4/10/18

Review Filem Smallfoot


Filem:
Smallfoot

Pengarah:
Karey Kirkpatrick

Genre:
Animasi, Komedi & Kekeluargaan

Pelakon (Suara):
Channing Tatum, James Corden, Zendaya, Common, LeBron James,
Danny DeVito, Gina Rodriguez, Yara Shahidi, Ely Henry, Jimmy Tatro & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem animasi ini mengisahkan tentang sebuah komuniti Yeti yang tinggal di puncak gunung tersembunyi di pergunungan Himalaya. Mereka percaya mereka tinggal di sebuah pulau di atas awan dimana bahagian bawah pulau mereka terdapat gajah mammoth yang menjaga dan melindungi pulau mereka daripada jatuh ke dalam jurang yang dalam. Ada sekumpulan Yeti yang mempercayai ada kehidupan lain selain mereka yang digelar sebagai Smallfoot (iaitu manusia). Namun, kebanyakkan Yeti lain tetap berpegang teguh kepada ajaran nenek moyang dan ketua mereka yang digelar Stonekeeper. Kepercayaan ini juga turut diterima oleh Migo yang tidak mahu berfikir tentang Smallfoot sehingga pada suatu hari Migo terserempak dengan seorang manusia tanpa sengaja. Migo menceritakan pengalaman tersebut kepada semua puak Yeti sehingga menyebabkan ketua mereka iaitu Stonekeeper murka dan menghalau Migo daripada tinggal dengan komuniti tersebut. Stonekeeper memberi syarat kepada Migo bahawa Migo akan diterima kembali sebagai salah seorang komuniti mereka jika Migo berjaya membawa bukti bahawa Smallfoot itu wujud. Bermulalah penggembaraan Migo untuk mencari manusia untuk dibawa pulang ke perkampungan Yeti. Dalam masa yang sama sebuah rahsia besar akhirnya terbongkar dan mengejutkan keseluruhan komuniti Yeti. Apakah rahsia tersebut?Adakah Migo akan kembali diterima oleh Stonekeeper? Saksikan filem animasi ini di pawagam berhampiran anda.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah! Aku akhirnya berkesempatan menonton sebuah filem animasi berjudul Smallfoot di TGV Cinemas The Mines pada 2 Oktober 2018 yang lepas. Filem animasi ini memang berjaya menghiburkan bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga buat penonton dewasa yang turut sama menonton filem yang begitu berwarna-warni dari segi visual serta mesejnya.


Dari segi komedi yang ditawarkan filem ini, anda yang mempunyai anak-anak kecil tidak perlu risau kerana unsur-unsur lucu yang wujud di dalam filem ini sememangnya menampilkan elemen serta babak humor yang bersesuaian untuk kanak-kanak. Tidak ada elemen seksual seperti bercumbu-cumbuan sebagaimana yang boleh kita lihat dalam sesetengah filem animasi luar dan ini sememangnya bagus buat tontonan si kecil anda. Perjalanan ceritanya pun ringan, mudah difahami dan membuatkan anak anda pasti terpesona melihat keletah Migo dan rakan-rakannya yang melucukan. Secara peribadi, aku merasakan filem ini bagus untuk ditonton oleh anak-anak kecil supaya mereka menjadi lebih berani dan pintar di dalam membuat sebarang tindakan di tahap usia mereka yang sedang berkembang dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi ini. Jadi, bawalah anak anda menonton filem ini kerana ini merupakan filem yang baik untuk kanak-kanak tonton.


Filem animasi bukan sahaja hanya boleh dinikmati oleh kanak-kanak sahaja tetapi juga sesuai ditonton dan diambil pengajaran oleh orang dewasa seperti anda. Pada permulaan filem ini sahaja sudah berjaya menarik perhatian aku usai nyanyian oleh puak Yeti ini yang menyatakan mereka sudah terlalu selesa dengan apa yang mereka miliki dan mereka tidak mahu tahu atau terima sebarang pembaharuan lagi. Cukuplah dengan apa yang mereka ada sekarang kerana ini sudah menggembirakan hidup mereka. Dalam masa yang sama pula, sekumpulan Yeti muda inginkan pembaharuan kerana bagi mereka pembaharuan itu ialah ilmu dan ilmu ini yang memberi kejayaan, kegembiraan dan kepuasan di dalam hidup mereka. Bagi aku ini adalah menarik kerana ia adalah kiasan kepada kehidupan manusia di dunia nyata. Ada kelompok manusia yang sememangnya sangat mudah berpuas hati dengan apa yang mereka ada di dalam hidup dan secara tidak langsung mereka sendiri telah menghadkan keupayaan diri mereka untuk berada pada tahap maksimum. Ada juga kelompok manusia yang tidak mahu mengambil tahu tentang kisah atau kejayaan indivitu atau bangsa lain di dunia ini dengan menyatakan,"Itu hal mereka. Ini hal aku. Aku tak mahu masuk campur. Mereka pun tak perlu masuk campur. Asalkan aku bahagia sudah!" Jadi, disini dapat dilihat bahawa kiasan awal terhadap sikap manusia di dunia ini sememangnya berjaya disampaikan dengan cara yang cukup kreatif melalui nyanyian santai komuniti Yeti ini.  


