Review Filem Sui Dhaaga: Made in India


Filem:
Sui Dhaaga: Made in India

Pengarah & Penulis:
Sharat Katariya

Genre:
Komedi, Keluarga & Drama

Pelakon (Suara):
Varun Dhawan, Anushka Sharma, Raghuvir Yadav, Namit Das, Govind Pandey,
Pooja Swaroop, Sidharth Bhardwaj, Singh Bhupesh, Yamini Das & Etc.

Penilaian:
8/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Mauji yang tinggal di sebuah pekan kecil di India bersama isteri dan ibu bapanya yang sudah tua. Mauji sebenarnya meminati dan minat terhadap seni tradisional dalam bentuk kraf tangan serta menjahit pakaian. Namun, minat itu terpaksa dipendam gara-gara ayah Mauji tidak mahu mana-mana ahli keluarganya terlibat lagi di dalam industri pakaian. Ini disebabkan mereka terpaksa hidup susah gara-gara perniagaan datuk Mauji yang berkaitan dengan industri jahitan pakaian jatuh bankrap. Namun, isteri Mauji iaitu Mamta secara diam telah memberi sokongan kepada Mauji untuk berani  melakukan perkara yang dia minati. Jadi, bermulalah perjalanan Mauji mula terlibat di dalam perniagaan jahitan namun pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi oleh Mauji serta Mamta sepanjang mereka bermula daripada bawah. Mampukah mereka mendapatkan mesin jahit percuma setelah berbasikal lebih 40 kilometer? Mampukah pakaian yang dicipta mereka diterima dunia luar? Adakah mereka bakal dieksploitasi oleh orang-orang yang berkepentingan di dalam industri? Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Memandangkan filem Sui Dhaaga: Made in India ini hanya ditayangkan di beberapa buah panggung wayang terpilih sahaja maka kemungkinan besar tidak semua daripada kalangan anda berpeluang menonton filem Bollywood yang cukup menarik ini. Aku sendiri terpaksa pergi sehingga ke Damansara semata-mata untuk menonton filem ini di Mmcineplexes Damansara pada tanggal 4 Oktober 2018 yang lepas. Namun, keputusan yang diambil untuk menonton filem ini adalah sangat tepat kerana filem ini ada bermacam-macam perkara menarik yang boleh dilihat dan dirungkai daripada pelbagai sudut dan perspektif. Ada sesetengah pihak yang mengatakan filem ini biasa-biasa sahaja dimana jalan ceritanya mudah dan tidak ada apa pun yang istimewa tentang filem ini. Tetapi, bagi aku kerana mudahnya plot cerita filem inilah yang menjadikan filem Sui Dhaaga: Made in India kelihatan lebih cantik dan unik daripada kebiasaan filem Bollywood yang lain.


Sui Dhaaga itu bermaksud jarum dan benang. Filem ini menggunakan mesin jahit sebagai perlambangan terhadap jalan ceritaya. Mesin jahit dianggap sebagai simbol kejayaan kepada sesiapa yang mampu memiliki atau menjualnya dalam kuantiti yang banyak. Mesin jahit juga dianggap sebagai satu objek yang bernilai di India sehinggakan beribu-ribu orang sanggup datang berpuluh bahkan beribu kilometer semata-mata untuk mengambil ujian praktikal yang dianjurkan kerajaan untuk sebuah mesin jahit percuma. Mesin jahit juga dianggap sebagai simbol kecantikan bagi wanita kerana berjaya menghasilkan pakaian-pakaian yang membuatkan mereka kelihatan cantik dan menawan. Namun, hal ini bertentangan dengan prinsip keluarga Mauji (Varun Dhawan) dimana ayahnya (Raghuvir Yadav) tidak mahu Mauji terlibat lagi di dalam sebarang perusahaan atau perniagaan yang berkaitan dengan jahitan dan pakaian. Ini disebabkan keluarga mereka hidup di dalam kemiskinan berpunca daripada perniagaan kedai jahit datuk Mauji sebelum ini yang muflis dan menyebabkan kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jadi, keluarga Mauji menganggap mesin jahit sebagai simbol kegagalan dan memalukan maruah keluarga mereka. Ironinya, tanpa ayah Mauji sedar atau buat-buat tidak sedar ialah pekerjaan yang dilakukan oleh Mauji atas suruhannya itu menyebabkan maruah anak lelakinya sendiri menjadi lebih hina apabila sentiasa dibuli, dimalukan sehingga diperlakukan seperti seekor anjing jalanan. 



Disinilah kekuatan wanita mula dipertunjukkan sebagai penyelamat kepada seluruh malapetaka yang berlaku atas ego seorang lelaki. Bak kata orang-orang tua, kejayaan seorang lelaki pasti dibantu oleh seorang wanita di belakangnya. Di India, sering kali kita tonton di dalam mana-mana filem mahu pun drama mereka dimana suami dipuja dan dihormati bagaikan Tuhan. Inilah yang terjadi dan ditunjukkan apabila Mamta (Anushka Sharma) yang merupakan isteri Mauji berjaya membuka mata suaminya untuk berani menentang norma masyarakat Asia terutamanya di India berkaitan ketaatan melampau terhadap suruhan, larangan atau tegahan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Namun, ia diperlihatkan dengan babak yang cukup baik mengikut gaya dan cara Asia yakni mementingkan adab, tatasusila dan beretika. Cara Mamta menyedarkan Mauji adalah salah satu cara yang cukup menarik, kreatif dan tidak langsung membuatkan Mauji berasa tidak berguna atau rendah diri sebagai ketua keluarga. Memang satu pendekatan yang berjaya ditonjolkan dengan begitu menarik di dalam filem ini.  


