Review Filem Kolaigaran


Filem:
Kolaigaran

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Andrew Louis

Genre:
Aksi, Jenayah & Ngeri

Pelakon:
Arjun Sarja, Vijay Antony, Ashima Narwal, Seetha & Etc.

Tarikh Tayangan:
7 Jun 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang anggota polis bernama Karthikeyan yang menyiasat beberapa kes pembunuhan. Terdapat satu kes pembunuhan yang cukup mencurigakan dimana Karthikeyan mengesyaki seorang wanita bernama Dharani terlibat di dalam pembunuhan seorang lelaki. Namun, seorang lelaki bernama Prabhakaran telah datang ke balai polis dan membuat pengakuan bahawa dia yang membunuh lelaki tersebut. Jadi, Karthikeyan mulai mengumpul bahan bukti untuk membuktikan tekaannya benar. Tetapi, adakah apa yang dirasakan Karthikeyan betul atau sebaliknya? Saksikan filem yang menarik ni di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 Jun 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil berjudul Kolaigaran di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 16 Jun 2019 yang lepas. Filem yang mendapat komen positif daripada para penonton di negara India sebenarnya diadaptasi daripada sebuah novel Jepun berjudul The Devotion of Suspect X yang merupakan karya Keigo Higashino dan telah diterbitkan pada tahun 2005. Selepas kejayaan filem Thadam yang cukup membanggakan, filem Kolaigaran pula cuba untuk mencapai kejayaan yang sama dengan menawarkan plot penceritaan yang terarah kepada konsep yang lebih kurang sama dengan menampilkan gandingan dua pelakon ternama iaitu Arjun Sarja dan Vijay Antony.


Kolaigaran atau di dalam bahasa Melayunya disebut sebagai 'Pembunuh' ini dimulakan dengan satu babak pembunuhan yang cukup mengerikan sebelum disusuli pula oleh watak Prabakaran yang tiba-tiba tampil ke balai polis untuk menyerah diri dan mengaku melakukan pembunuhan. Jadi, pada permulaannya dapat dilihat ceritanya jelas agak kabur dan menimbulkan banyak persoalan buat para penonton yang menyaksikan filem ini. Namun, semakin lama filem ini berlangsung maka anda pasti akan mula mengenali setiap watak-watak utamanya serta watak-watak pembantu yang mula timbul untuk cuba mengelirukan anda tentang suspek sebenar yang menjadi penjenayah di dalam filem ini. Seperti mana anda keliru untuk meneka siapakah penjenayah sebenar di dalam filem Thadam maka anda juga akan mula keliru tentang identiti sebenar watak Prabakaran yang boleh bertukar menjadi pelbagai personaliti di fikiran anda. Adakah Prabakaran seorang lelaki yang baik? Atau pun satu lagi watak antagonis yang cuba meraih simpati? Atau sebenarnya seorang manusia yang mengalami masalah psikologi yang serius? Hal-hal ini yang akan sentiasa bermain di fikiran anda bermula pada awal filem sehingga kepada 75 peratus filem ini berlangsung.


Namun, sayangnya filem Kolaigaran gagal mengikut jejak filem Thadam yang berjaya menipu hampir keseluruhan penonton sehingga babak penamatnya kerana ia terlalu awal mendedahkan watak Prabhakaran iaitu semenjak awal penceritaan lagi. Jadi, walaupun terdapat beberapa permainan plot yang cuba dilakukan di dalam filem ini, ia gagal meninggalkan impak yang terlalu maksimum kepada minda penonton sementelah motif pembunuhan dilakukan juga amat mudah ditebak dan diramal. Lebih menyedihkan apabila watak utama anggota polis iaitu Karthikeyan dilihat terlalu mudah menemui jawapan atau membuat andaian yang terlampau cepat yang secara tidak langsung membuatkan pemikiran penonton gagal dimanipulasikan dengan baik.


Namun, antara salah satu elemen menarik yang dapat dilihat di dalam filem Kolaigaran ini ialah simbolik peralihan beberapa babaknya yang berjaya menimbulkan misteri yang cukup baik buat filem ini. Sebagai contoh, adegan Prabhakaran membuka boot kereta yang digabungkan dengan pembukaan fail berjaya memberikan satu kesan visual yang cukup baik. Begitu juga sewaktu adegan ibu Dharani membuka pintu yang membawa kepada peralihan babak lain yang berjaya membuatkan sifat ingin tahu penonton membuak-buak. Banyak lagi adegan lain yang berjaya disunting dengan cukup baik yang berjaya mengawal penceritaan filem Kolaigaran ini agar sentiasa berada di garisan yang positif. Cuma sayangnya kehilangan elemen kejutan untuk penceritaannya yang terlalu ketara membuatkan tontonan anda sedikit sugul dan tidak berjaya meningkatkan adrenalin anda di paras yang tertinggi.


Lakonan Arjun Sarja sebagai seorang anggota polis bernama Karthikeyan boleh dipuji kerana berjaya menghidupkan watak tersebut dengan cukup bergaya. Namun, watak Prabhakaran lakonan Vijay Antony pula dilihat gagal meyakinkan kami sebagai penonton di dalam beberapa bahagian. Begitu juga dengan watak Dharani dan ibunya yang dilakonkan oleh Ashima Narwal dan Seetha dimana permainan emosi mereka jelas begitu mudah memberikan jawapan kepada persoalan penonton. Hubungan beberapa watak di dalam filem ini juga dilihat kabur dan kurang meyakinkan walaupun penerangan telah diberikan bagi meyakinkan penonton untuk mempercayainya. Namun, kami akui lagu latar yang menghiasi filem ini berjaya memberikan aura thriller kepada filem ini terutama lagu Kolaigaran yang pada kami agak 'berhantu'. Selain itu, filem ini sekali lagi mengambil jalan mudah dengan mewujudkan dua watak yang mempunyai wajah yang sama dan kami merasakan ini ialah tindakan yang sangat malas dan tidak bijak kerana ini langsung tidak meyakinkan seperti mana yang dapat dilihat di dalam filem Thadam. Namun, secara keseluruhannya, filem ini masih menghiburkan dan menawarkan anda satu pengalaman tontonan yang menarik terutama buat mereka yang menyukai filem-filem yang berkonsepkan jenayah dan aksi seperti ini.


Jadi, selamat menonton filem Kolaigaran di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 7 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda? Nantikan Ulasan Kami Yang Seterusnya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan