Review Filem Nasi Lemak 1.0

 

Filem:
Nasi Lemak 1.0 

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Namewee

Genre:
Komedi & Fantasi

Pelakon:
Namewee, AC Mizal, Saiful Apek, Delimawati, Wak Doyok,
Karen Wong, Yassin, David Arumugam, Yumi Wong SK & Etc.  

Pengedar:
MIG Beats Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
27 Januari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Chef Huang yang sedang berusaha mencari resipi nasi lemak terbaik yang boleh digunakan olehnya untuk berlawan dengan pesaingnya yang merupakan seorang chef terkenal dari China bernama Lan Ciao dan Gong Xining. Namun atas satu insiden semasa perlawanan secara tidak sengaja telah membawa Chef Huang pergi ke zaman Kesultanan Melayu Melaka pada 600 tahun yang lampau. Apakah yang berlaku seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Januari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Metrowealth (MIG) untuk menonton sebuah filem tempatan berjudul Nasi Lemak 1.0 yang berlangsung dengan meriahnya di Dadi Cinema Pavilion Kuala Lumpur pada 22 Januari 2022 yang lepas.

Menariknya tentang filem Nasi Lemak 1.0 ini ialah tentang jalan ceritanya yang boleh kami katakan agak kreatif dan menghiburkan. Seperti mana yang semua sedia maklum, pengarah Namewee sememangnya dikenali dengan caranya menyampaikan sesuatu kritikan di dalam filemnya dengan cara yang tersendiri dan berani. Jadi, kami dapat melihat pelbagai jenis bentuk kritikan sama ada secara sosial mahupun untuk kerajaan yang mana gabungan gaya sebegini dengan elemen humor boleh dikatakan agak menjadi.

Selain itu, kami juga memberi kredit untuk pemilihan lokasi, busana dan juga props yang sememangnya dilihat meyakinkan dan membantu untuk kami merasai era zaman kesultanan melayu Melaka yang cuba dipaparkan tanpa rasa terlalu kekok. Jika dilihat memang filem ini berjaya menampilkan sehabis baik dari setiap sudut untuk ketiga-tiga perkara di atas dan ianya wajar diikuti oleh mana-mana pengarah lain di Malaysia.

Kami juga menyukai hasil kerja kamera yang ada di dalam filem ini yang mana ianya berjaya membuatkan setiap adegan filem ini ditampilkan dalam pelbagai sudut. Boleh kami katakan bahawa sikap rajin untuk memilih shot terbaik ini juga adalah satu usaha yang cukup bagus dan membuatkan filem ini kelihatan ada nilainya yang tersendiri.

Namun, jika dilihat dari plot penceritaannya boleh kami nyatakan bahawa kami mempunyai pandangan yang agak berbeza. Ada sebahagian kisahnya yang kami boleh katakan ianya menjadi dan berjaya memberikan hiburan yang baik. Namun ada sebahagian kisahnya yang kami rasakan seperti terdapat pengulangan serta terdapatnya elemen-elemen seksual yang kurang menarik untuk diperkatakan. Mungkin ianya adalah kreativiti yang cuba ditampilkan pengarah mahu pun pihak produksi sendiri dimana ianya mungkin berkesan untuk sesetengah orang namun tidak untuk kami. Namun, secara keseluruhan filem ini masih mampu memberikan nilai hiburan dan mesej-mesej yang agak menarik untuk diperkatakan selepas keluar daripada panggung wayang. 

Jadi, selamat menonton filem Nasi Lemak 1.0 yang akan mula ditayangkan pada 27 Januari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Menarik Berjudul New Kung Fu Cult Master 1! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. pelakonnya bagus-bagus.
    pelakon yg dikenali.
    moga tayangan filem ni berjaya :)
    lama org awam tak ke panggung.

    BalasPadam