Review Filem Memory

 

Filem:
Memory 

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Martin Campbell

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Liam Neeson, Guy Pearce, Monica Bellucci, Harold Torres & Etc.  

Pengedar:
ATriNaga Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
12 Mei 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pembunuh bernama Alex Lewis yang dikenali dan disegani dengan reputasinya yang cukup baik dalam setiap tugasan yang dilakukan olehnya. Namun, tugasan terbaru yang diterima oleh Alex nampaknya terpaksa ditolak kerana melanggar etika dan prinsip yang dipegangnya. Ini menyebabkan pihak terbabit mula memburu Alex dan pada masa yang sama juga menyebabkan Alex terpaksa berpaling tadah untuk membalas dendam kepada mereka. Pada masa yang sama, kesihatan ingatan Alex juga semakin terjejas dan ini menyebabkan Alex mulai keliru dengan tindakannya sendiri. Mampukah Alex menyelesaikan tugasannya dan membalas dendam kepada musuh-musuhnya? Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 12 Mei 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak ATriNaga untuk menonton sebuah filem aksi ngeri lakonan pelakon hebat Liam Neeson iaitu Memory yang berlangsung dengan meriah di TGV One Utama pada 9 Mei 2022 yang lepas. Filem aksi ini sememangnya berjaya menarik perhatian kami serta ramai peminat filem terutama buat mereka yang menggemari lakonan pelakon veteran Liam Neeson yang cukup popular dengan gaya aksinya yang bersahaja di dalam filem-filem sebelum ini. Namun, sangkaan tersebut agak meleset kerana filem ini memberikan kami perasaan yang bercampur baur antara suka dan sebaliknya. 


Filem Memory ini boleh diberi pujian dari sudut aksinya yang berjaya menampilkan elemen ngeri terutama berkaitan dengan teknik solekan ngeri yang betul-betul berjaya menaikkan bulu roma kami yang menonton. Hampir kebanyakan babak-babak yang melibatkan aspek ini berjaya menampilkan visual yang agak realistik dan ini semestinya memberi satu kepuasan buat mereka yang menggemari filem-filem aksi ngeri sebegini.


Namun, sayangnya filem Memory dilihat gagal menampilkan sebuah penceritaan yang menarik gara-gara plot ceritanya yang mudah diteka selain tidak permainan perubahan kisah yang kreatif. Lebih kepada sebuah filem yang sangat klise, tiada pembaharuan yang dapat ditonton pada naskah ini yang secara tidak langsung memberi kesan kepada keseluruhan tontonan kami terhadap filem aksi ini.


Selain itu, frasa dialog yang digunakan oleh setiap watak di dalam filem Memory ini juga dilihat gagal berhubung dengan baik antara satu babak ke babak seterusnya. Bagaikan tiada simbiosis yang tercipta pada setiap ungkapan dialog menyebabkan impaknya langsung tidak terasa hatta melekat di hati. Secara keseluruhan, kami boleh nyatakan filem Memory ini banyak diselamatkan oleh babak-babak aksinya yang masih kelihatan baik dan meyakinkan. Jadi, jangan mengharap atau meletakkan harapan terlalu tinggi buat filem ini supaya anda tidak akan kecewa saat menontonnya di pawagam nanti.

Jadi, selamat menonton filem Memory yang bakal ditayangkan pada 12 Mei 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Tiga Janda Melawan Dunia! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan