Review Filem Kron


Filem:
Kron

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Opie Zami

Genre:
Drama

Pelakon:
Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka, Opie Zami & Etc.

Tarikh Tayangan:
22 Ogos 2019

Pengedar:
Empire Film Solution

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pengkaji sejarah di sebuah muzium di Kedah bernama Profesor Daud dimana pihak atasan telah menghalang dirinya dan pembantunya Sham untuk melakukan ekspedisi menjejaki laluan Raja Siam untuk mencari bunga emas dan perak kerana bimbang akan bahaya. Namun Profesor Daud nekad untuk meneruskan misinya selepas seorang ahli perniagaan, Melur Seri, bersetuju untuk menanggung kos ekspedisi tersebut. Dia turut mendapat bantuan daripada seorang pengarah televisyen paranormal, Pian, yang menawarkan diri untuk merakam aktiviti mereka tanpa sebarang bayaran. Keadaan yang pada mulanya lancar menjadi buruk apabila perjalanan mereka terganggu, setelah pandangan mereka dikaburkan dan menyebabkan mereka tersalah masuk laluan. Mereka juga kini diburu oleh makhluk misteri bernama Kron. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menghadiri tayangan media filem Kron bertempat di MMcineplexes eCurve, Mutiara Damansara pada 15 Ogos 2019 yang lepas. Sememangnya filem yang menggunakan lebih 40 peratus teknik imej janaan komputer atau CGI daripada keseluruhan jalan cerita jarang ditemukan di dalam filem tempatan. Jadi, sekalung tahniah buat pihak penerbit yang berani mengambil risiko dan menyahut cabaran untuk menghasilkan filem Kron ini. 



Kron merupakan sebuah filem fiksyen yang turut mengambil sedikit intipati tentang kisah sejarah berkaitan laluan bunga emas yang terdapat di Kedah. Disebabkan kekangan kewangan yang terhad maka tiada adegan melibatkan gajah-gajah besar namun ia masih menarik untuk melihat bagaimana nilai cerita sejarah ini divisualkan walaupun secara fiksyen. 



Salah satu perkara yang menarik tentang filem Kron ialah penggunaan bahasa suku kaum orang asli yang diguna pakai di dalam filem ini. Apa yang menariknya ialah kaum orang asli yang dipotretkan di dalam filem ini sememangnya tidak pernah wujud di Malaysia hatta dimana-mana sudut dunia sekali pun. Tetapi, setiap patah perkataan yang diungkapkan sangat meyakinkan dan pengulangan perkataan juga adalah bagus. Ini menunjukkan ada usaha yang bagus di dalam menjaga kesinambungan hal ini. 



Selain itu, sinematografi dalam filem ini juga agak membantu untuk menjadikan wajah filem ini menarik untuk dilihat. Walaupun kesan CGI yang digunakan bukan terlampai cemerlang tetapi ada beberapa adegan menggunakan CGI yang menarik seperti adegan kumbang keluar daripada tubuh manusia. 



Selain itu, kami juga sangat berterima kasih dan menghargai kerja keras pihak penerbit di dalam menyediakan sari kata untuk kami lebih memahami tentang makna bacaan mantera dan juga bahasa orang asli yang tidak wujud ini. Menarik kerana bacaan mantera juga adalah rekaan semata-mata tetapi cara ia dilontarkan sangat meyakinkan yang membuatkan ia kelihatan seolah-olah bacaan mantera yang betul. 



Namun, ada beberapa perkara yang sedikit sebanyak agak mengelirukan jika anda menontonnya secara terus tanpa membaca sinopsis terlebih dahulu. Ia dapat dilihat ketara pada pembinaan beberapa watak utama seperti watak Melur Seri lakonan Dayana Roza sebagai wanita kaya yang menyumbang dana kepada ekspedisi ini dan watak lelaki lakonan Mamak Puteh yang jika diikutkan pada sinopsis merupakan pengarah filem Paranormal. Hal ini dilihat sangat samar-samar di dalam filem ini yang menyebabkan kami yang menonton terfikir adakah ini gambaran kekayaan dan kelibat seorang pengarah filem paranormal. 



Sejam pertama filem Kron membuktikan adegan-adegan yang muncul di layar perak adakalanya agak meleret dan tidak perlu. Kami bukannya bermaksud adegan-adegan tersebut tidak perlu tetapi kami merasakan pihak produksi harus memikirkan cara atau menggunakan pendekatan baru pada filem-filem terbitan dan keluaran mereka akan datang tentang cara untuk meringkaskan serta memadatkan jalan cerita filem tersebut agar fokus tontonan majoriti penonton lebih terkawal. Kami yakin produksi selepas ini harus lebih menekankan kepada aspek ketelitian di dalam setiap watak serta adegan penceritaan agar ia selari dan membantu perkembangan plot filem agar lebih diyakini dan tampak lebih menarik. 



Satu lagi perkara yang kami ingin nyatakan ialah kami sebenarnya agak menyukai hasil kerja Opie dari sudut visual gambar yang dilihat agak cantik kualitinya dan menunjukkan ketekunan pihak produksi untuk sentiasa mengekalkan faktor ini di dalam filem mereka. Namun, untuk filem Kron yang lebih bercirikan pengembaraan, kami merasakan seharusnya lebih banyak imej atau simbolik hutan itu dirakam dan diletakkan menyelangi babak-babak watak-watak ini berjalan merentasi hutan agar mata tidak letih dan sentiasa dapat melihat perkara baru di dalam filem. 


Jadi, selamat menonton filem Kron di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Berjudul Stuber. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan