Review Filem Harum Malam

Filem:
Harum Malam

Penilaian:
6/10


Pengarah:
Dain Said

Genre:
Seram

Pelakon:
Idan Aedan, Bront Palarae, Remy Ishak,
Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud,
Faizal Hussein, Arnie Shasha, Angelica Petra & Etc.  

Pengedar:
Skop Productions

Tarikh Tayangan:
9 Febuari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Iqbal, seorang remaja lelaki yang mempunyai kebolehan luar biasa, merasakan dirinya ‘diseksa’ dengan kebolehnnya yang mampu melihat orang mati dan makhluk-makhluk dari alam ghaib. Apabila satu makhluk ghaib mula menimbulkan malapetaka di sekelilingnya, Iqbal terpaksa berhadapan dengan kebolehannya untuk menyelamatkan keluarga serta rakan-rakannya. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Februari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram tempatan yang kami sangat nantikan iaitu Harum Malam pada 30 Januari 2023 yang lepas di GSC Starling Mall. 

Apa yang menarik tentang filem Harum Malam ini ialah pemilihan pelakon yang cukup tepat bagi setiap watak yang diadakan. Idan Aedan yang tampil dengan lakonan filem pertamanya di dalam karya ini sememangnya wajar diberi pujian. Langsung tidak nampak kekok dan jiwa yang diberikannya berjaya membuatkan kami meremang terutama pada babak akhir filem ini. Begitu juga dengan lakonan pelakon kanak-kanak lain yang turut menonjol terutama melalui penggunaan dialog yang kelakar dan nampak semula jadi. Pelakon-pelakon senior pula tidak boleh dinafikan lagi kehebatan mereka kerana sememangnya persembahan lakonan mereka cukup mantap,

Filem Harum Malam juga menawarkan satu pengalaman indah melalui kewujudan taman tumbuhan eksotik yang cukup indah serta dunia kegelapan yang diisi dengan subteks yang bijak. Kami cukup kagum dengan hasil props tumbuhan yang dicipta dengan penuh teliti dan kelihatan cukup meyakinkan seolah-olah ianya benar-benar wujud dan hidup. Begitu juga dengan teknik solekan ngeri yang cukup menggerunkan dan nampak sangat realistik. Gabungan tiga perkara ini berjaya menambah rasa seram buat sesiapa yang menonton karya terbaru Dain Said ini.

Namun apa yang membuatkan kami agak terganggu sepanjang menonton filem Harum Malam ini ialah berkenaan dengan masalah penapisan daripada LPF. Dikatakan dalam 14 hingga 17 babak yang perlu disenyapkan suara atau dikaburkan visual kerana untuk menepati klasifikasi tontonan 13 tahun dan ke atas. Perkara ini menyebab ada banyak adegan menarik yang kelihatan sangat janggal kerana berlangsung tanpa ada sebarang suara. Kami lebih suka jika filem ini diberi klasifikasi tontonan untuk 18 tahun dan ke atas jika ianya mampu mengelakkan daripada ditapis sebegini banyak. Serius hal ini sangat mengganggu pengalaman menonton kami sebentar tadi.

Filem Harum Malam ini juga menawarkan susunan babak filem yang adakalanya sedikit mengelirukan apabila melibatkan babak imbas kembali dan babak terkini. Selain itu, terdapat juga unsur humor yang tidak menjadi dan kelihatan pelik apabila difikirkan semula. Namun, masalah humor ini berjaya diatasi dengan kelucuan dialog daripada watak pelakon kanak-kanaknya yang bersahaja. Kekuatan persembahan lakonan beberapa pelakon ternama juga kurang menyerlah tetapi bukan kerana mereka tidak memberi jiwa pada watak. Cuma disebabkan kerap kali tampil dengan watak yang seakan sama membuatkan hasilnya juga kelihatan seakan-akan sama. Apa-apapun, filem ini masih menarik untuk ditonton kerana keberanian pihak produksi untuk memberikan sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Kami sangat mengharapkan filem ini bakal keluar di dalam mana-mana aplikasi tontonan seperti Netflix misalnya supaya kami berpeluang untuk menonton filem ini tanpa sebarang tapisan dan dapat menikmatinya secara keseluruhan.

Jadi, selamat menonton filem seram Harum Malam yang ditayangkan bermula pada 9 Februari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!



Catat Ulasan

0 Ulasan