Review Filem Seobok

 

Filem:
Seobok

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Lee Yong-Joo

Genre:
Aksi, Sains Fiksyen & Thriller

Pelakon (Suara):
Gong Yoo, Park Bo-Gum, Jo Woo-Jin, Jang Young-Nam & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
15 April 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Ki Heon (Gong Yoo) yang merupakan bekas ejen perisik yang mempunyai penyakit yang parah. Namun, dia kembali dicari oleh bekas bosnya untuk melakukan tugas untuk membawa dan menyerahkan Seo Bok (Bo-gum) yang merupakan klon manusia pertama ke satu lokasi dengan selamat. Memandangkan klon Seobok menyimpan rahsia kehidupan yang abadi maka dia menjadi buruan ramai pihak. Misi membawa Seobok ke lokasi selamat telah digagalkan oleh satu serangan menyebabkan Ki Heon dan Seobok terpaksa melarikan diri bersama-sama. Pada masa itu, mereka berdua saling memahami antara satu sama lain dimana Ki Heon ingin menyelesaikan misi tersebut dengan secepat mungkin. Manakala Seobok pula ingin menikmati dunia luar dengan lebih lama sejak dia bekerja di makmal sepanjang hidupnya. Saksikan filem aksi blokbuster Korea ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 April 2021 untuk mengetahui kisah selanjutnya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton filem aksi blokbuster dari Korea berjudul Seobok di GSC Mid Valley pada 13 April 2021 yang lepas.


Apa yang kami boleh katakan tentang filem Seobok ini ialah ianya sebuah filem yang sebenarnya membawa satu tema yang agak berat iaitu berkaitan kehidupan manusia. Di dalam filem ini, penonton dibawa untuk melihat dua watak utamanya yang mempunyai kefahaman yang salin berlawanan berkaitan dengan makna kehidupan. Watak Ki Heon yang merupakan seorang manusia yang mempunyai penyakit kritikal sedang ketakutan menantikan waktu ajalnya dan ingin mencari sebarang peluang agak dirinya dapat hidup lama. Berlainan pula dengan Seobok yang merupakan klon manusia dimana dirinya boleh hidup selama-lamanya tetapi beranggapan kehidupan yang bosan terperap di dalam satu kawasan yang sama tanpa boleh tidur adalah lebih terseksa dan menyakitkan. Jadi, apabila tema kehidupan ini dikembangkan dengan cukup baik melalui dua watak protagonis ini membuatkan filem ini sememangnya lain daripada kebiasaan filem Korea yang penonton acap kali tonton sebelum ini. 


Walaupun tema utama yang cuba diketengahkan di dalam filem Seobok ini pada pandangan kami menarik namun kami melihat caranya disampaikan di dalam filem yang berdurasi 1 jam 55 minit ini adalah sangat perlahan dan terlalu meleret pada sebahagian babak terutamanya di pertengahan cerita filem ini. Penonton sentiasa disogokkan dengan perdebatan dua watak ini yang cuba menegakkan kefahaman dan kepercayaan yang mereka pegang dan percaya sehingga membuatkan filem ini seakan-akan hilang punca. Terlalu banyak babak-babak yang penuh dengan dialog-dialog sebegini membuatkan kami sebagai penonton adakalanya hilang fokus kerana adegan-adegan tersebut sememangnya sangat panjang dan seperti berulang-ulang. Adakalanya ia agak melelahkan untuk ditonton berkali-kali.


Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal lagi lakonan dua pelakon utama filem Seobok ini iaitu Gong Yoo dan Park Bo Gum sememangnya amat baik dan keserasian mereka dilayar dapat dirasai oleh kami. Ianya kelihatan sangat hidup dan cukup menghiburkan untuk melihat bagaimana manusia dan klon manusia saling faham memahami antara satu sama lain melalui bahasa tubuh, emosi serta reaksi wajah yang mempunyai jiwa sebenar. Lebih menarik untuk melihat bagaimana Park Bo Gum membawakan watak Seobok iaitu klon manusia ini tanpa ada ekspresi muka seperti mana manusia lain membuatkan kami terasa penjiwaannya terhadap watak ini sememangnya cukup berkesan dan menakjubkan. Sememangnya pemilihan dua pelakon hebat ini untuk membintangi filem sebegini adalah satu langkah tepat yang dilakukan.


Secara keseluruhannya, filem Seobok ini menghiburkan dan aksi-aksi yang ada di dalam babak-babak tertentu juga memang membuatkan cukup terhibur. Unsur humor yang minima juga membantu filem ini untuk lebih segar. Cuma kami menyarankan anda untuk lebih fokus jika ingin menonton filem ini kerana cara penyampaiannya yang agak mendatar pada adegan-adegan perbualan antara dua watak utama ini memang betul-betul bakal menguji ketahanan anda. Namun, ianya masih sebuah filem yang menarik untuk anda tonton terutama buat mereka yang menggemari filem bergenre aksi dan sains fiksyen seperti filem ini.


Jadi, selamat menonton filem hebat Seobok ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Berjudul Detective Conan: The Scarlet Bullet! Nantikan Ulasan Filem Animasi Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Saya setuju apa yg dinyatakan oleh Hans. Film ni amat slow dan saya dah hampir nak terlelap. Tapi film ini sebenarnya menarik jika kita fokus dan sabar menanti ending dia yg pada saya dah mcm X-Men pon ada, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem nih sebenarnya menarik cuma terlalu draggy..itu yang kalau mengantuk boleh terlelap tu. hahaha!

      Padam