Review Filem A Simple Favor


Filem:
A Simple Favor

Pengarah:
Paul Feig

Genre:
Jenayah, Misteri & Komedi

Pelakon:
Anna Kendrick, Blake Lively, Henry Golding, Ian Ho, Joshua Satine & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang ibu tunggal bernama Stephanie yang mempunyai seorang anak lelaki. Stephanie sangat aktif sebagai seorang vlogger dan mula mengenali secara baik seorang wanita bernama Emily yang berkahwin dengan Sean. Pengenalan mereka berdua menjadikan mereka makin rapat dan Stephanie mula menganggap Emily sebagai kawan baik. Tetapi, Emily tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan. Stephanie dan Sean mula mencarinya namun kejadian mengejutkan berlaku apabila mayat Emily ditemui di dalam sebuah tasik. Selepas peristiwa itu, Stephanie mula menggantikan tugas Emily di rumah Sean sehingga membuatkan mereka berdua mula jatuh cinta. Namun pada suatu hari Stephanie dikejutkan dengan satu panggilan dimana suara itu menyatakan bahawa dia ialah Emily. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui kesudahannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku berkesempatan menonton filem A Simple Favor di GSC NU Sentral pada tanggal 11 Oktober 2018 yang lepas. Filem ini bagi aku menarik disebabkan perbezaan karakter dua watak utamanya yang boleh diibaratkan seperti air dan api tetapi mampu menyatu dengan keunikan yang tersendiri. Anna Kendrick bijak membawakan watak Stephanie sebagai seorang wanita yang polos, lucu dan penyibuk. Manakala Blake Lively pula hebat di dalam membawa watak Emily yang angkuh, dominan dan hanya percaya terhadap dirinya sahaja dengan begitu semula jadi.


Kepada penggemar filem noir, anda pasti akan menyukai filem A Simple Favor ini yang didatangkan lengkap dengan runut bunyi Perancis yang cukup menawan halwa telinga. Filem ini berjaya menampilkan kejutan demi kejutan dengan kepelbagaian cara yang mencemaskan. Apabila tiba sahaja babak melibatkan Emily, pasti anda akan melihat plot ceritanya mengundang kegelapan. Tetapi, apabila watak Stephanie itu muncul untuk mengambil alih, plot terus berubah kepada elemen komedi. Watak Stephanie itu sendiri unik kerana di dalam keadaan yang cemas perwatakan karakter ini pasti membuatkan para penonton terhibur dengan eksperesi wajahnya yang kelakar serta gayanya yang sangat kepoh dan secara tidak langsung memberi satu daya tarikan buat penonton untuk setia menonton filem yang berdurasi hampir dua jam ini.


Melihat kepada plot filem ini, permulaannya sedikit perlahan kerana filem ini cuba membawa penonton untuk lebih mengenali watak Stephanie serta sejarah hitam yang wujud di dalam kehidupannya tetapi ia membiarkan watak Emily kekal misteri dengan hanya memberi sedikit petunjuk berkenaan wanita ini yang sangat marah apabila Stephanie mengambil gambarnya menggunakan kamera. Babak itu sememangnya berjaya menunjukkan sifat kejam yang ada di dalam watak Emily yang angkuh ini. Perjalanan cerita menjadi semakin menarik selepas kematian Emily apabila watak ini dimunculkan kembali dengan yang noir moden yang begitu menarik dan plot-plot selepas itu berjaya memenuhi dan sokong menyokong antara satu sama lain untuk menjadikan filem ini kelihatan kreatif dan menarik. Beberapa perubahan plot atau plot twist yang wujud di dalam filem ini juga berjaya dihubungkan dengan baik sehingga membuatkan agak sukar untuk mencari kelompongan kisah yang wujud di antara Stephanie dan Emily.


Filem ini berjaya memberikan teka-teki serta kejutan misteri dengan gaya segar untuk dinikmati oleh penonton. Antara babak menarik yang boleh dikongsikan sewaktu bilik persalinan Emily yang telah dikosongkan oleh Stephanie kembali penuh dan sememangnya ia menimbulkan satu tanda tanya yang sangat misteri dan sangat berjaya menjadikan filem ini semakin menarik pada plot cerita seterusnya dimana diakui plot-plot ceritanya berjaya disusun dengan kemas dan saling berhubung kait antara satu sama lain.


Filem ini merupakan filem antarabangsa kedua lakonan pelakon yang berasal dari Malaysia iaitu Henry Golding yang mendapat reaksi dan komen positif daripada para pengkritik filem antarabangsa. Cuma anda mungkin berasa sedikit kesal dan tidak puas menonton filem ini di pawagam kerana ada babak yang dipotong walaupun filem ini sudah diklasifikasikan sebagai filem tontonan untuk penonton yang berumur 18 tahun ke atas.


Dua frasa ayat yang berjaya menarik perhatian aku disini ialah "Secrets Are Like Margarine" dan "Stop Saying You're Sorry" dimana ayat ini menarik untuk diberi perhatian dan diterjemahkan melalui dua watak utama di dalam filem ini. Lihat sahaja kepada dialog yang mengungkap frasa "Secrets Are Like Margarine"  ini dimana aku tertarik apabila watak ini mengaitkan sebuah rahsia besar sama seperti marjerin dimana rahsia sebenarnya mudah disebarkan dan ia memberi kesan buruk untuk hati. Disini sahaja sudah memberi bayangan besar kepada perbezaan dua watak utama ini iaitu Stephanie yang menganggap rahsia besarnya itu merupakan dosa yang paling besar buatnya sedangkan rahsia besar Emily lebih dasyat dari itu. 


Lihat pula kepada dialog seterusnya iaitu "Stop Saying You're Sorry" yang bagi aku agak menarik untuk dilihat disini. Emily sentiasa marah dan tidak suka apabila Stephanie sentiasa memohon maaf kerana baginya itu lebih sekadar ungkapan yang tiada makna, kosong dan tidak perlu. Aku sukakan bab ini kerana aku sangat bersetuju dengan Emily berkaitan ungkapan maaf ini perlu dinilai dan digunakan pada situasi yang betul-betul perlu dan bermakna. Ini juga sebenarnya merupakan kritikan sosial kepada manusia zaman kini yang tidak benar-benar memahami nilai besar ungkapan maaf yang sebenarnya. Satu perkara yang menarik untuk dilihat dan diteladani.


Secara keseluruhan, filem A Simple Favor ini berjaya menampilkan sebuah jalan cerita yang agak menarik dan meyakinkan anda yang menonton. Elemen misteri dan komedi yang bijak dibawakan oleh setiap watak utama serta watak pembantunya yang menjadikan gabungan ini membantu kepada penyusunan plot yang kelihatan kreatif dan sedikit unik. Namun disini disenaraikan beberapa kelemahan filem ini mengikut pandangan aku yang telah menonton:

1) Ada beberapa plot yang kelihatan sedikit melompat disebabkan ada beberapa potongan babak dan ini sedikit menggangu tetapi naratif filem masih boleh difahami dengan jelas. 

2) Walaupun kombinasi komedi gelap(Anna Kendrick) dan thriller misteri(Blake Lively) adalah sesuatu yang menarik namun adakalanya ia tidak seimbang dimana elemen komedi gelap ini adakalanya menghilangkan elemen misteri yang sebenarnya mampu memberi lebih impak kepada filem ini. Tetapi, filem ini masih menarik dan menghiburkan untuk ditonton.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem A Simple Favor:

1) Filem noir moden yang mempunyai pelbagai elemen misteri, drama, komedi serta kejutan yang agak cemerlang di dalam naratif filemnya yang pasti akan membuatkan anda tertawa, sedih dan cemas pada masa yang serentak.

2) Lakonan cemerlang Anna Kendrick dan Blake Lively sememangnya merupakan tunjang utama kekuatan filem ini kerana watak wanita polos yang bersifat makcik bawang berjaya diterjemahkan dengan baik oleh Anna manakala Blake sangat sempurna dan cukup hebat membawa watak wanita psiko yang benar-benar tampak asli dan sangat menjadi.

3) Plot cerita yang dipenuhi beberapa plot twist yang agak menarik dan kreatif serta berjaya mengurangkan kelompongan cerita sememangnya wajar dipuji kerana pasti membuatkan anda terhibur dan berpuas hati menonton filem ini.


Aku secara peribadi bersetuju untuk menyatakan bahawa filem A Simple Favor merupakan sebuah karya yang cukup menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton di pawagam. Runut bunyi Perancis yang sangat merdu didengar. Lakonan pelakon-pelakonnya yang sangat meyakinkan. Elemen misteri dan kejutan yang didatangkan secara silih berganti dengan gaya yang cukup bijak dan konsisten. Paling penting plot ceritanya boleh diterima akal dan menjawab setiap persoalan yang bakal bermain di fikiran anda saat menonton gelagat kelakar Stephanie dan keangkuhan Emily. Jadi, selamat menonton dan semoga kalian juga terhibur dengan filem A Simple Favor ini. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Bollywood Lakonan Pelakon Wanita Kegemaran Ramai Rakyat Malaysia Iaitu Kajol Melalui Filem Eela Helicopter Bakal Menemui Pembaca Dalam Waktu Terdekat. Nantikan!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Balasan
    1. You must watch this film because it totally nice and hilarious

      Padam
  2. citer ni pun nak tgok jgk, tp bila tgok thriller dia ade adengan 'tutt' haha pikir 2kli. tp xketerlaluan kot kan.mgkin bole la nti p tgok mgu ni.huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. adegan tutt?
      rasanya dekat Malaysia babak-babak tu dipotong
      jadi mata menjadi suci kerana terlindung daripada babak-babak tutt

      Padam
  3. Plot cerita ni pada aku bermula dgn agak perlahan..seingat aku, aku ada rasa sedikit bosan & mengantuk pada babak2 awal filem ni..

    Sehingga la bila Emily hilang, baru filem ni menarik aku utk terus follow misteri di sebalik sekian2 perkara tu..

    And yes, babak2 yg dipotong tu buat plot filem ni macam melompat2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe...
      yang awal tu so far okay lagi lah sebab ada 3 ahli mesyuarat tingkap + watak emily tu memang ala2 macam ada something menarik
      jadi untuk saya boleh tahan lagi lah..hehe

      Padam