Review Filem Two Sisters


Filem:
Two Sisters

Penilaian:
5/10

Pengarah:
James Lee

Genre:
Misteri & Ngeri

Pelakon:
Emily Lim, Lim Mei Fen, Joyce Harn, Kym Tan, Adery Chin, Chai Zi & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 April 2019

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang gadis yang dibebaskan dari pusat kesihatan mental dan kembali bersatu dengan kakaknya. Mereka kemudian pulang semula ke rumah keluarga mereka yang terbiar. Bagaimanapun, kepulangan mereka mula merungkap rahsia gelap dan tragik yang menimpa keluarga mereka sebelum ini. Saksikan filem seram yang penuh misteri ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 April 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Kuman Pictures untuk menonton filem seram berjudul Two Sisters di MMcineplex E Curve pada 11 April 2019 yang lepas. Filem ini sebenarnya telah menarik perhatian kami usai merangkul anugerah Skor Muzik Terbaik pada Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-30 baru-baru ini. Tambahan lagi, filem ini merupakan filem pertama terbitan Kuman Pictures yang sebelum ini telah menyatakan filem-filem terbitan mereka berkos rendah. Jadi, dengan anggaran kos sekitar RM300,000 untuk filem Two Sisters ini maka kami boleh katakan filem ini berjaya memberikan yang terbaik seolah-olah ia dihasilkan dengan kos yang lebih tinggi seperti kebanyakan filem-filem tempatan yang lain.


Berbeza dengan kebanyakan filem seram tempatan yang lain, filem Two Sisters ini cuba bermain dengan elemen seram psikologi di dalam plot penceritaan serta perkembangan watak-watak yang bermain di dalam naratifnya. Ia adalah satu perkara yang menarik untuk dilihat bagaimana filem ini kurang bermain dengan teknik jump scare yang selalunya digunakan secara keterlaluan di dalam kebanyakan filem seram tempatan yang lain. Ini adalah salah satu pujian yang wajar diberikan kepada setiap krew mereka kerana berjaya menimbulkan unsur seram melalui faktor-faktor lain seperti sinematografi, penggunaan sudut kamera serta suntingan visual yang boleh dikatakan kemas tersusun untuk sebuah filem berkos rendah sebegini.


Secara dasarnya, jalan cerita filem ini menarik untuk dilihat dimana bagaimana pengarah serta penulisnya iaitu James Lee cuba untuk bermain-main dengan beberapa pertukaran plot pada pertengahan serta penghujung filem. Ia satu cubaan yang baik namun 'plot twist' tersebut seolah-olah mengingatkan kami kepada beberapa karya seram daripada luar negara. Jadi, kami melihat keunikan yang cuba ditampilkan di dalam filem Two Sisters pada kali ini seolah-olah mengecewakan harapan kami yang pada yang awalnya tinggi menggunung untuk melihat apa kelainan yang cuba dipaparkan pada karya terbaru James Lee ini. Walau bagaimanapun, kami cukup menyukai mesej-mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini terutamanya berkaitan hubungan kekeluargaan serta masalah haruan makan anak yang sering kali berlaku di kalangan masyarakat kita yang menyebabkan emosi anak-anak terganggu dan menyebabkan kehidupan mereka terjejas dan dilanda trauma yang berpanjangan. Cuma sayangnya mesej ini seperti kurang digali sedalam mungkin untuk memberikan satu penceritaan yang lebih berkesan kepada penonton.


Namun, kami melihat kelemahan terbesar filem ini ialah dari sudut solekan watak-watak hantunya yang kelihatan kurang menakutkan. Beberapa penggunaan props di dalam filem ini juga terutama untuk kawasan bilik simpanan baju yang dipenuhi lipas-lipas plastik itu juga agak kurang meyakinkan pada pandangan kami. Namun, secara keseluruhannya filem ini tidak lah mengecewakan tetapi ia bukannya berada di tahap yang terbaik mahu pun berada di tahap yang lemah. Filem ini tergolong di dalam sebuah lagi filem seram berkonsepkan sederhana dimana kebanyakkan susur galur penceritaannya agak mudah diramal.


Satu perkara menarik yang ingin kami kongsikan ialah tentang kenyataan berani pihak Kuman Pictures seperti gambar di atas. Namun kami mengharapkan agar penonton yang menonton agar memberi sokongan sehabis baik buat filem ini tanpa mengharapkan pulangan wang anda semula jika anda tidak menyukai filem ini. Jadi, selamat menonton filem Two Sisters dan sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Menarik Berjudul Watchman. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Saya berharap saya berjaya memenangi dua ticket untuk wayang premiere " Dreadout, Terima Kaseh..
    Alamat email : ehockchuan@yahoo.com

    BalasPadam