Filem:
Operasi X
Penilaian:
4 / 10
Pengarah:
Sandosh Kesavan
Genre:
Aksi & Jenayah
Pelakon:
Aaron Aziz, Awie, Dato' Yusuf Haslam, Nasir Bilal Khan, Hairul Azreen & Etc.
Tarikh Tayangan:
1 November 2018
Pengedar:
Dream Pictures Production
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan ASP Redzuan yang sudah tidak percaya lagi dengan pegawai polis yang lain apabila dia menyaksikan sendiri kematian rakan baiknya, Inspektor Aman yang dipercayai terbunuh gara-gara tembakan pihak polis sewaktu operasi menangkap penjenayah dilakukan. Redzuan akhirnya mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu dengan memutuskan segala komunikasi dengan semua pihak polis dan rakan-rakan lain. Dia mula berhijrah ke sebuah pulau bernama Pulau Aman dan tinggal dengan penduduk disitu sambil menyembunyikan identiti sebenarnya sebagai polis. Namun, Dato' Mokhtar dan Tuan Anwar yang merupakan ketua kepada ASP Redzuan berjaya menjejaki kedudukannya dari Bukit Aman dan meminta Redzuan kembali mengetuai satu operasi untuk menumpaskan Geng Belut. Redzuan pada mulanya enggan untuk kembali bertugas namun berubah fikiran apabila dia mengetahui Geng Belut ada hubung kait dengan kematian rakan baiknya, Inspektor Aman. Berjayakah ASP Redzuan menumpaskan Geng Belut dan menuntut bela atas kematian rakan baiknya? Kalau nak tahu kenalah tonton filem Operasi X ini di pawagam berhampiran anda.
Ulasan:
Akhirnya, aku berkesempatan juga untuk menonton filem Operasi X ini di Amerin Cineplex di Amerin Mall, Seri Kembangan pada 7 November 2018 yang lepas. Jika diikutkan aku mendapat jemputan untuk menonton filem ini di majlis tayangan perdana tetapi aku tidak berkesempatan pergi kerana berada di luar Malaysia. Secara jujurnya, aku sedikit tertarik dengan trailer filem ini yang persis filem aksi Tamil kerana aku sendiri meminati filem-filem aksi daripada industri filem Kollywood. Jadi, bagaimana pula dengan penilaian aku setelah menonton keseluruhan filem ini?
Pergerakan kamera serta suntingan babak-babak aksi juga bagi aku agak menarik kerana berjaya menerapkan sebahagian elemen filem aksi Tamil ke dalam filem Operasi X ini. Boleh dikatakan momentum setiap adegan yang melibatkan babak pergaduhan bergerak pantas dan seronok untuk ditonton terutama apabila ia membabitkan aksi daripada pelakon Hairul Azreen yang menenggelamkan ketangkasan pergerakan pelakon Aaron Aziz. Aku merasakan sudah tiba masanya untuk produksi-produksi Malaysia untuk mengambil pelakon-pelakon yang mampu membuat lagak ngeri atau aksi sendiri untuk membintangi filem-filem bercorak aksi sebegini jika mahu melihat filem keluaran anda kelihatan lebih realistik.
Menyentuh berkenaan skor bunyi dan lagu latar dimana ada segelintir pihak mengatakan ia terlampau kuat dan bingit. Aku tiada masalah daripada segi ini kerana aku yakin pengarah filem ini iaitu Sandosh Kesavan mahukan filem ini seakan-akan sama seperti mana apabila kita menonton filem aksi Tamil dari India. Aku sendiri pun terhibur menikmati lagu latar ala filem lakonan Rajinikanth dan Vijay ini.
