Filem:
The Breadwinner
Pengarah:
Nora Twomey
Genre:
Animasi, Drama & Kekeluargaan
Pelakon (Suara):
Saara Chaudry, Soma Chhaya, Noorin Gulamgaus, Laara Sadiq,
Ali Badshah, Shaista Latif, Kanza Feris, Kawa Ada, Kane Mahon, Ali Kazmi & Etc.
Ali Badshah, Shaista Latif, Kanza Feris, Kawa Ada, Kane Mahon, Ali Kazmi & Etc.
Penilaian:
8/10
Filem animasi ini berlatar belakang pada tahun 2001 dimana ia menceritakan tentang seorang anak gadis berusia 11 tahun bernama Parvana yang hidup di sebuah daerah di Afghanistan yang berada di bawah pemerintahan Taliban. Sebagai seorang perempuan, Parvana tidak boleh bebas berkeliaran di luar rumah kerana pemerintah Taliban melarang mana-mana perempuan daripada keluar rumah secara sendirian. Jika ditemani oleh bapanya sekali pun, Parvana harus memastikan kemunculannya tidak menarik perhatian mana-mana lelaki. Pada suatu hari, bapa Parvana ditangkap oleh pihak Taliban tanpa alasan yang kukuh. Hal ini menyebabkan keluarga Parvana di dalam kesusahan untuk mendapatkan bekalan makanan kerana adik lelaki Parvana masih lagi seorang bayi. Disebabkan bekalan makanan sudah habis dan keluarganya berada di dalam kelaparan, Parvana terpaksa memotong pendek rambutnya dan berpakaian seperti lelaki dan menggunakan nama Aatish untuk menyamar dan terus menyara keluarganya. Walaupun pada awalnya kelihatan mudah namun kudrat Parvana sebagai seorang perempuan tidak sekuat lelaki untuk melakukan kerja-kerja yang sememangnya dilakukan oleh kaum lelaki seperti menjadi buruh. Akhirnya Parvana bertekad untuk mencari ayahnya di penjara dan cuba membebaskan ayahnya. Mampu Parvana bertemu kembali dengan ayahnya? Adakah identiti sebenar Parvana akan terbongkar di hadapan pemerintah Taliban? Saksikan filem animasi yang cukup menarik ini untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan Hans:
Filem The Breadwinner ini telah dicalonkan di dalam kategori filem animasi terbaik untuk Anugerah Oscar 2018 dimana filem yang mengangkat tentang kisah kehidupan wanita di Afghanistan ini merupakan sebuah karya yang diadaptasi daripada novel yang ditulis oleh Deborah Ellis. Pastinya ramai di kalangan kita sendiri ingin melihat dan mengetahui bagaimana kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh wanita-wanita disana saat mereka terpaksa berjuang untuk hidup di bawah pemerintahan kerajaan Taliban.
Filem ini memanfaatkan beberapa konflik yang sememangnya benar-benar terjadi di negara Afghanistan para era tersebut sebagai umpan untuk menjadi daya penarik kepada anda supaya menonton kisah ini di layar perak. Kisah-kisah menarik yang dipaparkan melalui kehidupan keluarga remaja perempuan bernama Parvana ini semestinya mudah menyentuh hati para wanita yang menonton. Setiap cabaran dan dugaan yang dialami dan dirasai oleh oleh Parvana dan ibunya bakal mengusik dan membangkitkan rasa marah, geram, simpati dan sedih anda saat menonton filem The Breadwinner ini.
Sebenarnya ajaran Islam ini terlampau indah dan setiap ajaran tersebut pasti ada kebenaran dan hikmah disebaliknya. Islam sebenarnya sangat mengangkat martabat wanita demi menjaga maruah mereka dan disebabkan itu lelaki diperintahkan untuk memimpin dan melindungi wanita. Namun, sejak awal filem ini lagi anda sudah diperlihatkan bagaimana pihak pemerintah Taliban menyalahgunakan agama demi kepentingan kuasa mereka dengan mencorakkannya ke arah radikal dan teroris sehinggakan membuat masyarakat terutama wanita menjadi terlalu takut dengan pemerintah daripada segala sudut. Mereka dilarang untuk keluar daripada rumah. Jika keluar sekali pun wajib ditemani oleh bapa atau saudara lelaki. Lebih menyedihkan walaupun ditemani saudara lelaki namun masih perlu untuk mengelakkan daripada menimbulkan tarikan kepada lelaki lain di luar sana. Hal ini telah ditunjukkan di dalam sebuah babak dimana Parvana bersama ayahnya, Nurullah yang kudung sebelah kaki sedang menjual barangan mereka di pasar. Kemudian konflik berlaku apabila Parvana telah tertinggi suara sewaktu menghalau anjing yang cuba menggangu barang jualan mereka. Hal ini menarik perhatian Idrees dan kumpulannya yang merupakan ahli Taliban untuk mengganggu Parvana. Peristiwa tersebut juga telah dijadikan sebagai alasan oleh Idrees yang merupakan bekas murid Nurullah untuk menangkap ayahnya dan dihantar ke penjara dengan menggunakan alasan Nurullah mendidik isteri dan dua anak perempuannya dengan ajaran yang salah.
