Review Filem Sonic The Hedgehog 2

 

Filem:
Sonic The Hedgehog 2 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Jeff Fowler

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
James Marsden, Ben Schwartz, Tika Sumpter, Natasha Rothwell, Adam Pally,
Shemar Moore, Colleen O'Shaughnessey, Idris Elba, Jim Carrey 
& Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
21 April 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Sonic dan Tails cuba menghalang Dr Eggman dan Knuckles daripada mencari Master Emerald yang mempunyai kuasa untuk memusnahkan tamadun manusia jika digunakan oleh mereka yang jahat. Namun gabungan kebijaksanaan Dr Eggman dan kekuatan Knuckles menyukarkan usaha Sonic dan Tails untuk menggagalkan percubaan mereka berdua daripada mendapatkan Master Emerald. Mampukah Sonic dan Tails menghalang niat jahat Dr Eggman? Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 21 April 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula sebenarnya telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton filem sekuel Sonic The Hedgehog 2 ini lebih awal. Namun disebabkan kekangan waktu kerja maka kami membuat keputusan untuk menonton sendiri filem ini di TGV Jaya Centre pada 22 April 2022 yang lepas. Pilihan kami untuk menonton filem ini nampaknya tidak salah kerana filem sekuel ini sememangnya lebih menghiburkan berbanding filem pertamanya. Lebih menghiburkan apabila naskah ini dilihat lebih menghargai penonton terutamanya peminat dan penggemar permainan video Sonic kerana banyak unsur permainan tersebut dimasukkan di dalam naskah kali ini.


Filem Sonic The Hedgehog 2 berjaya menampilkan sebuah jalan cerita yang dilihat telah berjaya mengimbangi antara filem dan permainan video. Jadi, kami melihat naskah kali ini betul-betul berjaya memberi penangan yang cukup hebat kepada penonton untuk melihat susur galur kisah bagaimana Sonic berhadapan semula dengan musuh ketatnya iaitu Dr Eggman yang tampil dengan kehadiran karakter baru di dalam filem sekuel ini iaitu Knuckels.


Kami juga cukup teruja melihat robot besar Dr Eggman yang muncul di dalam filem Sonic The Hedgehog 2 kali ini. Memang cukup menyeronokkan apabila elemen-elemen yang ada di dalam permainan video Sonic ini dimasukkan di dalam penceritaan filem ini. Ianya bukan sekadar mengimbau kembali kenangan kami bermain permainan video Sonic sewaktu kecil tetapi melihat ianya direalisasikan di dalam visual filem adalah satu kepuasan yang sangat besar dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Senang cakap hanya peminat permainan video Sonic sahaja yang akan faham akan rasa kegirangan tersebut. Hahaha!


Filem Sonic The Hedgehog 2 juga turut mengekalkan elemen humor di dalam penceritaannya untuk membuatkan para penonton sentiasa geli hati melihat perjalanan setiap watak yang ada di dalam filem ini pada keseluruhan filem. Ditambah pula dengan babak-babak aksi yang mana setiap visual berjaya dihasilkan dengan cukup baik pastinya sudah cukup untuk mengatakan bahawa adalah sangat berbaloi untuk menonton filem ini di pawagam berdekatan anda.


Semestinya kisah yang di dalam filem Sonic The Hedgehog 2 ini sebenarnya sudah boleh dijangka dan agak klise. Namun, keterujaan sebenar datang apabila elemen-elemen permainan video yang ada disuntik masuk ke dalam penceritaan kali ini untuk menjadikan sekuel filem ini lebih menarik dan hebat berbanding filem pertamanya. Kepada peminat Sonic jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini. 


Jadi, selamat menonton filem Sonic The Hedgehog 2 yang mula ditayangkan pada 21 April 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Dinanti Ramai Berjudul Doctor Strange In The Multiverse Of Madness! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan