Review Filem The Odd Family: Zombie On Sale


Filem:
The Odd Family: Zombie On Sale

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Lee Min Jae

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Jung Jae-Young, Kim Nam-Gil, Uhm Ji-Won, Lee Soo-Kyung, Jung Ga-Ram & Etc.

Tarikh Tayangan:
14 Mac 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan keluarga Park yang tinggal di sebuah pekan aman di pedalaman. Pada suatu hari, pekan mereka dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki ganjil yang sebenarnya zombi yang dicipta oleh sebuah syarikat farmaseutikal menerusi eksperimen haram mereka. Keluarga Park yang menjumpai zombi itu mendapati zombi ini mempunyai keistimewaan dan cuba mendapatkan keuntungan daripada kelebihan yang wujud pada zombi itu. Namun, tanpa disedari perbuatan keluarga Park telah menyebabkan penduduk di kawasan tempat tinggal mereka telah berubah menjadi zombi. Apa sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem komedi yang melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 Macm 2019 untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem The Odd Family: Zombie On Sale di GSC IOI Puchong pada 14 Mac 2019 yang lepas. Sejak kejayaan Train To Busan yang memberi impak yang cukup hebat buat kaki wayang di seluruh dunia maka dapat dilihan industri drama mahu pun perfileman Korea tidak putus-putus menghasilkan kisah-kisah menarik berkaitan dengan zombi. Kali ini sekali lagi para penonton di seluruh dunia dihidangkan dengan sebuah filem zombi berjudul The Odd Family: Zombie On Sale. Namun, kelainan yang cuba ditampilkan di dalam filem kali ini ialah ia bukannya didatangkan di dalam versi seram tetapi lebih terarah kepada genre komedi. Jadi, memandangkan kami belum pernah lagi menonton filem zombi Korea versi komedi maka karya ini menggamit kami untuk datang menonton bagi menilai sendiri sejauh mana kehebatan filem The Odd Family: Zombie On Sale pada kali ini.


Secara jujurnya, kami merasakan filem The Odd Family: Zombie On Sale ini merupakan sebuah percubaan yang dikira menarik. Tetapi, sayangnya penceritaan filem ini terlalu klise sehinggakan tahap kelucuannya yang pada asalnya bermula baik semakin merudum sebelum berjaya di selamatkan pada penghujung cerita. Selain daripada itu, kami mendapati plot penceritaan filem ini juga terlalu lompong pada 20 minit terawal filem ini sehinggakan pada akhirnya kami merasakan filem ini sekadar sesuai dianggap sebagai satu bentuk hiburan hujung minggu tanpa memberi sebarang rasa atau pengalaman menarik yang boleh diperkatakan atau diceritakan selepas selesai menonton.


Permulaan filem menceritakan tentang kegagalan sebuah syarikat farmaseutikal menghasilkan ubat diabetes yang memberi kesan sampingan kepada pengambilnya. Namun kemunculan zombi yang diberi nama Zzombie (lakonan Jung Ga-Ram) pula pada permulaan filem ini agak mengelirukan, penuh misteri dan kurang meyakinkan daripada segi struktur perkembangan wataknya. Pada permulaannya kemunculan zombi ini di sebuah kawasan penduduk dan bagaimana caranya zombi ini berinteraksi tanpa memberi sebarang petunjuk dan deria rasa adalah melucukan namun ianya gagal diteruskan pada babak seterusnya walaupun filem ini sebenarnya berpotensi untuk memberi lebih daripada yang sepatutnya. Kami melihat filem ini berjaya memberikan sesuatu yang menarik di dalam menimbulkan konflik-konflik menarik tetapi tidak ada langsung penerangan yang jelas tentang bagaimana terjadinya konflik ini membuatkan sedikit sebanyak filem ini agak mengecewakan kami.


Selain itu, watak Zzombie juga dipaparkan sebagai seorang zombi yang sangat menyukai kobis. Walaupun ini adalah salah satu lagi idea gila yang melucukan untuk mengubah sifat zombi yang diketahui umum sangat sukakan daging dan darah manusia yang hidup namun sekali lagi sayang kerana filem ini tidak menjelaskan lebih lanjut tentang perihal ini. Kami melihat ini adalah salah satu lagi teknik paksaan yang dibuat untuk memaksa penonton ketawa tetapi sebaliknya ia bertukar menjadi agak hambar kerana kelemahan penceritaannya yang bukan sahaja tidak konsisten tetapi juga terlalu komikal dan kurang tersusun di dalam memberikan penerangan yang lebih menarik untuk membuat kami sebagai penonton lebih terhibur.


Tidak dinafikan para pelakon yang membintangi filem The Odd Family: Zombie On Sale ini sama ada watak utama, watak pembantu mahu pun sampingan berjaya memberikan lakonan yang mantap dan menghiburkan. Anda pasti akan terhibur melihat keletah lelaki-lelaki tua yang cukup melucukan di dalam filem ini. Elemen kekeluargaan juga berjaya dipaparkan dengan agak baik walaupun tidak terlalu sempurna. Jelas disini bahawa filem ini bukan lah terlalu buruk cuma kelemahannya terlalu mudah dilihat iaitu melalui jalan penceritaannya yang bukan sahaja lemah tetapi kurang meyakinkan seperti mana filem-filem Zombi Korea yang lain sebelum ini.


Kesimpulannya, kami tidak menafikan filem The Odd Family: Zombie On Sale ini mampu mengundang gelak tawa anda sewaktu menonton filem berdurasi 1 jam 53 minit ini. Namun, kami melihat filem ini terlalu rakus untuk menghiburkan para penonton dengan menampilkan pelbagai jenis cubaan untuk menggeletek hati penonton tetapi pada masa yang sama terlupa untuk menjaga nilai penceritaan sehingga membuatkan perkembangan watak-wataknya agak kabur dan berselerak. Tetapi, jika anda hanya sekadar mementingkan hiburan yang melucukan semata-mata maka filem The Odd Family: Zombie On Sale ini pasti tidak akan menghampakan keinginan anda tersebut.


Jadi, selamat menonton filem The Odd Family: Zombie On Sale di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 Mac 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Seram Thailand Berjudul Pee Nak. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Terima kasih kpd Hans yg berusaha memberi review film ini. Kami sekeluarga yg gemar dgn film genre zombie memang terhibur dgn versi Korea ini. In mengingat kami pada film Warm Bodies...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      ada lah dekat-dekat kan dengan filem tu
      cuma ada kelainan sikit

      Padam