Review Filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua

 


Filem:
Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua

Penilaian:
5/10
Pengarah:
Timo Tjahjanto

Genre:
Seram

Pelakon:
Chelsea Islan, Baskara Mahendra, Hadijah Shahab, Widika Sidmore, Karina Salim, Arya Vasco & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
10 September 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan selepas dua tahun Alfie dan adiknya Nara berjaya menyelamatkan diri daripada kuasa jahat yang menghancurkan keluarganya. Mereka berdua cuba meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun trauma kejadian tersebut masih belum hilang. Namun, pada suatu hari Alfie dan adiknya telah diculik oleh satu kumpulan yang sebenarnya ingin memohon bantuan Alfie untuk menentang satu entiti jahat yang ingin membunuh mereka. Rupa-rupanya entiti jahat tersebut berkait rapat dengan entiti jahat yang pernah memusnahkan keluarga Alfie. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh Horizon Film Entertainment untuk menghadiri tayangan perdana filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua bertempat di TGV One Utama pada 8 September 2020 yang lepas. Kami memang menanti-nantikan sekuel filem Sebelum Iblis Menjemput ini kerana pada naskah pertamanya telah menampilkan satu jalan cerita yang bukan sahaja menarik tetapi juga bijak diseimbangkan dengan elemen-elemen gore yang sememangnya merupakan gaya kegemaran pengarah Timo Tjahjanto di dalam filem-filemnya sebelum ini.


Namun, harapan kami yang terlalu tinggi terhadap filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua ini nampaknya terkubur apabila filem ini tidak lah sehebat seperti mana yang kami bayangkan sebelum ini. Permulaan filem ini seperti memberi satu bayangan yang baik dimana adegan permainan cahaya serta kemunculan entiti jahat telah berjaya menaikkan suasana seram yang mulai membuatkan kami sebagai penonton berasa cemas dan mula berhati-hati. Namun, disebabkan kelemahan yang cukup ketara dari sudut gaya penceritaan filem ini menjadikan filem ini tidak lebih sekadar dilihat hanya terlalu berlebih-lebih untuk cuba menakutkan penonton semata-mata. 


Kami mendapat perkhabaran bahawa pengarah Timo Tjahjanto sebenarnya ingin menghasilkan filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua ini dengan kos pembikinan yang lebih besar dan lebih gore. Namun, disebabkan kekangan tertentu maka kualiti filem ini dapat dilihat sedikit mengecewakan dan tidak sehebat seperti mana pada filemnya yang pertama. Lebih mengecewakan kami kerana ada beberapa plot penceritaanya mempunyai sedikit persamaan dengan beberapa filem bergenre seram atau thriller dimana yang paling dekat dengan filem ini buat masa ini ialah filem Ratu Ilmu Hitam. Bukannya sama seratus peratus tetapi punca terjadinya konflik di dalam filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua ini mempunyai persamaan yang lebih kurang sama dengan filem tersebut.


Namun, jika anda mengimpikan untuk menguji daya keberanian anda atau sememangnya anda ingin merasai keseraman menonton filem di panggung wayang maka filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua adalah pilihan yang tepat. Kami sangat menyukai sinematografi filem ini yang boleh kami kategorikan sebagai menarik. Selain itu, solekan ngeri yang digunakan sememangnya sangat menyerlah. Ada beberapa perkara menarik yang boleh dipuji terutamanya berkaitan 'Real Make Up' yang sebelum ini popular digunakan pada era 80-an dan ianya kembali ditampilkan di dalam satu adegan yang menampilkan penggunaan silikon yang mampu membuat anda merasa geli dan tidak senang duduk. Ini adalah antara kekuatan utama filem ini. 


Filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua ini juga sebenarnya menampilkan 'Dark Comedy' yang gemar digunakan oleh Timo Tjahjanto di dalam filem-filemnya. Selain daripada aksi entiti jahat yang seakan-akan berkungfu untuk memecahkan pintu yang bikin satu panggung riuh dengan sorakan dan ketawa, masih ada beberapa dialog yang dipaparkan dimana jika didengar pada awalnya kelihatan seperti lemah dan tidak masuk akal. Dialog-dialog yang kedengaran lucu seperti "Jangan Mati Alfie!" dan "Maafkan Aku Kak!" yang dilontarkan oleh watak-watak di dalam filem ini adakalanya dilihat kurang berkesan dan kelihatan agak buruk disebabkan lakonan beberapa pelakonnya yang kurang hidup. Bak kata artis veteran di Malaysia, "Lakonan anda seperti tiada roh!" Sayang sebenarnya kerana ia sepatutnya boleh menjadi lebih baik daripada apa yang dipaparkan di layar perak ini.


Walau bagaimanapun, tidak dinafikan filem Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua ini juga berjaya memaparkan beberapa mesej yang cukup baik. Antaranya tentang masalah Sindrom Stockholm yang dipaparkan di dalam filem ini yang membuatkan ianya kelihatan agak unik apabila anda sudah memahami erti sebenar sindrom tersebut. Selain itu, tidak ketinggalan filem ini turut menyatakan mana-mana agama pun bersetuju bahawa jangan sama sekali anda sebagai manusia berkompromi dengan iblis mahu pun syaitan jika mahu hidup dengan aman damai. Secara keseluruhan, filem ini berada di paras sederhana dimana kami yakin mereka mempunyai sasaran penonton tertentu yang mereka ingin hiburkan.


Jadi, selamat menonton filem seram Sebelum Iblis Menjemput Ayat Dua di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Ulasan Filem Seterusnya Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. looks nice,tapi hantu2 dia nampak mcm devil dead punya character

    BalasPadam
  2. Terima Kasih Hans kerana cepat review filem yg dinanti²kan ini. Amat setuju sekali dgn Hans. Film ni telah mengabungkan film² seram yg kita pernah tengok dan tuan direktor nya amat influenced dgn Sam Raimi. Walaupon tak sehebat film sebelomnya, tapi Ayat 2 ni berjaya memukau saya dari mula sampai end credits. Puas hati dapat tonton film ni di pawagam. Cinematography dan sound efx nya hebat...

    BalasPadam