30/09/18

Review Filem Beddua: The Curse


Filem:
Beddua: The Curse

Pengarah:
Alper Mestci

Genre:
Seram

Pelakon:
Beyzanur Mete, Gizem Takma, Esma Soysal, Mustafa Dok, Serife Unsal & Etc.

Penilaian:
9/10

Tarikh Tayangan:
4 Oktober 2018

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang hubungan persahabatan empat sahabat baik iaitu Melek, Burcu, Eda dan Aylah. Sudah bertahun mereka bersama sehinggakan walaupun sudah tamat pengajian tetapi mereka masih tetap tidak pernah berpisah dan menghubungi antara satu sama lain. Namun, nasib Melek berbeza berbanding rakannya yang lain selepas dia ditinggalkan oleh ketiga-tiga rakannya sewaktu Melek terserempak secara tidak sengaja dengan Havel yang merupakan seorang dukun. Havel dituduh sebagai seorang perempuan sihir yang sangat merbahaya oleh masyarakat sekeliling kerana dipercayai mengamalkan ilmu hitam. Kejadian tersebut menyebabkan Melek jatuh lumpuh dan tidak mampu melihat dengan sempurna serta tidak boleh bercakap. Setelah sekian lama kejadian tersebut berlaku, ketiga-tiga rakan Melek kembali dihantui rasa bersalah dan menyesal kerana meninggalkan Melek keseorangan semasa kejadian tersebut. Mereka mengambil keputusan untuk melawat Melek di rumah keluarganya. Lawatan mereka akhirnya membawa padah apabila selepas itu ketiga-tiga mereka mulai diganggu oleh pelbagai kejadian misteri yang menakutkan. Setelah sekian lama, apakah punca sebenar yang menyebabkan Burcu, Eda dan Aylah mulai diganggu oleh pelbagai kejadian misteri? Apakah sebenarnya yang menyebabkan Melek menjadi lumpuh? Apakah motif utama Havel menganggu mereka berempat? Saksikan filem yang begitu menyeramkan ini di pawagam berhampiran anda untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif sebuah filem seram daripada negara Turki yang berjudul Beddua: The Curse yang bertempat di TGV Cinemas 1 Utama pada pagi 28 September 2018 yang lepas. Pengarah filem ini iaitu Alper Mestci merupakan individu sama yang bertanggungjawab mengarahkan filem seram Siccin yang menjadi sebutan dan fenomena di kalangan penggemar filem seram yang memberi pujian melangit terhadap filem tersebut. Memandangkan aku tidak pernah berkesempatan menonton filem Siccin jadi aku mengulas karya terbaru Alper Mestci ini tanpa membandingkan dengan filem-filemnya yang terdahulu.


Alper Mestci sememangnya dikenali gemar mengangkat kisah-kisah benar berkenaan kes ilmu hitam yang berlaku kepada mangsa-mangsanya yang hidup dalam keadaan derita dan teraniaya. Sememangnya harus diakui bahawa dari sudut teks, filem ini berjaya mencipta unsur seramnya dengan begitu cemerlang sekali dengan memanfaatkan kisah ilmu hitam sebagai ramuan utama filem ini. Tetapi, apa yang lebih menarik perhatian aku berkenaan filem ini ialah unsur semiotiknya yang bijak menggunakan tanda serta simbol sebagai medium komunikasi kedua dengan penonton. Kemungkinan besar anda mungkin tidak jelas tentang apa sebenarnya makna-makna perlambangan visual seperti darah, kulit dan sebagainya yang kelihatan selalu membayangi hidup Melek sepanjang filem ini. Walaubagaimanapun, anda jangan risau kerana pada akhir filem ini pasti perlambangan-perlambangan ini akan membuatkan anda lebih dekat dengan watak gadis malang bernama Melek tersebut




Dari segi plot cerita, aku boleh katakan naratifnya bergerak lancar dan anda pasti mudah untuk memahami kisah empat sekawan yang berkait rapat dengan seorang dukun ini. Perubahan plot filem yang wujud di dalam beberapa adegan filem ini juga bagi aku agak menarik dan kreatif kerana ia berjaya menimbulkan persoalan di dalam diri anda dan pada masa yang sama membuatkan anda cuba meramal atau meneka apa sebenarnya yang betul-betul terjadi terhadap lima watak yang mendominasi keseluruhan filem ini. Sekali pandang memang kelihatan ada beberapa perubahan plot di dalam filem ini yang agak cliche tetapi dalam masa yang sama sangat membantu menjadikan filem ini sebuah filem seram yang sangat menakutkan. 




Aku melihat filem ini memberikan satu definisi baru berkenaan elemen seram yang boleh mengusik jiwa kental penonton. Filem seram Turki ini berjaya menakutkan penonton dengan kesan bunyi, solekan dan sinematografi yang sememangnya lain daripada yang aku pernah tonton sebelum ini. Aku berikan perbandingan di bawah untuk memberi lebih pencerahan buat anda untuk memahami apa perasaan aku selepas tamat menonton filem ini:

Munafik 2 : Aku tidak berasa cuak menonton filem ini.

Sebelum Iblis Menjemput : Aku berasa sedikit cuak tetapi masih tiada masalah untuk menonton filem ini sehingga tamat.

Beddua: The Curse :  Aku langsung tidak dapat duduk dengan tenang di kerusi panggung wayang saat tibanya babak yang menyeramkan. Segala persediaan dan tekaan aku meleset sama sekali sehingga aku menyumpah-nyumpah babak-babak yang menakutkan di dalam filem ini. Paling menarik ialah bungkusan popcorn aku langsung tidak tersentuh. Haha!



