak awal tentang Jean yang sedang diwawancara oleh sekumpulan wartawan yang bertanyakan bagaimana dirinya boleh menjadikan ruang pejabatnya sangat luas dengan penggunaan perabot yang minima sedangkan majoriti manusia sangat sukar untuk tinggal atau bekerja di ruang yang sangat terhad jumlah perabot dan barang. Secara asasnya kita sudah tahu bahawa Jean berjaya menjadikan ruang rumahnya sebagai ruang pejabat namun kemudian kita akan melihat bagaimana proses yang membentuk diri Jean pada awal kisah tersebut. Cabaran pertama yang perlu dihadapi oleh Jean adalah untuk meyakinkan ibunya untuk membuang segala barangan yang tidak digunakan lagi. Namun, ibunya sangat menentang keras terutama saat Jean ingin membuang piano lama yang sebelum ini menjadi saksi kebahagiaan keluarga mereka sebelum segalanya berubah selepas ibu dan bapanya berpisah. Elemen kekeluargaan yang cuba dibawakan di dalam filem ini pada kami mempunyai kekuatan tersendiri. Cukup melibatkan tiga ahli keluarga iaitu Jean, ibu serta abangnya dan penonton akan dibawa melihat permasalahan-permasalahan yang melanda keluarga ini yang sebenarnya turut pernah menjadi masalah sebahagian orang di luar sana. Barang yang hendak dibuang ini sebenarnya mempunyai memori terhadap kehidupan kita dan ia terbahagi kepada dua sama ada memberi kesan positif atau pun negatif. Negatif bagi kita tidak semestinya negatif bagi individu yang lain. Begitulah beban yang perlu dihadapi oleh keluarga Jean dimana Jean ingin ibunya menjadi ceria semula dengan tidak lagi mengingati kisah lampau bersama bapanya. Manakala ibunya pula menganggap kisah lampau tersebut sebagai satu-satu kegembiraan yang perlu dikenang pada saat kehidupannya kini yang dianggap tidak lagi bermakna. Ironinya, bapa si Jean sudah bahagia bersama pasangan yang lain dan perkara ini membuatkan Jean berasa tersangat sakit. Elemen melodrama yang melingkari kisah mereka sekeluarga ini dilihat cukup berkesan dan memberi impak pada kami.


Cabaran kedua yang perlu dihadapi Jean apabila dirinya perlu menjaga hati individu-individu yang memberinya barang istimewa sebagai hadiah dimana pada tahun-tahun mendatang barang istimewa sudah tiada nilainya di mata Jean. Perkara ini sangat menarik kerana ia bermain dengan emosi serta erti sebenar ungkapan maaf yang sememangnya pada masa kini tiada nilai kerana ia terlalu mudah dilafazkan. Niat melafazkan maaf tersebut sebenarnya bukan disebabkan menyedari kesilapan yang telah dilakukan tetapi lebih kepada untuk mengelakkan diri daripada rasa bersalah atau mengampunkan diri sendiri agak tidak rasa diri terbeban memikirkan perasaan orang lain. Ia membawa penonton untuk melihat pertembungan pendapat Jean dengan abangnya, rakan baiknya serta rakan-rakan lama sekolahnya apabila ia berkaitan dengan barang-barang berbentuk hadiah yang diterimanya dahulu. Jean sebenarnya mulai belajar tentang erti sebenar pemberian pada waktu dirinya mengembalikan semula hadiah-hadiah tersebut kepada rakan-rakannya dan ia telah berjaya mengubah pemikiran Jean sebanyak 360 darjah. Namun, jika melihat kembali pada babak awal filem ini maka kita pasti tertanya-tanya apa yang menyebabkan Jean kembali semula berubah 360 darjah kepada sikapnya yang lama? Inilah sebenarnya faktor terbesar yang sangat menarik dan cukup untuk membuatkan kami jatuh cinta dengan filem Happy Old Year ini. Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, kami sangat mencadangkan para pembaca untuk menonton sendiri filem ini.  



Filem Happy Old Year ini sebenarnya dipenuhi dengan elemen kekeluargaan dan persahabatan yang pada kami bukannya fantasi tetapi hampir tepat menuju ke arah realiti sebenar. Walaupun filem ini bergenrekan romantik namun keseluruhan jalan ceritanya bukan lah seperti filem-filem romantik yang sedai ada dimana ianya sedikit unik dan bertentangan dengan formaliti filem-filem sealiran dengannya. Masih mempunyai unsur-unsur humor yang menggembirakan. Kesimpulannya, premis filem ini sangat mudah iaitu berkaitan dengan membuang barang. Tetapi, ianya menjadi cukup bermakna apabila karya ini berjaya membuatkan kami berfikir tentang nilai sesebuah barang yang dibuang itu di mata dan hati pemiliknya. Lebih menarik adakah barang yang dibuang itu memberi pengertian bahawa anda sememangnya berniat membuang barang, membuang memori atau pun membuang manusia yang berada di sebalik pemberian barang tersebut jauh-jauh dari kehidupan anda. Mudah tetapi menarik!


Jadi, selamat menonton filem Happy Old Year di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Berjudul Love Aaj Kal. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

7 Ulasan

  1. Terima kasih sekali lagi kerana berjaya memberi ulasan film ini. Saya baru sahaja tonton malam tadi dan meneka di dalam hati yg Hans akan bagi ulasan yg baik, ternyata benar. Scene dgn ibu nya yg mahu menyimpan piano burok bapa nya memang menguji diri nya dan juga kita sebagai penonton, apa keputusan jika kita di dalam situasi Jean? Simpan atau buang? Kebetulan juga kami satu pejabat sedang dlm proses berpindah. Film ini amat membantu saya utk mengemas, menyimpan atau membuang brg². Saya akan gunakan film ini sebagai inspirasi berpindah, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      filem nih memang membantu manusia membuang barang

      Padam
  2. Tambahan: Dgn kemenangan film Parasite di dlm anugerah Oscar dan selepas menonton film ini tertanya dlm hati saya kenapa di Malaysia tidak menghasilkan film² bijak begini. Asia berjaya membuktikan yg film benua ini setanding dan lebih baik dr film Hollywood. Tak perlu tema Sains Fiksyen, Aksi Over the Top, Mistik, Sejarah etc. dgn kos yg tinggi. Pilih satu masalah / isu / taboo di Malaysia, garapkan ia supaya nampak bijak, kelakar dan dekat dihati. Recycle balik templete film Parasite tu. Di Malaysia ni ramai yg berbakat dan creative. FINAS pon ada boleh membantu dan sepatutnya kejayaan film Parasite ni bole menjadi pemangkin utk FINAS mengujudkan Pelan Film Malaysia ke Cannes / Oscar dlm jangkamasa 5 tahun... *easier said than done

    BalasPadam
  3. Aku xpuas hati betul dgn Jean ni..

    Drpd awal sampai habis movie pakai baju putih..tiap2 hari, mmg xde beli baju kaler lain ke apa?

    Menyirap jer aku..

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak pasti tapi awal-awal scene dia bukan baju hitam ker?

      Padam
    2. Awal2 scene bukan dia kena interview pasal minimalis ke? Baju putih time tu..

      Padam