Mesej di dalam filem ini juga menjadi bertambah menarik apabila filem ini turut berjaya menempelak sikap pemerintah dan pemimpin utama di dalam kebanyakkan organisasi yang sering kita dengar mempunyai sikap diktator atau selalu menggunakan sepotong ayat yang berbunyi,"Aku lebih dulu makan garam dari kau!" untuk membuatkan tiada mana-mana pihak yang mampu atau boleh menentang sebarang arahan yang diberikan mereka. Ini yang telah berjaya ditonjolkan dengan baik melalui watak Stonekeeper yang menjadi ketua dan memimpin puak Yeti ini. Lebih menarik lagi apabila perkara ini berjaya digambarkan dengan cukup baik melalui babak batu-batu yang dipakai oleh Stonekeeper ini ini dimana setiap batu menyatakan perintah, hukum dan pantang larang yang langusng tidak boleh dipersoalkan oleh orang bawahan. Apa yang membuatkan jalan ceritanya menjadi menarik apabila watak Migo ini bertemu dengan manusia dan mempersoalkan hukum batu yang dipakai oleh Stonekeeper itu yang menyatakan hidupan lain tidak wujud selain mereka. Kemudian disokong pula oleh seorang lagi Yeti lain yang menyatakan jika sebuah batu tersebut sudah tidak boleh dipercayai maka batu-batu yang lain pun pasti boleh diragui kepercayaan dan kewajarannya. Aku cukup sukakan filem ini dari aspek kritikannya yang sangat kritis. Sangat menarik!


Aku kemudian tertarik dengan plot twist yang digunakan di dalam filem ini untuk mewajarkan tindakan watak Stonekeeper yang bagi aku menarik untuk diperhalusi. Menipu untuk kesejahteraan penghuninya atau lebih mesra dipanggil tipu sunat di dalam masyarakat kita agar perkara lebih teruk berjaya dielakkan. Ini apa selalu kita rasa saat kita melakukan perkara yang sama kerana tujuannya tampak murni. Namun apabila muncul lagi satu plot twist yang bagi aku lebih menarik dimana watak Migo yang mewakili golongan muda tidak menyalahkan golongan tua tetapi mengakui hidup di dalam pembohongan merupakan satu kekecewaan besar dan membuatkan hidup rasa cukup terseksa. Ini bagi aku merupakan sebuah frasa yang cukup besar maknanya selepas dihidangkan dengan satu babak kekecewaan yang dialami oleh bapa Migo sendiri yang begitu kecewa apabila tersedar secara sendirinya bahawa kepercayaan yang dilakukannya selama ini oleh dia dan keturunnya adalah tidak benar dan merasakan mereka sangat dikhianati dan diperbodohkan seperti tiada maruah. Aku cukup sukakan babak yang berjaya menyampaikan mesej ini dengan cukup kuat dan tepat ke hati penonton. Namun, pujian perlu diberikan kepada penulis kisah ini yang bijak di dalam memastikan watak-watak di dalam filem ini pada akhirnya dapat dilihat kesemuanya menjadi positif dan secara tidak langsung berjaya membuka jiwa penonton dewasa untuk lebih bersifat keterbukaan kepada golongan muda.


Watak Percy iaitu seorang manusia yang bekerja di dalam sektor industri seni juga bagi aku menarik untuk dikupas. Aku cukup tertarik sewaktu melihat bait-baik lirik lagu dendangan Percy di dalam filem ini. Lirik tersebut ada menyatakan Percy sebelum ini berpegang kepada integriti di dalam menghasilkan rancangan-rancangan berkualiti dimana rancangan tersebut berjaya mengangkatnya sebagai salah seorang yang terkenal di dalam industri. Namun, populariti yang dipegangnya jatuh apabila masyarakat sekarang lebih sukakan kisah-kisah tular yang entah apa-apa dan tidak berfaedah walaupun pada hakikatnya kisah-kisah itu cuma rekaan, kebetulan atau sekadar untuk meraih publisiti murahan. Wow! Satu kiasan yang cukup padu bukan sahaja kepada anak-anak muda yang galak memuat naik video di laman sosial instagram dan youtube tetapi juga buat pihak-pihak yang terlibat di dalam industri seni dan hiburan yang terlalu bertuhankan jumlah rating penonton. Terbaik mesej ini bagi aku! 


Sebuah filem animasi yang memberi dua kefahaman berbeza kepada dua kategori penontonnya iaitu kanak-kanak dan dewasa. Si kecil pasti terhibur melihat keletah animasinya manakala sang dewasa pula akan terhibur menontonnya melalui sisi pandang kehidupan di alam realiti. Selamat menonton filem Smallfoot di pawagam berhampiran anda. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Bakal Ditonton Kemungkinan Besar Ialah Filem Venom. Nantikan Ulasannya!

6 ulasan:

  1. iols suka cartoon2 animation ni. yang cemni kena tengok nanti =D

    BalasPadam
  2. best cite katun ni..nanti nk tonton online jer sambil makan cekodok goreng sendiri..heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. wah sedap tu cekodok goreng
      hehehe
      selamat menonton Umi
      memang layan filem Smallfoot nih

      Padam
  3. wahhh... macam best je ni...

    BalasPadam