Review Filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness

 

Filem:
Doctor Strange In The Multiverse Of Madness 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Sam Raimi

Genre:
Aksi & Fantasi

Pelakon:
Benedict Cumberbatch, Elizabeth Olsen, Benedict Wong, Rachel McAdams,
Chiwetel Ejiofor, Xochitl Gomez & Etc.  

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
4 Mei 2022

Sinopsis:
Filem sekuel kepada Doctor Strange (2016) ini menampilkan kembali Doctor Strange yang kini di dalam usaha membantu seorang gadis bernama American Chavez yang diburu seekor jembalang yang ingin merampas kuasa gadis tersebut. Doctor Strange cuba mendapatkan bantuan daripada Wanda Maximoff. Namun, tanpa disangka Wanda telah diperdaya dengan kuasa kejahatan dan kini dikenali sebagai Scarlet Witch yang mula melakukan kekacauan di setiap alam lain. Mampukah Doctor Strange menyelesaikan kacau bilau yang tercetus ini? Saksikan filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness di pagawam bermula pada 4 Mei 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness pada 5 Mei 2022 yang lepas bertempat di GSC Aman Central. Asalnya kami telah menerima jemputan daripada pihak Walt Disney untuk menonton filem ini pada 6 Mei 2022 namun disebabkan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri maka memang kami menonton sendiri sahaja di Alor Setar, Kedah.


Disebabkan kesibukan bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri maka kami agak terlewat sedikit untuk berkongsi ulasan peribadi berkaitan filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness ini. Kami yakin pasti sebahagian besar peminat filem dan kaki wayang sudah selesai menonton filem ini paling tidak sekali dan semestinya sudah mengetahui pelbagai kejutan, kemunculan cameo serta watak-watak antagonis yang mungkin tidak disangka-sangka sebelum ini. Semestinya juga filem Marvel kali ini mencetuskan pelbagai pandangan yang berbeza daripada setiap penonton yang datang menyaksikan filem ini di pawagam sepanjang bulan ini. 


Kami secara peribadi sememangnya tidak membaca komik-komik Marvel dan berjaya mengelakkan 'spoiler' yang bersepah sebelum menonton filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness ini. Jadi, apa yang kami boleh nyatakan secara keseluruhan kami sangat berpuas hati dan menyukai filem ini yang boleh kami sifatkan sebagai unik, kreatif dan sangat menghiburkan. Walaupun durasi filem ini agak panjang iaitu sekitar 2 jam 40 minit namun ianya bagaikan langsung tidak terasa kerana momentum penceritaannya sentiasa bergerak pantas dan menampilkan pelbagai visual unik dan mengagumkan daripada bermacam-macam 'multiverse' yang dipaparkan. Semestinya kekuatan utama filem ini datangnya daripada segala aspek CGI dan grafik yang sememangnya berkualiti tinggi dan cukup mengasyikkan kerana ianya memang diluar jangkaan. Pujian harus diberikan kepada pihak produksi yang terlibat di dalam aspek ini.


Dari sudut kekuatan ceritanya, tidak dinafikan filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness ini masih meneruskan legasi filem-filem Marvel yang sedia ada dengan mengaitkannya dengan elemen humor serta kekeluargaan yang agak tinggi. Faktor ini secara tidak langsung sememangnya menguatkan lagi kekuatan jalan cerita yang sedia ada. Selain itu, lakonan pelakon Elizabeth Olsen yang membawakan watak Wanda dan Scarlet Witch sememangnya cukup menakjubkan dan wajar diberi penghargaan yang cukup tinggi. Ini adalah antara watak antagonis yang berjaya mengelirukan dan memecahkan sokongan penonton daripada 'menentang' dan 'membenci' watak ini secara keseluruhan. Lakonan hebat Elizabeth Olsen di dalam menzahirkan emosi dan gaya pemikiran kedua-dua watak yang dibawanya ini berjaya menagih simpati penonton untuk menyelami, bersimpati dan tidak membencinya seratus peratus. Memang hebat! 


Cuma sayangnya watak Doctor Strange adakalanya sedikit tenggelam disebabkan kewujudan watak Scarlet Witch yang cukup kuat dan seolah-olah mendominasi watak utama filem ini. Selain itu, kemunculan pelbagai multiverse yang tidak diperjelas dengan lebih teliti juga menyebabkan kehebatan dan keunikan hal ini gagal dieksploitasi sepenuhnya seperti mana yang dilakukan oleh filem Everything Everywhere All At Once. Selain itu, kemunculan cameo-cameo di dalam filem ini juga memberi dua impak yang berbeza. Kemunculan awal boleh dikatakan berjaya membuatkan kami sangat teruja namun pengakhiran watak-watak cameo ini boleh dikatakan agak mengecewakan kerana ianya ditamatkan dengan cukup pantas dan ringkas seolah-olah tiada langsung sebarang keistimewaan. Apa-apapun, kami boleh nyatakan filem ini sangat menghiburkan dan cukup menggembirakan untuk ditonton.


Jadi, selamat menonton filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness yang telah pun ditayangkan sejak 4 Mei 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Thriller Berjudul Memory! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Review yg dinanti²kan. Pada saya tuan director Sam Raimi telah berjaya mengolah satu film yg menarik dgn kreativiti dan trademark beliau sendiri. Sebagai pencetus film Marvel yg terawal dan berjaya, adalah pilihan terbaik Disney mengambil semula dia utk naikkan lagi momentum MCU akan datang. Jika anda memang tak follow Marvel series di Disney+ pon takpe, layan je film ni utk menyaksikan sebuah film hasil dari Sam Raimi... he's back!! Heheh...

    BalasPadam