Review Filem Dolittle


Filem:
Dolittle

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Stephen Gaghan

Genre:
Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Robert Downey Jr., Antonio Banderas, Michael Sheen, Emma Thompson, Rami Malek,
John Cena, Kumail Nanjiani, Octavia Spencer, Tom Holland, Selena Gomez 
& Etc.

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
23 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini yang diangkat dari naskhah "The Voyages of Doctor Dolittle" karya Hugh Lofting ini mengisahkan mengenai seorang lelaki yang mampu berkomunikasi dengan haiwan. Selepas kehilangan isterinya yang mati akibat bot karam di laut membuatkan dia mengasingkan dirinya daripada manusia. Namun, satu kejadian telah berlaku dimana permaisuri telah jatuh sakit menyebabkan Dr Dolittle perlu mencari penawar untuk menyelamatkan baginda. Maka bermulalah pengembaraan Dr Dolittle ditemani oleh haiwan-haiwan serta pelatihnya. Saksikan filem pengembaraan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem dari Hollywood berjudul Dolittle bertempat di TGV Cinemas The Mines pada 26 Januari 2020 yang lepas. Filem ini mendapat kritikan yang cukup negatif daripada ramai pengkritik luar negara serta di Malaysia sendiri. Pada masa yang sama, sebahagian penonton filem ini pula memberikan pujian yang menggunung juga kepada filem lakonan Robert Downey Jr. ini. Jadi, kami mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem ini dan hasil pandangan kami adalah seperti di bawah.


Masalah utama filem  Dolittle ini dapat dilihat kepada dua perkara utama iaitu plot cerita serta pengucapan dialog pelakon utamanya. Menyentuh tentang plot cerita, hal utama yang pastinya membuatkan kami tertanya-tanya sehingga kini ialah apa kaitannya seorang doktor haiwan dengan masalah penyakit yang dihidapi oleh seorang permaisuri diraja sehingga Dr Dolittle ini diminta untuk datang menghadap dan kemudian perlu mencari buah ajaib untuk merawat si Ratu tersebut. Jawapannya tiada! Selain itu, disebabkan terdapat begitu banyak haiwan-haiwan berdekatan Dr Dolittle yang mengalami masalah identiti seperti beruang kutub yang takutkan sejuk serta gorilla yang takutkan manusia, sekali lagi ia membuatkan jalan cerita filem ini seperti tangkap muat semata-mata untuk mencetuskan unsur humor kepada penceritaannya tanpa ada pencerahan kepada watak-watak haiwan ini dengan jelas. Masalah kedua pula ialah slanga pertuturan pelakon Robert Downey Jr yang sedikit menganggu kerana kepekatan slanga Welsh yang seperti terlalu dibuat-buat. Menyedihkan!


Apa yang membuatkan filem Dolittle ini menarik untuk ditonton? Ianya disebabkan oleh imej janaan komputer CGI yang sangat realistik di dalam menghasilkan haiwan-haiwan yang mengikuti pengembaraan Dr Dolittle ini. Filem ini telah berjaya mengangkat watak-watak haiwan ini untuk diterima ramai namun tanpa sedar telah membenamkan watak-watak manusia sebenar ke dalam teras bumi tanpa mereka sedari. Robert Downey Jr sama sekali gagal di dalam memberikan satu wajah baru kepada watak Dr Dolittle ini dimana kegilaan yang cuba disuntik masuk ke dalam wataknya menemui jalan buntu. Ia kelihatan seperti acuh tidak acuh sahaja yang menjadikan watak Dr Dolittle ini kelihatan sangat mendatar. Permainan emosi antara Dr Dolittle dan pelatihnya juga dilihat tidak menjadi seperti yang diharapkan. Segala-galanya kelihatan seperti menemui jalan buntu.


Walaupun begitu, filem Dolittle ini bukan lah sebuah filem yang terlampau suram. Masih wujud elemen komedi serta pengembaraan imaginasi yang mampu memberi tarikan terutama kepada kanak-kanak serta sebahagian golongan dewasa yang meminati kisah-kisah pengembaraan fantasi sebegini. Walaupun ada beberapa lawak slapstik yang digunakan seperti gagal menuju tepat ke jiwa penonton namun filem ini masih mampu untuk membuatkan sebahagian penonton ketawa kegirangan melihat pengembaraan Dr Dolittle dan haiwan-haiwannya. Ianya bukan sebuah filem yang menarik dan ianya juga bukan lah sebuah filem yang menuju ke lembah hina. Cuma ia berada di pinggiran lembah dan hanya menanti waktu untuk rebah dan jatuh menuju ke dasar lembah tersebut.


Jadi, selamat menonton filem Dolittle di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 23 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Cukup Menarik Berjudul M4M4 (MAMA). Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Menyesal tgk ni semata2 nak tgk downey jr. Taik nya citer. Uwaaaa

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      sabar-sabar
      tapi haiwan-haiwan dia kira penyelamat lah kan?
      hahaha

      Padam
    2. hehehe...
      yups
      4/10 kira okay lah kan?

      Padam