Review Filem John Wick: Chapter 4

Filem:
John Wick: Chapter 4

Penilaian:
9/10

Tiktok Review:

Pengarah:
Chad Stahelski

Genre:
Aksi & Thriller

Pelakon:
 Keanu Reeves, Laurence Fishburne, Lance Reddick, Ian McShane & Etc.

Pengedar:
Warner Bros Pictures

Tarikh Tayangan:
23 Mac 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan John yang sedang mempersiapkan diri untuk membalas dendam selepas dirinya ditembak oleh Winston Scott dari atap The Continental New York. John Wick yang kini berstatus Excommunicado kini perlu berhadapan pula dengan salah seorang anggota High Table, Marquis Vincent de Gramont  yang diberi kuasa tertinggi di dalam High Table untuk membunuhnya. John perlu mendapatkan semula kepercayaan pihak tertentu supaya dirinya di terima semula dan dapat berlawan dengan Marquis. Namun, Adakah John Wick akan berjaya atau sebaliknya? Saksikan filem yang padat dengan aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Mac 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Warner Bros Pictures untuk menonton sebuah filem yang cukup menarik iaitu John Wick: Chapter 4 pada 21 Mac 2023 yang lepas di TGV IMAX One Utama.


Filem 
John Wick: Chapter 4 ini merupakan francais yang paling menarik dan menghiburkan sekali pada pandangan kami kerana babak-babak aksinya yang memenuhi hampir 95 peratus daripada keseluruhan ceritanya. Lebih menarik perhatian kami kerana babak-babak aksi yang ditawarkan di dalam filem kali ini bukan sahaja lain daripada biasa tetapi lebih ganas dan kreatif. Faktor ini pasti membuatkan sesiapa sahaja yang menggemari filem bergenre aksi akan jatuh cinta pada karya kali ini sehinggakan tidak menyedari bahawa durasi filem ini sangat panjang iaitu sekitar 2 jam 30 minit. Setiap babak aksi divisualkan dengan olahan permainan kamera yang cukup mantap serta suntingan yang sangat baik untuk membuatkan setiap aksi pergaduhan dapat dinikmati dengan kepuasan yang cukup maksimum.


Filem 
John Wick: Chapter 4 juga bukan sekadar berjaya mengekalkan prestij imej John Wick seperti sediakala tetapi turut berjaya memberi aura tersebut kepada beberapa watak baru yang muncul di dalam filem kali ini seperti watak Caine lakonan Donnie Yen dan watak Killa lakonan Scott Adkins. Watak-watak ini boleh kami katakan antara watak baru yang cukup menyerlah dan membuatkan kemunculan mereka boleh diingati oleh penonton. Walaupun filem ini dipenuhi dengan aksi pergaduhan tanpa henti namun jalan penceritaannya masih dititik beratkan untuk membuatkan ianya seimbang dan memberi lebih kesan kepada emosi penonton.


Namun, kami turut merasakan ada sebahagian babak-babak aksi di dalam filem 
John Wick: Chapter 4 ini yang sedikit keterlaluan dari sudut logiknya yang membuatkan adakalanya ia kelihatan sedikit kelakar terutama pada babak pergaduhan di bulatan jalan. Namun, tolak ketepi faktor logik akal ini dan kami pasti anda pasti puas menonton keseluruhan filem ini yang turut hebat bermain dengan emosi penonton. Secara keseluruhan, kami boleh nyatakan filem John Wick: Chapter 4 ini merupakan antara filem francais yang berjaya mengekalkan momentum adrenalin penonton untuk kekal terhibur dan gembira dengan pengakhiran kepada keseluruhan kisah hidup lelaki bernama John Wick di dalam filem terakhirnya ini. Sebuah filem yang sangat berbaloi untuk anda tonton di pawagam yang mempunyai ciri-ciri istimewa seperti IMAX dan sebagainya.


Jadi, jangan lupa untuk menonton filem John Wick: Chapter 4 bermula pada 23 Mac 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pa
ndangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Review yg ditunggu². Saya pula tonton di IMAX GSC IOI Putrajaya with Digital Laser Projector. Wow, image yg dipaparkan amat sharp dan warna nya pops-out. Sound dia memang Ultimate. Intro dia pon dah meremang dan setuju, tak sedar tetiba habis. Cuma jangan keluar awal, ada End Credits. Tapi sorry Hans, saya bagi 10/10... Masterpiece!! Heheh...

    BalasPadam