Review Filem Backstage

 

Filem:
Backstage 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Guntur Soeharjanto

Genre:
Drama

Pelakon:
Vanesha Prescilla, Sissy Prescillia, Karina Suwandi, Achmad Megantara, Roy Sungkono & Etc.  

Pengedar:
Astro Shaw

Tarikh Tayangan:
20 Januari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan adik beradik yang memiliki impian untuk menjadi seorang penyanyi yang hebat. Elsa yang merupakan adik kepada Sandra sememangnya sangat mengharapkan untuk dikenali sebagai bintang yang popular dan terkenal. Ini membuatkan Sandra terpaksa berkorban untuk merealisasikan impian adiknya dengan menyumbangkan suaranya sendiri kepada Elsa. Hari demi hari Elsa semakin dikenali dan berkesempatan bertemu dengan idolanya iaitu Michael Nara. Hal ini membuatkan Elsa jatuh cinta dan mula lupa diri sehingga membuatkan Sandra meminta Elsa menghentikan segala pembohongan yang dilakukan mereka. Tindakan Sandra menyebabkan mereka mula bertengkar dan hubungan adik beradik ini mula berantakan. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Januari 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Astro Shaw untuk menonton sebuah filem yang cukup hebat dari Indonesia berjudul Backstage yang berlangsung di TGV One Utama pada 17 Januari 2022 yang lepas. 


Apa yang menariknya tentang filem Backstage ini ialah kedua-dua pelakon utamanya menyumbang suara mereka sendiri di dalam setiap persembahan nyanyian yang ada di dalam keseluruhan filem. Kedua-dua adik beradik ini mempunyai suara yang lunak dan ianya secara tidak langsung membantu memberikan markah bonus buat karya ini untuk lebih hidup dan diyakini kami sebagai penonton.


Tema tentang kekeluargaan yang memberi fokus kepada hubungan adik beradik sememangnya tidak asing buat kami. Pada mulanya kami tidak dinafikan mempunyai tanggapan yang agak skeptikal berkaitan filem Backstage yang mana kami risau jika ianya menampilkan kisah yang klise seperti mana filem-filem lain sebelum ini. Namun Alhamdulillah jangkaan kami agak meleset kerana plot ceritanya berjaya diolah dengan baik dan menampilkan satu kisah kompleks yang boleh dikatakan sedikit segar dan menghiburkan.


Cuma ada juga beberapa perkara yang sudah boleh ditebak mahu pun dijangka dan ianya benar-benar berlaku di dalam filem Backstage ini. Permainan pentasnya agak baik. Lakonan sebahagian besar para pelakon terutama dua pelakon utamanya boleh diberi pujian kerana penjiwaan watak serta permainan emosi yang cukup baik. Cuma kami melihat bahagian akhirnya agak tergesa-gesa dan tidak memberi impak yang besar seperti mana bahagian pertengahan filem ini yang berjaya menaikkan adrenalin kami. Secara keseluruhan filem ini masih berbaloi untuk anda tonton di pawagam pada bulan Januari 2022 ini, 


Jadi, selamat menonton filem Backstage yang akan mula ditayangkan pada 20 Januari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Scream! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. menarik.
    masuk bakul aida :)
    klise tapi seronok ditonton.
    pasti ada jalan cerita berbeza berbanding movie yg sepertinya.

    BalasPadam