Review Filem Bunga Dan Kayu

 

Filem:
Bunga Dan Kayu

Pengarah:
Waan Hafiz

Penilaian:
6/10

Genre:
Romantik & Komedi

Pelakon:
MK K-Clique, Azira Shafinaz, Zalif Sidek, Yazmin Aziz, Kazar Saisi, Azad Jasmin & Elly Arifin.

Terbitan:
Infinitus Gold Sdn Bhd

Rakan Platform:
Astro First

Tarikh Tayangan Di Astro First:
3 Mei 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Noah yang merupakan seorang selebriti terkenal tanah air dengan sengaja memilih Bunga sebagai kekasihnya atas sebab tertentu dan tidak munasabah. Sikap Noah menjadi lebih tidak terkawal apabila mendapat tahu gadis yang baru dikenalinya, Bunga menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon. Oleh sebab itu, Noah telah menawarkan peluang kepada Bunga yang bakal mengundang 1001 bencana, bukan hanya pada Bunya tetapi Noah juga.Saksikan filem Bunga Dan Kayu di pawagam rumah anda iaitu Astro First bermula pada 3 Mei 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Astro Shaw untuk menonton sebuah filem tempatan yang bakal ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula pada 3 Mei 2022 iaitu Bunga Dan Kayu yang berlangsung dengan cukup di Glass House, The Chateau Berjaya Hill Resort pada 20 April 2022 yang lepas. 


Filem Bunga Dan Kayu secara asasnya boleh kami gambarkan sebagai sebuah filem 'romcom' yang klise tetapi masih menghiburkan untuk ditonton. Tidak ada permainan perubahan plot yang betul-betul memberi impak kerana ianya sudah boleh ditebak sejak awal. Namun, pujian harus diberikan kepada beberapa pelakon yang bijak menghidupkan watak yang dimainkan dengan gaya yang bersahaja dan menghiburkan.


Antara pelakon yang berjaya menyerikan keindahan filem Bunga Dan Kayu ini adalah Azira Shafinaz dan Kazar Saisi yang sentiasa tampil dengan lakonan bertenaga dan berjaya menggeletek hati penonton setiap kali watak-watak ini muncul pada setiap babak filem ini. Pelakon lain juga tidak kurang hebatnya namun disebabkan plot penceritaan filem ini yang ringan tidak memberi kelebihan kepada mereka untuk menyinar seperti mana dua watak yang kami sebutkan tadi.


Filem Bunga Dan Kayu ini agak berani mempertaruhkan MK K-Clique sebagai watak utama filem ini. Kami berpandangan bahawa MK K-Clique ini sebenarnya mempunyai potensi untuk menyerlah tetapi perlu diberi lebih banyak masa untuk mendalami dan mempelajari selok belok ilmu lakonan. Kami kurang pasti adakah persembahan lakonan MK yang agak kekok di dalam filem ini sebenarnya adalah untuk menjiwai watak Noah yang sememangnya diklasifikasikan berkarakter kayu di dalam filem ini. Tetapi, tidak dinafikan ada beberapa babak yang MK berjaya laksanakan dengan cukup baik dimana emosi, lontaran dialog dan pergerakan badan berjaya menyatu dengan baik untuk memberi impak kepada tontonan kami. Namun, selebihnya kami melihat MK agak kekok dan reaksi yang diberi agak mengelirukan jika dilihat pada keadaaan adegan pada ketika itu. Apa-apapun, satu percubaan yang bagus daripada MK dan semoga lebih maju jaya di dalam filem-filem lakonan anda yang akan datang.


Tetapi, satu perkara yang menarik tentang filem Bunga Dan Kayu ini ialah sinematografi yang boleh kami katakan sebagai menarik dan indah. Pemilihan lokasi terkenal yang sememangnya bersesuaian dengan genre filem ini juga sangat memainkan peranan di dalam menghidupkan lagi adegan-adegan romantik yang ada di dalam filem ini. Selain itu, keindahan melodi dan lirik lagu Dengarlah Rinduku nyanyian Farhan juga dilihat kena dengan babak-babak romantik filem ini. Secara keseluruhannya, filem ini adalah sebuah filem ringan yang sesuai ditonton oleh seisi keluarga pada hari raya nanti sebagai hiburan semata.


Jadi, selamat menonton filem Bunga Dan Kayu di pawagam rumah anda iaitu Astro First bermula pada 3 Mei 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Sekuel Yang Menghiburkan Iaitu Sonic The Hedgehog! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan