Review Filem Z

 

Filem:
Z

Penilaian:
4/10

Review Youtube:
Z REVIEW FILEM

Pengarah:
Brandon Christensen

Genre:
Seram

Pelakon:
Keegan Connor Tracy, Jett Klyne, Sean Rogerson & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
8 Oktober 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Elizabeth Parsons yang hidup bahagia bersama suaminya iaitu Kevin serta anak lelaki mereka bernama Joshua. Namun, pada suatu hari Joshua meminta ibu bapanya menyediakan ruang makan untuk rakan imaginasinya yang digelar Z. Pada mulanya, Elizabeth menganggap perkara itu normal selepas berbincang dengan pakar psikologi. Tetapi, dia mula menyedari perlakuan anaknya yang semakin pelik. Kebimbangannya semakin bertambah apabila Joshua dibuang sekolah setelah dia dilaporkan bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata kasar terhadap rakan-rakan sekeliling. Namun Joshua menyalahkan Z atas semua tindakannya dan menyebabkan Elizabeth nekad untuk mencari jalan penyelesaian. Apa yang lebih menakutkan adalah apabila dia menyedari Z bukanlah sekadar rakan imaginasi tetapi makhluk itu benar-benar wujud. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 Oktober 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram yang berjudul Z pada 9 Oktober 2020 bertempat di TGV The Mines. Filem Z ini merupakan sebuah filem yang kami boleh katakan sebagai sebuah filem seram yang sememangnya sangat klise dan stereotaip dimana filem ini hanya mengitar kembali formula-formula lama dan diberi sedikit nafas baru di dalam elemen seramnya untuk cuba menambat hati penonton. Segala-galanya sudah boleh dijangka dan boleh dikatakan ramalan kami tentang filem ini sejak dari awal lagi adalah 100 peratus tepat.


Filem Z ini hanya berada di dalam zon sederhana jika dipandang daripada setiap sudut sama ada dari segi plot, lakonan, kesan bunyi, sinematografi mahu pun teknik solekan. Segala-galanya berjalan lancar namun filem ini tidak memberikan sesuatu kejutan yang hebat. Tetapi, filem ini juga bukan lah sebuah filem yang buruk. Ia hanya sebuah filem seram yang sekadar sesuai ditonton sebagai hiburan dan tidak terlalu terkesan dengan elemen seramnya yang kurang memberi impak kepada emosi kami yang menonton.


Filem Z ini dilihat tergesa-gesa di dalam memaparkan perubahan setiap watak-watak utama yang ada di dalam filem ini. Kami melihat perkembangan ceritanya yang terlampau cepat dan secara tiba-tiba yang secara tidak langsung membuatkan kepercayaan kami sebagai penonton terhadap karakter watak-watak ini sukar dibina dan ditanam dengan baik untuk membuatkan kami terpegun melihat keseluruhan cerita ini. Segala-galanya dilihat seakan-akan terperangkap di dalam satu ruang kecil yang dicipta sendiri dan sekadar bermain di zon tersebut sahaja. Filem ini sebenarnya sudah mempunyai wajah seram yang boleh kami nyatakan ada potensi yang baik untuk berkembang dan menarik perhatian penonton. Namun, disebabkan segala aspeknya yang serba-serbi lebih suka bermain dengan perkara yang selamat membuatkan filem ini tidak lebih sekadar sebuah lagi filem seram yang tidak memberikan apa-apa kesan menarik selepas kami keluar daripada pawagam.


Hanya sebagai sebuah lagi filem seram yang menggunakan tema selamat iaitu 'Rakan Imaginasi' sebagai fokus utama penceritaan, Z tidak lebih sekadar mengulangi sahaja tema terbabit tanpa ada sebarang perubahan besar terhadap keseluruhan penceritaannya. Disamping memaparkan keegoan ibu bapa serta beberapa tindakan aneh yang sememangnya hanya sekadar pengulangan daripada filem-filem seram berkonsep sebegini hanya membuatkan filem Z ini dilihat sebagai sebuah filem seram yang bakal dilupakan dalam masa terdekat nanti.


Jadi, selamat menonton filem seram Z ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 Oktober 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulaskan Ialah Filem My People, My Homeland! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

1 Ulasan