Review Filem Game Over


Filem:
Game Over

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Ashwin Saravanan

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Taapsee Pannu, Vinodhini Vaidyanathan, Anish Kuruvilla, Sanchana Natarajan & Etc.

Tarikh Tayangan:
14 Jun 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Swapna seorang pencipta permainan video yang sedang menjalani tempoh pemulihan selepas terlibat dalam insiden yang menakutkan. Selepas patah tangan dan kaki akibat cubaan membunuh diri, dia hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda. Pada masa yang sama, bandar yang didiaminya sedang diburu oleh seorang pembunuh bersiri yang telah membunuh ramai wanita. Suatu malam, dia mendapati dirinya berdepan dengan pembunuh itu yang telah masuk ke rumahnya. Saksikan filem yang cukup menarik ni di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 Jun 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang menjadi sebutan ramai peminat filem Kollywood berjudul Game Over di Amarin Cineplex pada 15 Jun 2019 yang lepas. Filem ini dimulakan dengan babak pembuhan seorang wanita yang dipaparkan dengan cara yang cukup gore dan menakutkan dimana kepalanya dipenggal dan bahagian badannya yang lain dibakar di atas sebuah kerusi dimana gaya pembunuhannya mengingatkan kami kepada kejadian pembunuhan kartel dadah yang sering berlaku di negara latin seperti Mexico misalnya. Walaupun pada babak permulaannya ia memaparkan visual yang kelihatan bergoyaan-goyang dan seakan-akan tidak teratur namun babak inilah yang berjaya menyusun atur keseluruhan filem Game Over ini untuk sentiasa membawakan elemen misteri dan seram yang tidak berkesudahan buat anda yang menonton. Apa yang kami boleh katakan, filem ini berjaya dipersembahkan dengan cukup baik terutama melalui lakonan, penyuntingan, sinematografi, muzik latar serta durasi setiap babak yang minima panjangnya. Lebih menarik filem ini tidak dibazirkan dengan sebarang lagu nyanyian yang menjadikan setiap saat digunakan dengan baik di dalam pembangunan karakter utama filem ini iaitu Swapna.


Antara intipati cerita yang sangat menarik pada pandangan kami untuk filem Game Over ini ialah bagaimana ini memaparkan tentang kisah Swapna yang mengalami gangguan tekanan pasca trauma yang cukup dasyat sehingga menyebabkan wanita ini terlalu fobia terhadap kegelapan sehingga memusnahkan keseluruhan hidupnya yang dikhabarkan sebagai seorang yang ceria. Ia dapat dilihat dengan mudah kerana Swapna merupakan seorang yang terlibat aktif di dalam permainan video dan semestinya menuntut emosi wanita ini untuk menjadi seorang yang ceria dan aktif sebelum kejadian gelap itu mengubah kehidupannya 100 peratus. Jadi, bagaimana pelakon Tappsee Pannu menghidupkan watak Swapna ini wajar diberi pujian kerana dia berjaya mempersembahkan dan mendekatkan kami dengan watak seorang wanita yang berdepan dengan rasa kecewa dan ketakutan yang terlampau tinggi dengan cukup baik. Plot penceritaan filem ini juga berjaya digarap dengan cukup baik dari sudut tersebut untuk membuatkan para penonton sangat dekat dengan watak ini yang sentiasa berputus asa dan cuba untuk membunuh diri dengan pelbagai cara.



Apa yang membuatkan kami cukup suka dengan filem Game Over ini ialah elemen seramnya yang sangat menarik perhatian. Walaupun hampir 90 peratus babak filem ini bermain di dalam kawasan rumah namun pihak produksi bijak memanfaatkan skor bunyi untuk melakukan magis terhadap filem ini. Namun, ia tidak akan terhasil dengan cemerlang tanpa kerjasama daripada bahagian-bahagian lain seperti permainan kamera terutama melibatkan adegan cctv, sinematografi babak malam yang cukup hening, suntingan setiap adegan yang pantas dan kemas serta yang paling penting iaitu reaksi wajah serta permainan emosi para pelakonnya yang berjaya membangkitkan elemen seram itu ke satu tahap yang cukup memukau. Ini adalah salah satu contoh filem yang kami maksudkan selama ini yang tidak perlu bergantung kepada teknik murahan jump scare semata-mata untuk menakutkan penonton yang telah lali dengan hasil yang sama.