Jadi, sekarang tiba masanya untuk aku berkongsi tentang apakah sebab-sebabnya yang menjadikan filem ini hanya menerima penilaian sekadar skala 4 sahaja daripada aku. Kelemahan utama filem ini pada aku ialah skrip dan dialog segelintir pelakonnya yang sangat 'cringe' dan pada satu tahap agak menjengkelkan sedikit. Lihat sahaja kepada watak Belut yang dilakonkan oleh Awie. Memandangkan aku selalu menonton filem Tamil, aku memahami pihak produksi cuba untuk menjadikan watak antagonis ini sama seperti di dalam filem Tamil dimana sifat kejamnya itu diselami dengan humor yang menampakkan watak antagonis ini kelihatan lebih kejam daripada biasa. Tetapi, satu kesilapan besar disini apabila dialog humor yang diungkapkan oleh Awie yang memegang watak Belut ini telah menenggelamkan sama sekali sifat kejam yang sepatutnya dikekalkan di dalam perwatakan Belut. Serius sangat merugikan apabila watak Belut ini dimasukkan elemen humor yang terlampau banyak sedangkan watak antagonis ini sepatutnya boleh pergi lebih dalam di dalam menterjemahkan lagi nilai kejahatan yang dimilikinya.
Masih menyentuh tentang watak dan perwatakan Belut yang sering mengungkapkan dialog serta pergerakan yang berunsur seksual dan homeseksual yang terlampau kerap. Ini yang aku maksudkan 'cringe' dan menjengkelkan pada perenggan di atas. Watak Belut ditunjukkan sangat menyayangi adiknya iaitu Mat Bong dan ada satu adegan imbas kembali dimana Belut mencium pipi Mat Bong dan mengungkapkan sayang dia sebagai seorang abang kepada adiknya. Memanglah jika ikutkan tiada apa-apa masalah pun kerana watak kedua-dua ini ialah abang dan adik. Tetapi, disebabkan sebelum-sebelum ini terdapat beberapa dialog yang mempunyai unsur seksual dan homoseks sebegitu menjadikan aku agak geli sebenarnya melihat babak-babak ini. Menyentuh pula hubungan ASP Redzuan dan Inspektor Aman yang digambarkan sebagai sahabat baik yang macam adik beradik kandung. Aku juga beranggapan hubungan kedua-dua watak ini juga gagal diterjemahkan dengan baik. Aku tidak nampak semangat 'brotherhood' atau pun adik beradik di dalam diri mereka berdua tetapi lebih kepada unsur seksual. Aku merasakan dialog dan visual tidak bersatu dengan baik menjadikan kekuatan dan hubungan watak-watak ini tidak kuat.
Plot filem ini juga mempunyai beberapa kelompongan seperti babak ASP Redzuan bercuti di Pulau Aman. Tidak mendapat gambaran yang jelas berapa lama watak Redzuan ini berada di kawasan tersebut sehinggakan semua orang kampung mengenali Redzuan ini. Paling kelakar bila bos-bos besar iaitu Dato Yusuf Haslam turun ke Pulau Aman tersebut memaksa Redzuan untuk kembali menyertai pasukan polis dengan gaya 'ugutan halus' melalui dialog,"Jangan jadi pengecut!" Serius aku tergelak betul apabila mendengar dialog ini. Macam menonton siri Gerak Khas dimana bos-bos atasan seperti berhak untuk menentukan pilihan hidup anak-anak buahnya. Memang plot cerita disini sangat lemah.
Kelemahan seterusnya ialah tentang ahli-ahli pasukan khas Operasi X. Ada empat orang pembantu kepada ASP Redzuan ini yang dilakonkan oleh Hairul, Gbob, Hefny dan pelakon wanita yang aku tidak kenali. Masing-masing ditunjukkan kepakaran yang mereka ada tetapi yang aku nampak betul-betul menyerlah ialah Hairul sahaja yang memegang watak sebagai Pablo. Menyerlah disini pun kerana ada babak aksi yang melibatkan watak Pablo terutama sewaktu adegan kejar mengejar dengan lori treler. Watak penggodam lakonan Gbob pula bagi aku tidak nampak hebat sangat disebabkan alat-alatan yang digunakan tersangat minima. Watak Hefny sebagai pemandu hebat pun aku lihat biasa sahaja. Paling tidak menyerlah ialah watak pelakon wanita yang berlakon sebagai guru tarian tu. Sangat tidak meyakinkan tambah-tambah bila ada babak yang menunjukkan Belut terpesona dengan kecantikan watak ini sedangkan watak Lady Lion yang seakan-akan perempuan simpanan belut tu jauh lebih lawa daripada guru tarian ini. Aku memang tak boleh nak hadam benda nih. Hahaha!
Ada beberapa kelemahan ketara yang dapat dilihat melalui kesan khas CGI yang digunakan serta penggunaan skrin hijau yang kantoi pada babak kejar mengejar trailer dan juga letupan. Memandangkan beberapa filem tempatan yang berjaya pada tahun ini seperti PASKAL telah meletakkan satu tahap penggunaan kesan CGI yang tinggi kepada produksi filem tempatan yang lain jadi sememangnya pada masa akan datang jika ada pihak produksi yang berhajat menggunakan elemen kesan khas ini supaya memikirkan dengan lebih jauh impian tersebut. Kalau betul-betul nak buat memang tidak boleh lokek baget dan sila pastikan kesan khas CGI filem anda betul-betul realistik.
Satu perkara lagi yang menjadi perhatian aku dan masih melibatkan watak Belut lakonan Awie ini ialah apabila watak Belut ini dipertemukan dengan watak Awie yang sebenar. Kebarangkalian untuk penonton lain berasa kagum itu ada tetapi untuk aku memang tidak sebab babak sebegini zaman P.Ramlee pun sudah ada. Aku akan berasa sedikit kagum jika wujud babak Belut berlawan dengan Awie seperti mana aku pernah tonton di dalam sebuah filem aksi Tamil yang aku tidak ingat tajuknya. Di dalam filem itu, seorang pelakon memegang dua watak dimana mereka saudara kembar dan terdapat babak pergaduhan dimana sehingga kini aku sangat kagum melihat bagaimana filem tersebut berjaya menghasilkan aksi pergaduhan yang kelihatan sangat realistik. Bukan sekadar berdiri berhadapan tetapi siap dengan aksi pergaduhan dimana tangan dan kaki menyentuh dan memukul semasa sendiri. Aku memahami mungkin diwujudkan watak Awie ini untuk menimbulkan elemen komedi di dalam filem tetap sekali lagi aku ulangi ia kelihatan agak 'cringe' dan menjengkelkan apabila elemen ini kerap kali digunakan. Cukup sekadar sekali sahaja sebenarnya walaupun itu pun sudah cukup untuk membuatkan aku sedikit rimas dengan elemen komedi sebegini.
Walau bagaimanapun, filem Operasi X ini masih menghiburkan untuk ditonton pada bulan November ini jika anda :
1) Sukakan filem aksi yang ada iras-iras filem aksi Tamil dari India.
2) Peminat Dato Awie dan Dato Aaron Aziz.
Aku mengucapkan terima kasih kepada pihak produksi filem ini yang sebelum ini ada menjemput aku untuk menonton filem ini. Aku masih terhibur menonton filem ini dan kritikan keras ini bukan untuk menjatuhkan tetapi untuk memastikan filem-filem akan datang tampil dengan lebih hebat. Jika mahu jadikan filem ini seperti filem aksi daripada Bollywood atau Kollywood, sila pastikan filem tersebut betul-betul berjaya seperti itu. Jika tidak, kemungkinan besar ia akan memberi satu petanda bahawa filem ini berada di bawah garisan sebenar yang sepatutnya ia berada. Jadi, selamat menonton filem Operasi X dan jangan lupa kongsikan komen dan pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!
P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Tempatan Terbaru Iaitu 7ujuh Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan!
2 Ulasan
hai awak, hans.. saya baca disini😊 jemput baca my review operasi x
BalasPadamterima kasih sudi baca
PadamIn Sha Allah nanti saya berkunjung membaca ulasan awak pula yer