Review Filem Hitman: Agent Jun


Filem:
Hitman: Agent Jun

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Choi Won-Sub

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Kwon Sang-Woo, Jung Joon-Ho, Hwang Woo Seul Hye, Lee Yi-Kyung & Etc.

Pengedar:
ATriNaga Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
20 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Joon yang pernah berkhidmat sebagai ejen pembunuh upahan bagi NIS. Tetapi, dia telah meletakkan jawatan dengan caranya yang tersendiri bagi meneruskan impiannya menjadi penulis komik web. Namun, dia bergelut untuk menerbitkan kandungan baru selepas komik webnya kurang mendapat sambutan. Pada suatu malam, dia berasa tertekan selepas membaca komen-komen berbaur kecaman terhadap karyanya sehingga menyebabkan dia mendapat idea untuk menulis tentang pengalamannya sebagai seorang ejen NIS. Namun, dia mulai berdepan dengan masalah besar apabila hasil penulisannya mengandungi maklumat rahsia tentang NIS. Joon kini bukan sahaja diburu oleh pasukan NIS tetapi juga oleh musuh-musuh lamanya yang ingin membalas dendam. Apakah yang bakal dilakukan oleh Joon? Saksikan filem aksi yang sangat menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda pada 20 Februari 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak ATriNaga untuk menghadiri tayangan filem Korea berjudul Hitman: Agent Jun yang berlangsung dengan meriahnya di TGV One Utama pada 17 Februari 2020 yang lepas. Filem yang telah mencipta fenomena di Korea Selatan apabila bilangan penonton melepasi 1 juta orang pada tayangan hari kelimanya ini wajar diberikan pujian kerana ia membawakan satu konsep yang cukup segar dimana gabungan antara dunia komik dan dunia nyatanya sememangnya menjadi dan tampak cukup menarik untuk ditonton sejak permulaan cerita sehingga kepada pengakhirannya yang penuh dengan lawak jenaka.


Filem Hitman: Agent Jun ini dimulakan dengan pengenalan terhadap watak Agent Jun dimana naratif kisahnya memaparkan perihal serta sikap sebenar Agent Jun sejak kecil yang pada asalnya ceria, berani dan gemar melukis sebelum dilatih secara paksa oleh pasukan NIS untuk menjadi pembunuh upahan selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat sebuah kejadian kemalangan. Teras utama filem ini adalah berkaitan dengan minat Jun terhadap melukis dimana dirinya menganggap melukis merupakan satu terapi yang cukup baik buatnya untuk melupakan segala kesedihan, kebencian atau perkara-perkara yang dia tidak sukai. Dari sini sahaja kita dapat melihat bagaimana Jun melupakan rasa sedih terhadap kematian ibu bapanya, menghilangkan rasa benci terhadap ketua NIS yang memaksanya menjadi pembunuh upahan serta menghidupkan hatinya yang kering disebabkan melakukan pembunuhan dengan mewarnakannya dengan tona-tona ceria melalui melukis.


Walaupun filem Hitman: Agent Jun ini meninggalkan kelompongan cerita yang agak besar tentang kisah awal isteri dan anaknya terutama dari sudut bagaimana pertemuan Jun dan isterinya boleh berakhir dengan perkahwinan disebabkan pekerjaan Jun yang tidak jelas namun ianya diselamatkan oleh kekuatan unsur humor serta olahan penceritaan berdasarkan gabungan visual realiti dan adegan komedi yang cukup kreatif untuk memastikan tempo filem ini sentiasa mencanak naik. Minatnya melukis untuk webtoon sememangnya menjadi teras yang sangat penting di dalam menjadikan filem ini benar-benar menghiburkan dengan gaya yang asli. Bukan sekadar itu sahaja kekuatannya malahan aspek-aspek lain seperti sinematografi, hasil kerja kamera, koreografer aksi, color grading filem yang sempurna serta suntingan yang kemas betul-betul membantu filem ini untuk sentiasa kekal relevan di mata para penontonnya. 


Filem Hitman: Agent Jun ini juga seperti mana filem-filem Korea yang lain sememangnya tidak lari daripada menyampaikan mesej serta kritikan-kritikan sosial di dalam kisah penceritaannya. Syukur kerana ia berjaya disampaikan dengan gaya yang bijak dan semestinya santai mengikut formula yang sudah sedia dipakai sebelum ini di dalam mana-mana karya hebat negara tersebut. Antara yang menarik perhatian adalah kritikan terhadap cara seorang kanak-kanak itu dididik atau dibentuk mengikut acuan ibu bapa atau penjaganya dengan cara diktator dimana kanak-kanak atau remaja ini langsung tidak berhak menentukan haluan hidup mereka. Sebaliknya mereka perlu menurut segala arahan dan perintah daripada ibu bapa atau penjaga mereka yang dikatakan berhak terhadap diri mereka atas alasan 'berhutang nyawa dan budi'. Kami merasakan kritikan ini agak menarik dimana perkara ini sememangnya kerap kali berlaku dimana-mana sahaja negara yang mana sesebuah keluarga itu mempunyai suami isteri serta anak. Selain itu, kritikan yang turut mencuri perhatian kami ialah berkaitan dengan strata jawatan, pangkat atau bidang kuasa di dalam sesebuah organisasi atau tempat kerja dimana sering berlaku apabila golongan atas enggan menerima pendapat, cadangan atau mendengar kritikan daripada golongan bawahan. Filem ini bijak memaparkan bagaimana ketua kumpulan pihak protagonis sentiasa merasakan bahawa kebenaran sesuatu perkara hanya layak ditetapkan jika ianya dipersetujui oleh diri mereka walaupun hakikatnya mereka sendiri sedar bahawa keputusan yang dibuat adalah salah. Walaupun ianya disampaikan secara santai namun motifnya jelas dan cara penyampaiannya di dalam bentuk visual dengan suntikan humor membuatkan filem ini menjadi sangat indah dan memukau.


Filem Hitman: Agent Jun ini juga dipenuhi dengan elemen-elemen kekeluargaan dan persahabatan yang sememangnya menjadi resipi wajib yang sentiasa menjadi apabila diguna pakai di dalam filem-filem dari Korea Selatan ini. Secara keseluruhan, kami sangat bersetuju untuk mengatakan filem aksi komedi ini sememangnya sangat menarik dan menepati kualiti pelbagai aspek teknikal seperti mana yang kami sebutkan di dalam ulasan ini. Komedinya cemerlang! Olahan ceritanya kreatif! Nilai-nilai murninya bersatu baik dengan kritikan sosial terhadap masyarakat! Teknikal filemnya padu! Senang kata anda memang wajib menonton filem ini di pawagam terdekat kerana ia sangat berbaloi untuk anda laburkan wang bagi membeli tiket untuk menonton filem yang begitu menghiburkan ini.


Jadi, selamat menonton filem Hitman: Agent Jun di pawagam berdekatan anda pada 20 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Cukup Menarik Dan Syurga Buat Pencinta Haiwan Iaitu The Call Of The Wild. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Saya tonton film ini selepas Hans beri ulasan yg tinggi. Ternyata film ini amat menarik sekali. Kombinasi antara Anime dgn Live Action amat bijak. Konflik Jun dgn org disekelilingnya amat kelakar dan tidak membosankan. Peminat film Korea wajib tonton. TQ Hans...

    BalasPadam