Filem:
Promising Young Woman
Penilaian:
8/10
Pengarah:
Emerald Fennell
Genre:
Jenayah & Drama
Pelakon (Suara):
Carey Mulligan, Bo Burnham, Alison Brie, Clancy Brown,
Jennifer Coolidge, Connie Britton, Laverne Cox & Etc.
Pengedar:
United International Pictures
Tarikh Tayangan:
15 April 2021
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Cassie yang merupakan seorang wanita muda tetapi mempunyai kisah silamnya yang tersendiri. Dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada menyambung pengajiannya di dalam bidang perubatan dan tinggal bersama ibu bapanya. Lebih mengejutkan Cassie bekerja di sebuah kafe menjual kopi. Jika dilihat pada luaran, tiada apa-apa yang membezakan Cassie dengan wanita lain. Namun, Cassie sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri terutama berkaitan dengan kehidupan pada waktu malamnya. Menggoda lelaki-lelaki nakal untuk membalas dendam kesumatnya terhadap mereka membuatkan Cassie berasa puas. Namun, tidak disangka-sangka Cassie telah berjaya menemui seorang lelaki yang sebenarnya menjadi punca dia menjadi sedemikian rupa. Adakah Cassie akan bertindak di luar batasan kali ini? Berjayakah Cassie melunaskan dendam yang sudah lama tersimpan rapi di dalam hati? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 April 2021 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton filem bergenra jenayah drama yang cukup hebat berjudul Promising Young Woman sempena tayangan media filem nominasi Academy Awards (OSCAR) di TGV 1 Utama pada 13 April 2021 yang lepas.
Apa yang membuatkan kami cukup tertarik dengan filem Promising Young Woman ini ialah apabila subjeknya iaitu wanita yang cuba membawakan satu definisi baru berkaitan dengan kuasa wanita serta perihal masalah seksual yang dihadapi wanita dimana ianya berjaya disampaikan dalam satu gaya penceritaan yang cukup unik dan memang di luar kotak. Wanita selalunya dipotretkan sebagai sebuah makhluk yang lemah saat diri mereka rebah di pangkuan lelaki tanpa rela. Namun, apa yang membezakan perkara tersebut dengan isi filem ini apabila watak utamanya iaitu Cassie yang bijak bermain psikologi dengan lelaki-lelaki berhidung belang yang dijumpainya di kelab dengan berpura-pura mabuk untuk memperdayakan lelaki tersebut untuk terperangkap di dalam jerat yang telah dipasang olehnya.
Filem Promising Young Woman merupakan sebuah filem yang sebenarnya sangat mudah untuk dihadam. Plot penceritaannya tidak bersimpang siur dan bagaimana setiap plot itu dikembangkan dan kronologi penceritaan itu bergerak sememangnya seiring dan menepati segala persoalan yang muncul di dalam sepanjang filem ini berlangsung. Memperjuangkan tema gangguan seksual terhadap wanita serta bagaimana kiasan sinis terhadap sensitiviti kaum lelaki yang tidak peka terhadap permasalahan ini menjadi pemangkin buat filem ini untuk sentiasa segar ditonton oleh para penonton. Isu seksual yang cuba dibangkitkan kali ini sebenarnya sangat berbeza dimana pada awalnya kita akan melihat watak Casey ini seolah-olah seperti tersalah langkah. Namun, semakin lama kita dapat merasakan bahawa pembalasan yang diberikan oleh Casey kepada lelaki-lelaki yang menjadi mangsanya adalah satu pembalasan yang sangat tragis daripada segi emosi dan dalaman. Bagi kami, ini adalah satu idea yang cukup bijak yang membuatkan filem ini sangat lain daripada filem-filem yang seangkatan dengannya.
Menelusuri perkembangan watak Casey yang dibebani kisah dendam silam membuatkan kami sebagai penonton melihat banyak perkara di dalam kehidupan watak ini. Bagaimana keluarga perlu menjadi tiang menyokong kekuatan mental si anak yang sebenarnya kacau bilau dengan apa yang difikirkan. Dapat dilihat disini bahawa ibu bapa Casey sememangnya tidak betul-betul mengenali anak mereka sehinggakan terlalu percaya dan membiarkan Casey berbuat sesuka hati. Menarik juga untuk melihat bagaimana Casey sudah cuba untuk bertindak menjadi wanita normal namun kepercayaan tersebut sekali lagi hancur gara-gara disebabkan masalah silam yang bertaut menjadi dendam yang tidak pernah berkesudahan. Casey sememangnya tidak mampu diselamatkan namun perjuangannya di dalam menuntut bela dan memperjuangkan hak dan kuasa wanita adalah satu tindakan yang dilihat memberi satu tekanan hebat di dunia sebenar. Kami melihat filem ini cukup kuat daripada aspek tersebut.
Lakonan pelakon utama Promising Young Woman iaitu Carey Mulligan wajar dipuji kerana berjaya menghidupkan watak Casey dalam pelbagai fasa. Kami sebagai penonton cukup tertarik saat melihat perubahan ekspresi wajah watak Casey ini sewaktu watak ini berada di dalam keadaan psiko tetapi di dalam penampilan yang feminin. Segala rasa benci, marah, sedih dan kepuasan berjaya diluahkan di dalam watak Casey ini dan ia sememangnya sangat meyakinkan. Dibantu pula dengan skor muzik yang menarik berjaya menyampaikan lagi isi hati watak ini dengan cukup menakjubkan.
Siapa sangka filem Promising Young Woman yang membawa tema berat ini berjaya disampaikan dengan gaya penceritaan yang cukup ringan dan menarik untuk ditonton. Lebih menarik kerana filem ini tidak menampilkan sebarang elemen slasher atau ngeri seperti yang dijangkakan tetapi ia masih berjaya menunjukkan bagaimana cita-cita Casey untuk memperkasakan janji dan sokongannya kepada hak wanita dimuktamadkan pada penghujung filem dengan pilihan cara yang cukup berbeza. Kami yakin filem ini pasti agak sukar untuk diterima oleh sebahagian penonton yang menginginkan sesuatu yang lebih gore daripada filem ini namun percayalah karya ini sememangnya sudah cantik dan semestinya bijak dengan gaya penyampaian sebegini. Secara keseluruhan, kami sangat berpuas hati dengan apa yang kami tonton di dalam filem Promising Young Woman. Terbaik!
Jadi, selamat menonton filem hebat Promising Young Woman ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Blockbuster Dari Korea Yang Berjudul Seobok! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!
0 Ulasan