Aku cukup suka melihat babak yang melibatkan Idrees dan bekas gurunya ini. Idress telah menghina serta mengeji ilmu yang diajar oleh Nurullah sebelum ini dan lebih menyedihkan lagi apabila dia cuba memukul Nurullah. Suka disini untuk aku kongsikan serba sedikit tentang sabda serta beberapa riwayat sebagai rujukan dan pedoman kita di dalam memahami isu yang aku cuba sampaikan disini :
Sabda Nabi S.A.W : "Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti hak ulama". (Hadis Riwayat Ahmad)
Umar Bin Khattab mengatakan : "Tawaduklah kalian terhadap orang yang mengajari kalian". (Riwayat Al-Imam Baihaqi)
Manakala Al-Imam As Syafi'i berkata : "Dulu aku membolak balikkan kertas di hadapan Imam Malik dengan sangat lembut kerana segan padanya dan supaya dia tidak mendengarnya".
Disini rasa geram anda pasti akan meluap-lupa apabila melihat betapa bahayanya apabila ada individu yang terlalu taksub dengan pegangan yang salah seperti Idrees sehingga menyebabkan hilangnya rasa hormat dan kasih kepada gurunya. Babak ini semestinya sangat menyedihkan apabila insan yang patut dihormati dilayan sebegini rupa.
Perkara utama yang paling penting di dalam mengubah nasib kehidupan adalah ilmu. Pemerintahan Taliban telah menghalang golongan wanita daripada menerima pendidikan di sekolah. Disini dapat dilihat bahawa sebagai seorang warga pendidik, bapa Parvana sememangnya percaya hanya pendidikan yang mampu membantu anaknya keluar daripada masalah ini. Jadi, sejak daripada awal lagi mesej pendidikan telah ditekankan di dalam filem ini dimana Nurullah sentiasa meminta Parvana supaya sentiasa rajin belajar membaca dan menulis. Akhirnya, kehebatan ilmu pendidikan ini berjaya dibuktikan di dalam satu babak dimana ia membantu Parvana untuk menyelamatkan bapanya dari penjara. Nak tahu lebih lanjut berkaitan ini kenalah tonton filem The Breadwinner.
Salah satu isu menarik yang cuba dikupas disini juga berkenaan sikap toleransi. Islam merupakan agama yang sangat bertolak ansur terhadap penganutnya. Seperti yang aku kongsikan pada awal tadi dimana Islam mengangkat martabat dan maruah perempuan dengan mengamanahkan kaum lelaki untuk melindungi kaum wanita. Tetapi, Islam juga sangat bertolak ansur kepada kaum wanita untuk bebas menentukan hala tuju kehidupan jika keluarga tersebut tiada suami, anak atau saudara lelaki. Disinilah anda diperlihatkan beberapa babak dimana betapa dangkal dan sesatnya fahaman pemerintah Taliban ini apabila mereka bukan sekadar tidak membenarnya wanita keluar memberi barang keperluan dapur atau pun mengambil air di perigi tetapi turut sama memukul insan yang lemah ini walaupun wanita-wanita yang ditahan tersebut telah memberitahu tentang masalah berkenaan ketiadaan ahli keluarga lelaki.
Perkara ini jugalah yang diguna pakai oleh musuh-musuh Islam untuk memburukkan agama Islam dengan mengatakan wanita tertindas dan ditindas oleh lelaki sedangkan perkara sebenar ialah ajaran Islam versi Taliban itu sendiri sebenarnya sudah lari daripada ajaran Islam sebenar. Hal ini jugalah yang menjadi satu konflik yang besar untuk anda sendiri melihat dan menyelami betapa beratnya dugaan yang perlu dihadapi oleh wanita-wanita yang hidup di zaman pemerintahan rejim Taliban untuk meneruskan kehidupan. Serius sangat menyedihkan dan menyeksakan.
Filem ini juga bersifat feminism yang cukup tinggi kerana selain mengangkat kekuatan dan maruah seorang wanita di tempat yang sewajarnya, ia juga cuba menunjukkan kenapa wanita perlu diberi hak untuk bebas bersuara dan bertindak mengikut lunas-lunas yang sepatutnya. Jadi, setiap karakter wanita yang wujud di dalam filem ini benar-benar dipotretkan sebagai seorang wanita yang kuat, cekal serta tabah sehinggakan mampu mengusik gerak hati dan emosi anda untuk turut sama terbuai dengan emosi watak-watak tersebut.
Lihat sahaja babak Fattema yang merupakan ibu Parvana sewaktu dia dipukul dengan tongkat oleh seorang lelaki asing gara-gara keluar tanpa ditemani saudara lelaki. Disini dapat dilihat ajaran dan fahaman ahli serta penyokong Taliban sememangnya telah menyeleweng daripada Islam kerana langsung tiada rasa belas dan ihsan kepada kaum wanita. Rasa simpati dan sedih anda kemudian pasti bertambah apabila melihat bagaimana adegan Parvana yang mengejar kepingan gambar ayahnya yang telah dikoyak dan dicarik-carikkan oleh lelaki asing yang memukul ibunya tersebut. Walaupun filem ini sekadar animasi namun aku harus akui elemen-elemen mengusik emosi ini berjaya dipasak dengan cemerlang di dalam hati dan jiwa penonton sejak awal filem lagi.
Babak pertemuan antara Parvana dan Shauzia juga berjaya memberikan satu persoalan yang cukup menarik. Kedua-duanya merupakan anak gadis yang terpaksa menyamar menjadi lelaki demi kelangsungan hidup keluarga namun kedua-duanya berada di dalam situasi yang cukup berbeza. Parvana dikurniakan ayah yang penyayang dan bertanggungjawab manakala Shauzia pula memiliki seorang ayah bersifat kaki pukul dan mempergunakan Shauzia sebagai jalan mudah untuk menanggung keluarga. Kisah realiti berjaya diterapkan di dalam cabaran kehidupan mereka berdua dan paling menarik apabila plot cerita membawa anda untuk merasai sendiri pengorbanan anak gadis ini dalam mencari rezeki dengan terpaksa menggunting rambut yang merupakan mahkota kesayangan setiap wanita, berpakaian seperti lelaki, menggunakan nama samaran lelaki dan terpaksa mengerah keringat untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang didominasi oleh kaum lelaki.
Aku cukup suka dengan babak Shauzia bersama gambar pantai serta fahamannya yang ingin keluar dari tempat jajahan taliban dan tinggal di kawasan pantai yang ditemani ombak dan pasir yang panas dan memutih. Bagi aku subteks yang wujud di dalam babak tersebut sangat menarik kerana ia menggambarkan jiwa seorang kanak-kanak yang percaya kebebasan dalam menikmati kemerdekaan sebenar itu ibarat alunan ombak yang sentiasa bebas memilih untuk mengalun dan menghempas ke arah pasir setiap masa tanpa dikawal sesiapa.
Harus diakui apabila manusia berada di dalam kehidupan yang jauh daripada kemodenan teknologi, mereka akan menjadi lebih kreatif dan berdikari. Kehebatan ini juga dimiliki oleh Parvana yang bijak mereka cipta kisah dongeng berkenaan kisah seorang pemuda yang diberi nama Sulayman. Pemuda ini mempunyai misi untuk mengambil kembali biji benih penduduk kampung yang dirampas oleh jaguar-jaguar kepunyaan Raja Gajah. Menggunakan konsep animasi ala-ala stop motion, kisah Sulayman ini sebenarnya begitu menarik kerana walaupun ia dipaparkan seakan-akan sebuah kisah dongeng yang tidak bersangkut paut dengan kisah kehidupan Parvana tetapi sebenarnya kedua-dua kisah ini saling berkaitan. Ini membuatkan filem ini menjadi begitu indah dan bermakna apabila anda melihat sendiri bagaimana hasil kedua-dua kisah yang digarap ini digabungkan menjadi satu. Sangat bijak idea ini dan ditambah pula dengan penggunaan warna yang berbeza untuk kedua-dua kisah tetapi berjaya mengekalkan latar belakang kawasan timur tengah dengan cukup kreatif.
Memang The Breadwinner hanyalah sebuah filem animasi. Namun, mesej yang cuba disampaikan sebenarnya lebih bersesuaian dengan penonton-penonton dewasa. Filem ini mahu membawa anda untuk melihat dan menilai sendiri apakah sebenarnya erti kebebasan yang sebenarnya. Filem ini juga mendidik kita agar jangan sesekali berputus asa di dalam kehidupan walaupun melalui fasa-fasa hidup yang mencabar.
Namun harus diingatkan bahawa filem ini juga mempunyai risiko untuk disalah tafsir oleh penonton yang tidak mengenali Islam secara dekat. Memandangkan masalah islamophobia masih lagi melanda kebanyakan masyarakat di seluruh dunia jadi filem ini yang mempunyai babak suara azan berkumandang, beberapa dialog yang menyebut tentang ajaran Islam yang dipercayai dan diikuti oleh ahli Taliban dan juga beberapa perkara lain yang boleh menyebabkan sedikit kekeliruan kepada penonton yang tidak memahami tentang ajaran Islam yang sebenar. Hal ini menyebabkan ulasan filem kali ini lebih memberi fokus terhadap ajaran agama Islam sebenar untuk membantu memberi pencerahan kepada pembaca yang bukan beragama Islam.
Secara peribadi, aku merasakan filem The Breadwinner berjaya memperjuangkan nilai-nilai kesaksamaan hak jantina yang menarik untuk ditonton dan dibincangkan. Cuma sedikit kelemahan dapat dilihat dengan jelas melalui tiada babak timbal balas semula untuk menunjukkan ajaran Islam yang sebenarnya yang lebih indah. Apa-apapun, aku ucapkan selamat menonton filem The Breadwinner ini dan semoga filem ini mampu memberikan anda satu pengalaman baru sewaktu menonton. Sekian!
P/S : Selepas Ini Akan Dikongsikan Ulasan Tentang Filem Seram Dari Turki Yang Berjudul Beddua: The Curse Yang Memang Cukup Menyeramkan!
0 Ulasan