Review Filem Jangan Sendirian

 


Filem:
Jangan Sendirian

Penilaian:
1/10

Pengarah:
X. Jo

Genre:
Seram & Thriller

Pelakon (Suara):
Agatha Valerie, David John Schaap, Jasi Michelle Tumbel, Henry Boboy & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
8 April 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan roh iblis yang menghantui dan mengganas dengan membunuh empat sekawan yang tinggal bersendirian. Tidak diketahui sama ada mereka menjadi sasaran atau secara rawak tetapi apa yang pasti ketakutan, panik dan histeria mula dirasai mereka yang cuba untuk terus hidup. Apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa kepada iblis? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 April 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Horizon Film Entertainment untuk menonton filem seram thriller dari Indonesia yang berjudul Jangan Sendirian sempena tayangan media yang berlangsung dengan meriahnya di TGV 1 Utama pada 6 April 2021 yang lepas. 


Tidak ada banyak yang boleh diperkatakan tentang filem Jangan Sendirian ini. Walaupun ia bukannya sebuah filem klise seram yang kita sering dapat tonton daripada naskah-naskah seram Indonesia yang lain namun percubaan berani untuk memberikan satu kelainan kepada penonton boleh kami nyatakan sebagai gagal secara keseluruhan. Cuba menggabungkan kisah 4 sekawan di dalam satu penceritaan namun ia kelihatan terlalu cara marba dan segala-galanya kelihatan kabur tanpa penunjuk yang jelas sehingga tibanya babak akhir filem ini. Lebih menyedihkan ialah adegan-adegan seramnya yang pada kami memang mampu menyeramkan penonton tetapi dek kerana kami sebagai penonton pun tidak tahu apa sebenarnya yang perlu kami risau atau takutkan maka adegan tersebut berlalu sepi tanpa meninggalkan impak yang sepatutnya. Segala macam adegan seram sememangnya tidak berkesan dan sudah terlambat untuk menyelamatkan filem ini yang kelihatannya seperti sebuah karya yang dibuat sambil lewa serta kelihatan lemah daripada setiap sudut. 


Cuma bertepatan dengan tajuk filem ini sendiri iaitu Jangan Sendirian maka adalah lebih baik anda datang menonton bersama rakan-rakan agar anda tidak terasa tertipu atau tertekan sendirian menyaksikan filem yang tidak hujung pangkal yang jelas ini. Namun, satu perkara yang menarik ialah filem ini agak kelakar disebabkan banyak babak yang tidak munasabah, penampilan hantu yang dicedok daripada filem-filem Hollywood serta adegan manusia dibunuh hantu yang sememangnya tidak terjangkau dek akal bakal membuatkan anda keluar dari panggung dengan perasaan yang sedikit lega kerana masih ada unsur hiburan disitu. Selebihnya hanya lah sebuah filem yang menampilkan plot penceritaan yang lemah dan tiada keaslian yang boleh dibanggakan.


Jadi, selamat menonton filem Jangan Sendirian ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bergenre Jenayah Drama Yang Cukup Memikat Iaitu Promising Young Woman! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Komen

2 Ulasan

  1. Terima Kasih Hans kerana telah memberi amaran awal supaya menjauhkan diri dan kawan² dari tonton film ini, heheh. Hans tak review film Godzilla vs King Kong ke?

    BalasPadam