Review Filem Unstoppable


Filem:
Unstoppable

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Kim Min-Ho

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Ma Dong-Seok, Song Ji-Hyo, Kim Sung-Oh & Etc.

Tarikh Tayangan:
13 Disember 2018

Pengedar:
MM2 ENTERTAINMENT SDN BHD

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan bekas gengster kejam iaitu Dong-chul yang kini sudah cuci tangan dan gembira dengan perkahwinannya bersama Ji-soo. Namun kehidupan masa lampaunya kembali menghantui dirinya apabila pada suatu hari, dia pulang ke rumah dan mendapati isterinya hilang. Kemudian, dia mengetahui bahawa isterinya telah diculik apabila menerima panggilan telefon yang mengatakan pemanggil itu sanggup membayarnya supaya dia melepaskan isterinya. Dong-chul bersumpah akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan Ji-soo. Saksikan filem yang penuh dengan aksi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 13 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Memandangkan tidak banyak pawagam yang menayangkan filem Unstoppable ini, maka aku terpaksa menuju sehingga ke Damansara semata-mata untuk menonton filem Korea ini di Mmcineplex Damansara pada 13 Disember 2018 yang lepas. Filem ini adalah sebuah naskhah yang cuba membawa legasi Don Lee seperti mana yang kita boleh lihat pada filem-filem yang membawakan legasi Jackie Chan, Jet Li mahu pun Rajinikanth. Tajuk filem ini pun sebenarnya merujuk kepada gelaran 'Lembu Gila' yang sememangnya bersesuaian dengan fizikal dan karkter Don Lee itu sendiri.



Selepas menonton filem Unstoppable ini, aku boleh katakan ia seolah-olah seperti aku sedang menonton filem Hulk versi Korea. Watak Don Lee itu sendiri telah dipertontonkan seperti seekor haiwan buas yang mana setiap gerakan dan tindakannya langsung tidak dapat dihalang oleh mana-mana musuh sekali pun. Aku tidak nafikan setiap babak aksi yang dipertontonkan di dalam filem ini memang begitu menarik dan mengasyikkan terutamanya ketika babak yang menampilkan kelebihan utama watak Don Lee ini iaitu berkenaan kekuatan tumbukannya yang padu  sehingga mampu menewaskan mana-mana musuh sekali pun. Namun, melihat karakter utama seperti ini yang langsung tidak kelihatan sebarang kelemahan dari sudut fizikal untuk sebuah filem aksi membuatkan penceritaan yang disampaikan kehilangan sebuah elemen penting iaitu tentang nilai dramatik di dalam plot penceritaan filem ini.


Namun, kehilangan unsur dramatik tersebut berjaya ditutup dengan baik melalui beberapa elemen lain yang agak kuat di dalam filem ini. Antaranya ialah unsur komedi, kejutan, ketegangan serta misteri. Filem ini patut berterima kasih kepada dua pelakon pembantunya yang bertindak sebagai 'sidekick' kepada watak Dong Lee kerana berjaya memberi keseimbangan kepada penceritaan filem ini yang lebih tertumpu kepada babak aksi yang tegang melalui sentuhan humor yang berjaya dicetuskan keadaan sederhana tetapi berjaya menghiburkan aku sebagai penonton dalam keadaan yang berpanjangan.


Aku agak tertarik dengan watak antagonis yang dilakonkan oleh Kim Sung Oh. Walaupun ia kelihatan sangat klise dan seolah-olah seperti watak kitar semula daripada salah satu watak antagonis terkenal di dalam filem-filem terbitan DCEU iaitu Joker, namun lakonan yang diberikannya dan bagaimana cara dia membawa dan mengembangkan lagi watak tersebut melalui emosi dan ekspresinya kelihatan begitu semulajadi dan dengan gaya yang tersendiri sehingga aku melihatkan watak ini seolah-olah memang dicipta dan ditulis mengikut karakter dan peribadi Kim Sung Oh sendiri. Memang sebuah lakonan yang sangat mantap sebenarnya. Permasalahan watak antagonisnya juga agak menarik kerana apabila dilihat kepada perkembangan wataknya, terdapat banyak sebenarnya permasalahan jiwa serta obses yang menarik jika betul-betul dikembangkan tetapi ia sekadar dihuraikan secara ringkas dengan masa yang terlalu singkat. Filem ini juga gagal memanfaatkan permainan emosi yang diberikan dengan cukup cantik oleh Song Ji-Hyo yang memegang watak sebagai Ji-Soo pada peringkat awal filem ini terutamanya babak dia meminta untuk bercerai dengan Don Lee. Sayang sebenarnya kerana aku boleh katakan kesemua pelakon di dalam filem ini berjaya menyinar dengan watak masing-masing namun penceritaan filem yang terlalu ringkas dan selamat menjadikan filem ini kelihatan kuat hanya kerana babak aksi serta komedinya sahaja. 


Seperti aku nyatakan sebentar tadi, kelemahan utama filem Unstoppable ini adalah tentang kegagalannya di dalam mengekalkan momentum serta fokus sebenar yang cuba disampaikan kepada penonton iaitu mesej-mesej yang berkaitan tentang isu pemerdagangan manusia, pembedahan plastik haram, penjualan organ haram serta pelacuran. Dek kerana terlalu memberi tumpuan dan melebih-lebihkan babak aksi sehingga menenggelamkan mesej sebenar cerita ini. Filem ini bernasib baik kerana selain berjaya menggoda mata penonton dengan babak aksi yang meyakinkan, momentum ceritanya juga turut bergerak laju menjadikan filem ini berjaya membuatkan penonton kekal di tempat duduk tanpa berasa bosan. 


Pada pandangan aku, filem terbaru dari Korea ini bukanlah sebuah filem yang sempurna namun masih ada beberapa kelebihan tersendiri yang menjadikan filem ini menarik untuk ditonton oleh anda di pawagam berhampiran bermula pada 13 Disember 2018 ini. Jadi, selamat menonton filem Unstoppable dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Ulasan Filem Seram Korea Wrath Akan Dikongsikan Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. Wahhh.... Don Lee ada... Menarik juga dari bacaan ulasan di atas. Hmmmhhh... Bilalah LeYa nak pergi menonton ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaah
      bila-bila pun boleh Leya
      janji sediakan duit untuk beli tiket
      hahaha

      Padam
  2. akak teringin nk tgk filem ni, mungkin sbb utamanya ada pelakon ji hyo hehehhe... sbb akak peminat setia runningman

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      yups
      Ji Hyo berlakon pun not bad
      nampak sisi lain dia dari Running Man

      Padam
  3. Thanks Hans yg review film ni utk membuat saya confident pergi menonton nun jauh di eCurve. Amat puas hati, film nya simple je tapi plot serta character nya pd saya menarik dan "fun". Sebenarnya film ni bole dikategorikan sbg "dark comedy"...

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      cuma bukan filem terbaik lah tetapi menghiburkan
      hehehe

      Padam
  4. Balasan
    1. menghiburkan juga lah sebab banyak aksi berlawan

      Padam