Filem Game Over ini sebenarnya membawakan banyak mesej yang cukup menarik untuk kami rungkaikan satu persatu. Antaranya ialah tentang gabungan tiga penyakit yang menghinggapi tubuh atau jiwa manusia zaman kini iaitu kanser, fobia serta mental yang berjaya disatukan dengan cukup baik terhadap watak-watak di dalam filem ini. Perjalanan penyakit kanser yang dipaparkan memberikan kita satu jawapan yang jelas tentang keyakinan kepada kehidupan dan jangan pernah menyerah kepada dugaan atau berfikir untuk putus asa. Perkara ini kemudian telah berjaya dihubungkan dengan penyakit fobia yang dialami oleh watak Swapna yang pada akhirnya memberikan kita jawapan yang jelas tentang hubungan tatu pada pergelangan tangan yang dimilikinya dengan kegagalannya pada setiap kali cubaan untuk membunuh diri. Kedua-dua perkara ini kemudiannya dikembangkan pula kepada bahagian seterusnya iaitu mental manusia dimana pada akhir filem kita dapat melihat tiga golongan manusia dimana golongan pertama berjaya mengatasi hal ini untuk terus hidup. Manakala golongan kedua pula gagal mengatasi masalah mental ini dan cuba mengambil jalan pintas untuk membunuh diri. Manakala golongan ketiga pula yang mempunyai masalah mental yang serius dan memilih untuk menghilangkannya dengan melakukan penyeksaan serta pemubuhan dan berasa gembira melihat mangsa-mangsa kekejaman mereka mereka menderita, merayu, menangis dan ketakutan sebelum menemui ajal. Ketiga-tiga penceritaan ini pada kami cukup menarik dan menjadikan filem Game Over sebuah filem yang lari daripada kebiasaan filem-filem yang bersifat klise atau stereotaip apabila melibatkan filem pembunuhan bersifat thriller. 


Filem Game Over merupakan sebuah filem bersifat gelap yang cukup pintar. Salah satu elemen misteri yang cukup menarik dan telah berjaya dicipta di dalam filem ini dengan sangat bergayanya ialah berkaitan dengan tatu berbentuk konsol permainan yang terdapat pada bahagian pergelangan tangan Swapna. Ia berjaya membawa pelbagai makna ke dalam filem ini melalui permainan video Pacman dimana Swapna diberi peluang kedua dan ketiga untuk mengubah nasib hidupnya dengan memulakan semula daripada awal. Ini merupakan salah satu perkara menarik cuma sayangnya garapan untuk bahagian klimaks ini telah mencacatkan sedikit filem ini kerana ia pantas mengingatkan kami kepada filem Happy Death Day. Lebih mengecewakan apabila kemunculan watak misteri pembunuh bersiri ini juga diadakan tanpa sebarang motif yang jelas tentang sebab dan akibat mereka berkelakuan sedemikian rupa. Mungkin hal ini sengaja dibiarkan untuk membuatkan jalan cerita ini kelihatan lebih misteri namun bagi kami ia sedikit mengecewakan dan mengakibatkan kelompongan cerita yang cukup longgar pada sudut ini.


Secara keseluruhannya, filem Game Over berjaya menampilkan sebuah penceritaan yang menarik dan matang tentang kesihatan mental dan psikologi seseorang manusia melalui pelbagai perspektif dengan cukup menarik. Ia berjaya memberi pemahaman yang menarik tentang subteks utama filem ini iaitu tentang peluang dimana peluang untuk anda memilih cara hidup, peluang untuk anda bangkit daripada kegagalan atau ketakutan lampau serta peluang untuk anda merebut harapan yang ada di depan mata dan corakkan ia ke jalan yang bercahaya. Disamping itu, kekuatan utama filem Game Over ini semestinya terletak kepada elemen thriller yang sangat memukau dibantu oleh lakonan para pelakonnya yang cukup hebat dan wajar diberikan pujian. Walaupun bukan sebuah filem yang terlampau baik namun ia membawa satu pengalaman sinematik baru buat penggemar filem Tamil yang berjaya melihat hubung kait antara permainan video serta kisah penceritaan watak-watak yang wujud di dalam filem ini.


Jadi, selamat menonton filem Game Over di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Filem Bharat Yang Merupakan Sebuah Filem Bollywood Yang Dihasilkan Semula Berdasarkan Filem Asal Dari Korea! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan