Review Filem Cobra

 

Filem:
Cobra

Penilaian:
9/10

Pengarah:
R. Ajay Gnanamuthu

Genre:
Ngeri

Pelakon:
Vikram, Srinidhi Shetty, Miya, Irfan Pathan & Etc.  

Pengedar:
Lotus Five Star AV

Tarikh Tayangan:
31 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pembunuh upahan yang digelar Cobra dijejaki oleh ejen Interpol selepas beliau melakukan kes jenayah berprofil tinggi apabila membunuh raja dan pemimpin global dunia yang berkuasa di luar negara. Menariknya apabila pihak Interpol mendapat maklumat bahawa Cobra melakukan pembunuhan dengan cara yang luar biasa iaitu melalui ilmu matematik. Mampukah Cobra ditumpaskan dan ditangkap oleh pihak Interpol? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 31 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang cukup menarik berjudul Cobra pada 3 September 2022 di TGV Jaya Shopping Centre. Melihat kepada penilaian yang diberi oleh penonton dari negara India yang cukup tinggi maka hal ini sememangnya menarik perhatian kami untuk pergi menonton sendiri filem ini di pawagam. Keputusannya adalah pilihan yang kami buat ini adalah sebuah pilihan yang sangat tepat dan berbaloi kerana filem ini memang cukup menarik dan penuh dengan kejutan yang menghiburkan.


Perkara pertama yang membuatkan kami cukup tertarik dengan filem Cobra ini ialah jalan ceritanya yang cukup menarik dan penuh dengan plot twist yang sukar dijangka. Kali ini jenayah yang dipaparkan bukan sekadar sebuah jenayah politik yang berlaku di India tetapi filem ini membuang jauh stigma itu dengan memaparkan jenayah-jenayah terancang yang dilakukan oleh watak Cobra di luar negara. Bukan satu lokasi tetapi banyak lokasi dan setiap jenayah ini berlaku dengan menggunakan ilmu matematik. Memang lain dari kebiasaan dan kami boleh katakan perkara luar biasa yang cuba diketengahkan di dalam filem ini yang menjadikan filem ini betul-betul menaikkan rasa teruja para penonton seperti kami.


Filem Cobra juga benar-benar menguju kehebatan lakonan pelakon utamanya iaitu Vikram yang membawa 20 peranan berbeza di dalam filem ini. Bukan sekadar dibantu dengan solekan dan busana yang bersesuaian dengan peranan sahaja tetapi lakonannya yang cukup mantap berjaya menghidupkan setiap suasana dengan cukup baik. Kami sangat gembira melihat babak-babak penting di dalam filem ini yang memaparkan watak Cobra yang sedang berperang dengan penyakit istimewanya dimana bagaimana Vikram bersama seorang lagi pelakon berjaya membawa watak mereka dengan cukup baik melalui dialog-dialog yang cukup sukar kerana perlu memainkan ekpresi, emosi, nada suara dan pergerakan tubuh dalam masa yang serentak. Kami betul-betul tabik hormat untuk kehebatan watak Cobra yang dibawakan Vikram kali ini. Memang terbaik!


Filem Cobra pada kami memang cukup menakjubkan. Menampilkan plot penceritaan yang kreatif. Lakonan yang cukup berwibawa. Sinematografi yang sangat memukau. Permainan kamera yang cantik. Paling penting dibantu dengan suntingan yang cukup kemas untuk menjadikan filem ini antara filem Tamil yang wajib anda tonton untuk tahun 2022.


Jadi, selamat menonton filem Cobra yang ditayangkan bermula pada 31 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Hollywood Berjudul Three Thousand Years Of Longing! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 


Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Menarik.... LeYa memang minat dengan Matematik. Kena g tonton ni

    BalasPadam