Review Filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang

Filem:
Coast Guard Malaysia : Ops Helang

Penilaian:
8/10

Tiktok Review:

Pengarah:
Allahyarham Pitt Hanif

Genre:
Drama & Aksi

Pelakon:
 Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana, Sabri Yunus, Hazama,
Kodi Rasheed, Akmal Ahmad, Aziz M.Osman, Jaja Iliyes, Aman Nasim & Etc.

Pengedar:
Metrowealth International Group (MIG) 

Tarikh Tayangan:
2 Febuari 2023

Sinopsis:
Filem ini memaparkan kisah kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan) yang ingin memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau setelah mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi. Hafiz juga membawa tunangnya Nurul untuk tinggal bersama setelah mereka memutuskan untuk berkahwin. Namun, ketika Majlis Sambutan Pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang tidak dikenali telah menyerang mereka dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu-bapanya serta beberapa lagi tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan. Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana), seorang Pegawai Penyiasat APMM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu berjaya menemui dan menyelamatkan Hafiz, Nurul dan bapanya. Krisis terus meruncing apabila kumpulan penjenayah itu berterusan mencabar komitmen Hafiz dan APMM lalu menyebabkan satu operasi besar-besaran diaktifkan sehingga kumpulan penjenayah terbabit tumpas. Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Februari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi tempatan yang cukup menarik iaitu Coast Guard Malaysia : Ops Helang pada 31 Januari 2023 yang lepas di Dadi Cinema Pavilion KL. 

Filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang ini sememangnya berjaya melangkau jangkaan kami yang pada asalnya cuma menantikan babak-babak aksi di dalam filem ini sahaja. Kami sangat teruja apabila mendapati intipati kisahnya yang cukup menarik dan disokong dengan kronologi penceritaan yang tersusun dan agak kemas. Lebih menarik perhatian apabila filem ini menampilkan banyak plot twist yang berjaya mengejutkan kami sehingga membuatkan filem ini bukannya sebuah naskah yang boleh diramal kesudahannya. Penceritaannya berjaya disampaikan dengan gaya tersendiri dan mudah difahami.

Sebagai sebuah filem aksi, kami sangat setuju untuk menyatakan Coast Guard Malaysia : Ops Helang berjaya menghilangkan kehausan kami yang menginginkan babak aksi yang menarik dan mampu menaikkan adrenalin ke tahap yang cukup tinggi. Faktor ini diperkuatkan lagi dengan kehebatan karakter serta keberanian dialog para pelakon yang berjaya memberi roh iblis kepada setiap watak antagonis yang wujud di dalam filem ini. Bakal membuatkan anda geram dan sakit hati saat menonton lakonan pelakon berwibawa seperti Adlin Aman Ramlie serta persembahan bersahaja yang memukau daripada Sabri Yunus yang masing-masing cukup hebat di dalam membawa watak masing-masing.

Selain itu, kami melihat filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang juga berjaya menampilkan sentuhan menarik dari sudut teknik solekan ngeri serta props yang menggerunkan. Visual filem ini diperkuatkan lagi dengan aset-aset maritim milik negara dan berjaya memberi kesedaran kepada penonton tentang tanggungjawab yang dipikul oleh pasukan maritim negara tidak boleh dipandang enteng. Secara keseluruhan, filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang berjaya membawakan satu definisi yang memberi gambaran terbaru terhadap kekuatan pertahanan negara dengan cukup baik. Kami pasti sebagai rakyat Malaysia, kita pasti akan merasa bangga usai menonton filem yang membawakan banyak mesej-mesej murni, lakonan yang baik dan aksi yang memukau. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan filem aksi terhebat Malaysia untuk tahun 2023 ini.

Jadi, jangan lupa untuk menyokong filem aksi Coast Guard Malaysia : Ops Helang dengan menonton karya hebat ini yang akan ditayangkan bermula pada 2 Februari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


Catat Ulasan

0 Ulasan