Review Filem Ode to Joy


Filem:
Ode to Joy

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Jason Winer

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Martin Freeman, Morena Baccarin, Melissa Rauch, Jake Lacy& Etc.

Tarikh Tayangan:
19 September 2019

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:
Filem yang diinspirasikan dari sebuah kisah benar yang berlatar belakangkan bandar Brooklyn ini mengisahkan seorang lelaki bernama Charlie yang merupakan pustakawan yang menghidap penyakit `cataplexy`. Penyakit ini akan membuatkan dia mudah pitam apabila merasai satu-satu emosi yang terlalu kuat. Dia sering memikirkan perkara yang sedih bagi mengelakkan dari pengsan memandangkan kelemahannya adalah perasaan gembira. Dia kemudiannya mengenali Francesca namun takut untuk jatuh cinta. Dia menjauhkan diri dan cuba menjodohkan wanita itu dengan adiknya iaitu Cooper. Namun, pada masa yang sama Charlie tetap tidak dapat melupakan Francesca. Apakah yang akan berlaku kepada kehidupan Charlie selepas itu? Saksikan filem komedi romantik yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 19 September 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada GSC Movies untuk menghadiri tayangan media untuk filem Ode to Joy bertempat di GSC One Utama pada 17 September 2019 yang lepas. Memandangkan filem ini merupakan filem yang tergolong di dalam kategori Skrin Antarabangsa di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) maka sudah semestinya filem berbahasa Inggeris ini tidak disertakan dengan sebarang sari kata. Namun, anda tidak perlu khuatir kerana dialog Inggeris filem ini masih boleh difahami. Jadi, satu perkara yang menarik perhatian kami tentang filem ini ialah apabila ia memberi fokus kepada satu penyakit bernama Cataplexy dimana penghidap penyakit ini tidak boleh mempunyai emosi yang berlebihan kerana ia akan menyebabkan tindak balas otak terhadap saraf dan menyebabkan si pesakit secara tiba-tiba tidak mampu berdiri kerana kakinya berasa lemah dan lembik sebelum pitam tidak sedarkan diri. Ianya menjadi lebih menarik apabila genre filem ini iaitu komedi romantik membuatkan kisah pesakit Cataplexy ini kelihatan mempunyai satu keistimewaan tersendiri yang membuatkan kami terhibur dengan kisah suka duka yang dilalui lelaki yang takut untuk mempunyai komitmen terhadap cinta, pasangan dan keluarga.


Filem Ode to Joy ini berjaya membuatkan kami sebagai penonton untuk memahami apa yang dikatakan tentang penyakit Cataplexy dan kesan serta bencana yang perlu dihadapi oleh watak utama iaitu Charlie. Menarik untuk melihat babak-babak yang memaparkan kehidupan Charlie yang cuba mengelak untuk beremosi dimana ia akan cuba menghindarkan pandangannya daripada wajah bayi yang comel, anjing mahu pun segala macam komunikasi manusia dan manusia yang berada di hadapan pandangannya jika ia mampu meningkatkan tahap emosinya terutamanya rasa gembira yang terlampau. Jadi, kemunculan wanita bernama Francesca di dalam kehidupan Charlie melalui adegan pertemuan pertama mereka di perpustakaan yang dipaparkan di dalam suasana komedi yang comel walaupun sedikit klise berjaya mengubah intipati kisah filem ini dengan agak baik. Walaupun kami merasakan terdapat sedikit kelompongan terhadap pembinaan watak Francesca yang tiba-tiba dilihat terlalu tertarik dengan Charlie tanpa sebab yang kukuh namun kami akui kegilaan Francesca ini sememangnya menghiburkan dan memberikan satu definisi menarik tentang cinta itu sendiri.


Kami tertarik untuk melihat adegan main tali yang dipaparkan di dalam filem Ode to Joy ini. Bagaimana Charlie yang takut dengan keadaannya yang mempunyai Cataplexy tidak akan mampu membahagiakan Francesca dan akhirnya memutuskan untuk menjodohkan gadis tersebut dengan adiknya sendiri iaitu Cooper. Namun, Charlie dilihat cuba menipu dirinya sendiri walaupun dia sebenarnya mengetahui hatinya tetap menyukai Francesca. Jadi, konflik disini dilihat menarik kerana terdapat dua definisi cinta yang dipaparkan di dalam filem ini. Pertama ialah cinta sejati yang tidak memandang rupa dan menerima siapa pasangan seadanya. Kedua ialah cinta disebabkan faktor luaran atau dengan erti kata mudahnya disebabkan keinginan nafsu seks semata-mata. Charlie dan Francesca ialah manusia di dalam kategori cinta sejati manakala Cooper pula ialah manusia yang berada di dalam kategori cinta kedua iaitu hanya disebabkan seks semata. Maka hal ini dilihat memberikan satu konflik yang pada kami agak menarik untuk melihat sejauh mana perhubungan mereka ini akan berakhir. Namun, kemunculan watak Bethany yang walaupun berjaya memberi warna kepada filem ini terutama dari sudut humor yang menggila seperti pada babak nyanyian lagu Zombie namun gadis ini yang sama jiwanya seperti watak Cooper dilihat secara tiba-tiba terlalu mencintai Charlie tanpa sebab yang kukuh dan ini amat tidak meyakinkan kami yang menontonnya.   


Filem Ode to Joy ini sebenarnya mampu pergi lebih jauh dari sudut humor mahu pun drama namun kami melihat intipati kisah filem ini sebenarnya tidak memanipulasikan kisah berkaitan penyakit Cataplexy ini dengan sepenuhnya. Kami juga merasakan elemen romantis yang ada di dalam filem ini tidak dihamparkan seluas mungkin. Masalahnya disini ialah ia bukannya dilihat berada dalam keadaan seimbang tetapi kedua-dua elemen ini sebenarnya tidak cukup untuk menyatu antara satu sama lain. Walaupun filem ini menghiburkan namun ia adalah sangat merugikan apabila kisah tentang penyakit Cataplexy serta elemen humor dan romantis ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya kerana kami percaya filem ini sepatutnya mempunyai lebih daya penarik jika hal-hal ini diberikan fokus utama.


Filem Ode to Joy yang mengambil inspirasi daripada sebuah kisah benar ini berjaya membawa mesej yang baik terutamanya berkaitan pertemuan, cinta dan jodoh. Menarik untuk melihat bagaimana watak Charlie yang sehabis mungkin cuba mengelak keinginannya untuk bahagia namun akhirnya bertemu cinta sejati. Kami suka untuk melihat kategori cinta yang melibatkan Charlie dan Francesca ini yang boleh diklasifikasikan sebagai cinta platonik yang sememangnya mementingkan kasih sayang dan bukannya kepada unsur tarikan seksual yang dilihat tidak wujud pada perhubungan pasangan ini. Secara keseluruhannya, filem Ode to Joy merupakan sebuah filem komedi romantik yang masih menarik untuk ditonton disebabkan bahasa filemnya yang unik walaupun ianya bukan lah sebuah karya yang teragung. 


Jadi, selamat menonton filem Ode to Joy di pawagam terpilih bermula pada 19 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Kami Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Kami Sendiri Sudah Lama Nantikan Iaitu Filem Motif. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan