Filem:
Dukun

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Dain Said 

Genre:
Jenayah, Thriller & Seram

Pelakon:
Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Elyana,
Bront Palarae, Hasnul Rahmat , Sofi Jikan, Adlin Aman Ramlie & Etc 

Tarikh Tayangan:
4 April 2018

Terbitan:
Astro Shaw Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini diadaptasi daripada sebuah kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan seorang ahli politik serta seorang wanita yang didakwa sebagai pengamal ilmu hitam. Mengisahkan seorang peguam bernama Karim yang kehilangan anak gadisnya yang masih berusia 17 tahun. Dalam pencariannya mencari anak gadisnya itu, Karim telah menggunakan pelbagai cara sama ada mengikut asas agama atau pun sebaliknya. Karim kemudiaannya terpaksa menjadi peguam bela kepada Diana Dahlan, seorang bomoh yang dituduh membunuh seorang orang kenamaan berpangkat Datuk. Dalam proses pembelaan itu, Karim menyedari Diana sebenarnya mempunyai satu kuasa yang membuatkan Karim percaya Diana mampu membantunya mencari anaknya yang hilang. Tanpa diduga, kisah-kisah berkaitan kehidupan keluarga Karim mula terbongkar. Apakah sebenarnya rahsia itu? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah! Selesai sudah menonton filem Dukun yang sepatutnya ditayangkan sekitar bulan Disember, 2006 tetapi atas sebab faktor bantahan daripada ahli keluarga watak di dalam filem dan ada sedikit kaitan dengan politik membuatkan filem ini tersadai selama 12 tahun tanpa sebarang khabar berita. Kemudian filem ini kembali menjadi panas apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang membocorkan filem ini di laman-laman sosial namun filem yang dimuat turun ini pula versi yang masih belum disunting rapi dan kisahnya tergantung tanpa ada pengakhiran yang betul-betul jitu. Selepas itu, tular pula di laman youtube dan di akhbar tentang kisah perempuan berkebaya merah yang kononnya berjaya dirakam. Akhirnya, muncul berita baik dan cukup bersejarah buat filem Malaysia apabila filem Dukun ini berjaya menemui para peminatnya yang tersendiri pada malam 4 April 2018. 


Watak Dania Dahlan Lakonan Umie Ada Memang Ada Aura Tersendiri

Secara jujurnya aku memang teringin yang amat sangat untuk menonton filem ini sejak dahulu lagi. Aku telah pun berpeluang menonton filem versi bocor dan ini membuatkan aku semakin teruja kerana tidak tahu apakah kesudahan sebenar filem ini. Jadi, aku memang tidak lepaskan peluang keemasan menonton filem ini di pawagam GSC IOI Putrajaya sebentar tadi dan pada pandangan aku filem ini memang wajib ditonton kerana seni ceritanya yang sangat bagus dan menarik. 


Antara Babak Ngeri Di Dalam Filem Dukun

Sesiapa yang meminati karya pengarah Dain Said pasti sudah masak dan tahu bagaimana cara dan persembahan seni yang disampaikan di dalam filem-filemnya sebelum ini seperti Bunohan dan Interchange. Apabila aku mendapat tahu bahawa filem Dukun adalah filem pertama arahannya maka pastilah aku lebih teruja kerana filem terawal selalunya adalah filem yang penuh dengan cita-cita dan inspirasi. Alhamdulillah, saudara Dain Said sememangnya tidak mengecewakan aku dengan pemilihan pelakon yang boleh dikatakan 100 peratus bagus dan jalan cerita yang cukup menarik.



Umie Aida Jilat Dinding! Kau Mampu? Haha!

Aku sukakan jalan cerita filem Dukun ini dimana ia tidak ditulis secara semborono dan tidak ke arah perjalanan cerita yang sehala tetapi lebih ke arah sebuah teka-teki yang diberi pembayang yang cukup subjektif tetapi di akhir filem ia menjawab segala teka-teki yang bermain di dalam kepala aku. Mungkin ada sesetengah penonton yang kurang suka berfikir akan berasa penat dengan babak-babak yang pendek yang berlaku dengan sangat cepat. Tetapi, aku sukakan gaya penceritaan seperti ini.


Hasnul Rahmat Pun Ada Yer Di Dalam Filem Dukun

Filem ini dipenuhi dengan pelakon-pelakon yang berbakat dan berjiwa besar di dalam seni. Walaupun ada sesetengah pelakon hebat ini muncul hanya dalam babak-babak yang cukup ringkas dan pendek namun kemunculan mereka tetap memberi impak yang sangat menarik di dalam filem ini seperti kemunculan Mislina Mustafa dan Nadia Nisa.


Gambar Perempuan Kebaya Merah

Aku suka bagaimana filem ini bijak bermain dengan visual. Setiap gambaran yang ditunjukkan itu sebenarnya memberi perlambangan atau menjawab persoalan aku tentang sesuatu isu atau persoalan yang sentiasa muncul di dalam filem Dukun ini. Sangat jarang untuk melihat filem-filem tempatan yang berani bermain dengan visual kerana jika silap langkah maka ke laut dalam jawabnya jalan cerita filem tersebut. Namun, ia berbeza dengan filem Dukun kerana permainan visual telah berjaya memberi makna yang sangat besar di dalam penceritaannya.


Satu Babak Yang Menarik Di Dalam Filem Dukun

Menyentuh pula tentang lakonan para pelakonnya, secara jujur aku sangat menyukai lakonan Umie Aida sebagai pemain watak utama, Diana Dahlan di dalam filem ini. Aku tidak terkejut dan yakin Umie Aida ada harapan yang sangat cerah untuk menjadi pelakon wanita terbaik tahun 2018 jika filem Dukun ini dicalonkan kerana Umie Aida berjaya menjiwai watak tersebut dengan begitu berkesan dan seolah-olah jelmaan asal kepada watak sebenar. Lihat sahaja lenggok badannya yang memang cukup menarik dalam menonjolkan watak Diana. Lihat sahaja pada lenggok bahasanya yang cukup tajam dan berseni. Lihat bagaimana jelingan serta senyumannya yang berjaya menyampaikan pelbagai jenis emosi di dalam satu ketika. Satu perkara yang aku cukup suka tentang babak gelap yang boleh aku katakan saka Diana Dahlan yang kelihatan cukup unik dan memberi interpretasi  yang cukup berbeza dan sangat menyakinkan. Bagi aku babak itu memang hebat dan ada keistimewaan sendiri. Tambahan pula bila aku dapat tahu bagaimana babak itu dibuat dan aku sangat kagum dengan kegigihan Umie Aida menterjemahkan watak Diana Dahlan ini mengikut caranya sendiri. Tahniah Datin!


Faizal Hussein Memang Cukup Berkarisma Membawakan Watak Karim

Pelakon-pelakon lain juga tidak kurang hebatnya seperti Faizal Hussein yang berjaya membawakan watak sebagai seorang peguam dengan cukup hebat. Memandangkan filem ini sepatutnya ditayangkan pada tahun 2006, jadi terdapat beberapa pelakon di dalam filem ini yang pada era tersebut sememangnya melakonkan watak-watak yang serius dan masih lagi belum berganjak atau berubah kepada pelakon komedi. Jadi, apabila kemunculan pelakon-pelakon seperti Joey, Kaza, Kin Wah Chew dan beberapa lagi memang pada mulanya seperti menggeletak hati penonton tetapi mereka berjaya menghilangkan persepsi tersebut secepat mungkin kerana kekuatan jalan cerita filem Dukun ini.


Apakah Watak Elyana Di Dalam Filem Ini? Nak Tahu Kena Lah Tengok Sendiri!

Menyentuh mengenai lagu tema filem ini iaitu lagu Merana Jiwa nyanyi Umie Aida dan Elyana, pada pandangan aku lagu ini bukanlah terlalu sedap seperti mana lagu-lagu popular atau lagu hits yang diminati ramai. Tetapi, aku suka irama dan ritma lagu ini yang bagi aku berjaya membawa perubahan rasa ke arah seram tu. Memang unik lagu tema filem ini pada pandangan aku ditambah pula cara Umie Aida memberi emosi kepada watak Diana Dahlan sewaktu menyanyikan lagu ini, bagi aku memang satu kesempurnaan watak yang cukup bagus. 

Bront Palarae Dan Namron Memberi Sedikit Unsur Humor Di Dalam Filem Dukun

Filem ini sebenarnya bukanlah terlalu menggunakan kelebihan kisah tular sebenar yang diadaptasi ke dalam filem Dukun ini. Tetapi, filem ini bijak menggunakan kelebihan yang ada pada kata-kata keramat yang diungkapkan oleh Diana Dahlan, bagaimana permasalahan hidup serta kehidupan sosial yang dihadapi oleh Karim, bagaimana tentang sisi pandangan anggota polis bernama Karim, kebenaran dan kepalsuan yang berlaku di dalam proses penghakiman di mahkamah dan pelbagai lagi yang ada sesetengahnya disampaikan secara sepintas lalu dan ada yang diberi penekanan yang berat.


Antara Barisan Pelakon Filem Dukun

Kesimpulannya, aku berpendapat filem Dukun adalah sebuah filem yang sangat hebat. Bayangkan sasaran awal mereka ialah golongan penonton untuk tahun 2006 tetapi ketinggalan selama 12 tahun seakan-akan tidak memberi kesan langsung kepada naskhah ini. Siapa sangka filem melayu ini berjaya memberi satu fenomena dan menyebabkan hampir keseluruhan panggung yang menayangkan filem Dukun pada malam 4 April 2018 penuh dengan penonton daripada tempat duduk belakang hinggalah tempat duduk depan. Jadi, kepada yang telah menonton filem Dukun versi bocor di internet dan terasa ingin tahu apakah kesudahan filem ini, aku sarankan kalian menonton untuk merasai kepuasan dan nikmatnya mengetahui jawapan serta kesudahan filem ini seperti aku sebentar tadi. Majulah filem tempatan yang berkualiti untuk negara. Terima kasih kepada seluruh produksi filem Dukun kerana berjaya menghasilkan satu karya yang cukup hebat bagi aku. Selamat menonton.

P/S : Seronok Tengok Muka-Muka Pelakon Filem Dukun Sebab Semua Muka Pelakonnya Dah Berubah Sekarang. Hahaha!