Filem ini bijak menunjukkan perbezaan pemikiran antara dua generasi iaitu The Baby Boom dan Generasi Y yang mempunyai sudut pandang yang sangat berlainan. Lihat sahaja kepada golongan wanita dahulu. Ibu Mauji (Yamini Das) merupakan seorang wanita konservatif yang mengikut rutin harian yang ditetapkan tanpa ada sebarang bantahan. Paling menarik apabila ditunjukkan babak ibu Mauji yang jatuh pengsan tetapi masih lagi risau memikirkan pelbagai perkara seperti urusan kerjanya sebagai suri rumah. Berbeza dengan Mamta yang bukannya seorang wanita di dalam kategori memberontak tetapi dia merupakan seorang gadis yang berani menyuarakan sesuatu tanpa ada ragu-ragu atau takut apabila dia mempercayai dan berpegang kepada sesuatu perkara yang dirasanya betul. Ini dapat dilihat dimana Mamta mengetahui kepakaran suaminya Mauji adalah di dalam jahitan dan dia yakin cuma mesin jahit yang mampu menyelamatkan watak protagonis itu daripada kehidupan yang tidak mempunyai matlamat dan kehormatan. Anda akan lebih faham tentang perasaan Mamta ini apabila anda melihat watak Mauji yang terpaksa berkorban minatnya terhadap jarum dan benang dengan bekerja di bawah orang lain namun secara rutinnya setiap hari Mauji diperlakukan dengan pelbagai perkara yang memalukan, diperbodoh dan dihina oleh majikan serta anak-anak majikannya ibarat tiada maruah.


Satu frasa menarik luahan Mamta kepada Mauji agak menarik untuk dikongsikan disini. Awak tolonglah berhenti dengan pekerjaan yang sekarang dan carilah kerja yang tidak menjatuhkan maruah. Apabila maruah awak diusik mereka, sama juga seperti mereka mengusik maruah saya. Bermula saat inilah kisah menjadi lebih menarik apabila Mauji berani untuk memulakan kembali perusahaan keluarga tetapi kekurangan serba-serbi kelengkapan yang diperlukan untuk perniagaan menjahit. Jadi, kebijaksanaan filem ini ialah apabila plot-plot ceritanya disampaikan dengan cukup terperinci bermula dengan perjuangan suami isteri ini untuk mendapatkan mesin jahit percuma di bawah skim kerajaan melalui ujian praktikal dan menulis dengan terpaksa berbasikal sejauh lebih 40 kilometer.


Daripada babak tersebut pula anda akan dipertontonkan dengan sinematografi yang menawan dan berjaya menunjukkan negara India itu sendiri yang sedikit berlainan berbanding filem-filem komersial Bollywood lain yang lebih suka memaparkan keindahan negara asing. Babak ini juga berjaya memberikan kritikan dan sindiran yang tajam kepada perkhidmatan kerajaan di India berkaitan dengan kualiti dan servis kerja yang ditawarkan oleh penjawat awam disana yang langsung tidak sistematik. Ia boleh dilihat terhadap perkhidmatan klinik serta ruang menunggu yang langsung tidak berkualiti. Memandangkan bab ini merupakan pertengahan kisah filem ini jadi diakui babak penting ini berjaya membuatkan penonton cemas dan dalam masa yang sama teruja menyaksikan debaran Mauji dan Mamta di dalam mendapatkan mesin jahit percuma yang sememangnya penuh dengan unsur dramatik, drama dan kesedihan yang cukup menggembirakan. Harus tonton untuk rasai sendiri debaran dan kehebatan babak tersebut.


Perjalanan filem ini juga bergerak hebat kerana disokong oleh lakonan para pelakonnya yang bijak bermain dengan emosi dan ia dilontar dengan tepat dan sungguh meyakinkan. Varun Dhawan sangat bijak dan begitu menawan di dalam menggambarkan watak Mauji mengikut acuannya sendiri sebagai seorang lelaki muda yang bergelut untuk membantu keluarganya dari segi kewangan namun dalam masa yang terlalu ingin untuk mengejar cita-citanya. Paling tidak boleh disangkal lagi ialah lakonan pelakon veteran yang cukup membanggakan iaitu Raghuvir Yadav yang memegang watak sebagai ayah Mauji. Rasa marah dan bencinya dengan percubaan Mauji untuk kembali terlibat di dalam perniagaan jahitan berjaya ditampilkan dengan cukup baik melalui kaca mata seorang bapa yang sebenarnya menyayangi anaknya. Yamini Das pula yang memegang watak sebagai ibu Mauji berjaya menampilkan sikap dan perwatakan tipikal ibu-ibu yang bakal membuatkan anda merindui ibu anda. Paling penting watak Mamta lakonan Anushka Sharma yang hebat di dalam menjiwai dan memberi kembali emosi kesedihan dan ketabahan seorang wanita kepada penonton yang menonton filem ini. Sememangnya lakonan-lakonan mereka cukup berkesan dan membantu filem ini menjadi lebih hebat.


Antara babak-babak yang menarik perhatian di dalam filem ini yang boleh dikongsikan kepada anda semua ialah:

1) Babak Mauji dan Mamta berbasikal sejauh 40 kilometer untuk mendapatkan mesin jahit percuma. Babak ini penuh dengan unsur kejutan dan debaran yang pasti membuatkan anda teruja saat menonton perjalanan mereka berdua dalam usaha memiliki sebuah mesin jahit.

2) Babak di kilang menghasilkan baju dimana baju-baju yang dibuat di kilang yang berada di India tersebut menggunakan logo Made In China. Ini memang suatu perkara menarik yang perlu dilihat dimana mereka disana memandang dan percaya produk keluaran negara China merupakan produk yang dipercayai dan pasti akan dibeli oleh masyarakat dunia berbanding produk India. Sememangnya ini sesuatu yang baru diketahui kerana situasinya berlainan di Malaysia dimana kebanyakan individu tidak terlalu bangga apabila melihat barangan yang dibeli dihasilkan di negara China.

3) Babak dimana orang yang berkedudukan, berpangkat dan semestinya berpengaruh secara terang-terangan mengeksploitasikan hak rakyat daripada golongan rendah, miskin dan tidak berpendidikan dengan sewenang-wenangnya tanpa kawalan. Sangat memberi impak melihat hasil karya dan hak cipta Mauji dan Mamta dicuri begitu mudah oleh golongan-golongan kaya tetapi hina seperti ini.

4) Babak ayah Mauji yang akhirnya memberi restu serta sokongan untuk Mauji terlibat di dalam perniagaan pakaian yang sangat menyentuh hati dan pasti memberi kesan kepada anda saat menontonnya nanti.


Walau bagaimanapun, filem Sui Dhaaga: Made in India juga terdapat sedikit kelemahan yang dapat dikesan iaitu berkenaan kekurangan babak-babak yang mempertontonkan kemahiran menjahit Mauji di dalam filem ini. Ini bakal membuatkan penonton sukar untuk ditipu atau membenarkan diri mereka ditipu untuk mempercayai Varun Dhawan merupakan seorang lelaki yang benar-benar boleh menjahit dan pakar menjahit.



Namun, anda tidak perlu risau kerana kelemahan tersebuh berjaya ditutup dengan begitu cemerlang sekali melalui elemen-elemen serta watak-watak yang wujud di dalam filem filem ini. Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Sui Dhaaga: Made in India pada bulan Oktober ini:

1) Ibarat hidangan kari yang enak dengan rasa rempah ratusnya yang pelbagai. Inilah antara filem Bollywood yang mempunyai pelbagai elemen yang cukup menarik daripada sudut subteksnya, lakonannya, sinematografinya dan wajah negara India itu sendiri. 

2) Jalan ceritanya memang mudah difahami, ringan dan tidak kompleks. Tetapi, keunikannya apabila filem ini berjaya menyatukan kisah keluarga, rasuah serta masalah sosio ekonomi rakyat India yang kerap dieksploitasi yang sering kali berlaku di negara India.

3) Filem Bollywood semestinya tidak dapat lari daripada dendangan lagu-lagu yang merdu dan sedap di dengar. Namun, filem ini tidak menampilkan sebagai adegan menari atau yang berkaitan dengan hal norma tersebut. Tetapi, kekuatan lagu-lagu filem ini datangnya daripada liriknya dan dibantu dengan melodi yang cukup indah.

4) Pemilihan para pelakon yang cukup bagus, berkualiti serta berjaya menghidupkan watak-watak masing dengan begitu cemerlang dan meyakinkan. 

5) Filem ini berjaya dijahit dengan persembahan dan momen yang cukup kemas dan rapi bagi menjadikan kisah yang disampaikan bergerak dengan sungguh meyakinkan.


Filem Sui Dhaaga: Made in India berjaya menerapkan elemen kekeluargaan seperti mana filem-filem lain dari India namun disampaikan dengan cara yang unik melalui sebuah mesin jahit. Pada masa yang sama juga, filem ini bijak menyampaikan mesej-mesej serta sindiran sinis terhadap penindasan yang berlaku terhadap golongan rakyat marhaen kelas bawahan dengan jayanya. Jadi, kepada sesiapa yang sememangnya meminati filem Bollywood, pastikan filem ini menjadi salah satu dalam senarai filem wajib tonton anda untuk ditonton sepanjang bulan Oktober 2018 ini. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Tempatan Terbaru Iaitu Kalla - Hidup Atau Mati Pula Akan Menemui Anda Di Blog Ini. Nantikan! 

Catat Ulasan

0 Ulasan