Jujur aku sangat sukakan kreativiti mereka dalam mewujudkan elemen seram yang berkualiti melalui filem ini. Sebenarnya ada banyak babak di dalam filem ini yang dikitar semua daripada babak filem-filem seram lain yang sememangnya sangat cliche. Tetapi, disebabkan kreativiti mereka yang bijak membuat penambahbaikan kepada babak cliche ini menyebabkan ia pasti akan menjadi satu momen yang akan diingati oleh anda dalam satu tempoh yang agak panjang gara-gara tahap keseramannya yang sangat melampau dan tidak dapat diteka oleh anda. Sebagai contoh, aku kongsikan satu babak cliche yang aku maksudkan iaitu babak seorang watak melihat dan mencari hantu di bawah katil. Secara logiknya, babak sebegini seringkali diguna pakai di dalam mana-mana filem seram di seluruh dunia dan kemunculan hantu sudah boleh diagak dengan mudah. Tetapi, babak tersebut menjadi lain apabila muncul di dalam filem Beddua: The Curse. Aku pasti ramai akan menyumpah saat tiba babak tersebut nanti.




Aku sebenarnya tidak ada masalah langsung menonton filem seram di panggung wayang sebelum ini kerana mental dan emosi aku kuat menghadapi unsur ketakutan yang diada-adakan di dalam mana-mana filem bergenre seram. Namun, dari sudut pandang aku terhadap filem ini pula, aku melihat filem ini telah berjaya mengawal emosi dan pemikiran aku sebagai penonton untuk sama-sama merasai sendiri sentimen emosi yang wujud di dalam filem ini melalui setiap babak yang dipaparkan yang kelihatan sangat semulajadi dan seolah-olah boleh dipercayai.



Jadi, kepada peminat filem seram, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Beddua: The Curse ini di pawagam berdekatan anda:

1) Jalan ceritanya mudah difahami tetapi bukan bermaksud filem ini menggunakan teks semata-mata tanpa memasukkan sebarang subteks yang menarik. Anda wajib menonton sehingga akhir untuk memahami dan mengenali siapakah sebenarnya dukun bernama Havel tersebut. 

2) Elemen seram yang ditawarkan oleh filem ini untuk anda sememangnya sangat berlainan daripada filem-filem tempatan yang sedia ada. Tidak bergantung sepenuhnya kepada teknik murahan jump scare untuk membuatkan anda terkejut ketakutan. Tetapi, kreativiti yang digunakan mereka untuk menakutkan anda sememangnya diakui bijak. Nak tahu kena lah tonton filem ini.

3) Persoalan serta nilai kehidupan yang diangkat di dalam filem ini juga menarik dimana elemen persahabatan dan kekeluargaan berjaya membuatkan filem ini mempunyai kesinambungan yang baik.


Sekali lagi disini aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak TGV Pictures yang sekali lagi memberi peluang kepada aku untuk menonton filem Beddua: The Curse seminggu lebih awal daripada tarikh tayangan sebenar. Jadi, aku mengambil peluang disini untuk mengucapkan selamat menonton dan berjuang di dalam panggung wayang sewaktu anda menonton filem seram dari negara Turki ini. Semoga berjaya menonton sehingga habis. Hahaha!

P/S : Apakah Filem Terbaru Seterusnya Yang Perlu Aku Tonton Selepas Ini? Ada Cadangan? 

12 ulasan:

  1. Takut plak tengok gambar seram banyak2 ni... ada yg termimpi kejap lagi 😂

    Blogwalking dari http://qiyabeauty.blogspot.com/2018/09/tip-dan-cara-atasi-masalah-jerawat.html?m=1

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      itu baru gambar
      tengok yang visual bergerak punya silap-silap tak boleh tidur
      hahaha

      Padam
  2. Seram pulak baca ulasan ni.jarang ade filem genre seram yang betul2 seram. Munafik tak seram pun kan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. munafik tak seram bagi saya
      bila iblis menjemput seram sikit tapi saya okay jer
      beddua: the curse memang buat saya cuak
      hehehe

      Padam
  3. Balasan
    1. hahahaha
      belum tengok yang versi bergerak lagi
      lagi seram melompat-lompat
      hehe

      Padam
  4. kena ambil mood utk tonton cite ni..even Siccin pun Umi tak tengok bebetul walau en suami pasang back to back hahaha

    BalasPadam
  5. Laju betul Hans tengok movies hee..hee.. PH dah baca semua ulasan Hans tapi tak komen sebab pada masa tu belum lagi tengok. So anyway tadi baru habis tonton filem Beddua : The Curse. Sebab PH ni peminat filem seram dan dah selalu tengok, so kiranya dah kalis bab2 hantu "in your face". Anyway, PH seronok tengok cerita ni dan suka twist pada ending. Hans pernah tonton Conjuring 2? Yang itu PH betul 2 seram hah..hah....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Conjuring dah tengok tapi macam boleh jer hadam lagi
      tak tahu lah kenapa filem nih berjaya buat Hans cuak...mungkin sebab tak familiar lagi dengan gaya filem hantu daripada pengarah Siccin kut
      hahaha

      Padam
  6. Review filem Andhadhun pls..

    BalasPadam
    Balasan
    1. ramai kawan-kawan saya puji filem tu
      saya nak tengok tapi panggung wayang jauh...haha
      patutnya semalam tengok tetapi hujan lebat
      jadi, tak tahu lah bila dapat tengok
      harap sempat..
      kalau sempat nanti saya tulis ulasan

      Padam