Review Filem The Black Phone

 

Filem:
The Black Phone 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Scott Derrickson

Genre:
Seram

Pelakon:
Mason Thames, Madeleine McGraw, Jeremy Davies, James Ransone, Ethan Hawke & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
23 Jun 2022

Sinopsis:
Filem seram ini mengisahkan seorang budak lelaki berusia 13 tahun bernama Finney yang pemalu tetapi pandai. Dia diculik oleh seorang pembunuh kejam dan terperangkap di ruang bawah tanah kalis bunyi di mana walau sekuat mana Finney menjerit meminta tolong tapi ianya sia-sia sahaja. Apabila telefon yang terputus di dinding mula berdering, Finney mendapati dia boleh mendengar suara mangsa pembunuh sebelum ini. Dan mereka yang sudah mati cuba untuk memastikan bahawa apa yang berlaku kepada mereka tidak berlaku kepada Finney. Saksikan filem seram yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Jun 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem seram yang cukup menarik iaitu The Black Phone bersempena dengan tayangan media pada 21 Jun 2022 di GSC The Starling Mall


Filem The Black Phone ini menampilkan sebuah kisah seram yang agak misteri berkaitan dengan seorang penculik kanak-kanak yang digelar sebagai Grabber di kalangan anak-anak kecil di dalam cerita ini. Walaupun jalan ceritanya mempunyai sedikit kelompongan terutama berkaitan dengan motif sebenar mengapa kanak-kanak ini diculik namun ianya berjaya ditutup dengan kehebatan lakonan para pelakon kanak-kanak dan remaja di dalam filem ini yang cukup menakjubkan. 


Kami sememangnya cukup tertarik dan memuji lakonan pelakon utama filem The Black Phone ini iaitu Mason Thames yang memang betul-betul berjaya menjiwai wataknya yang menjadi mangsa buli di sekolah. Kami juga kagum dengan cara pelakon cilik ini bermain dengan emosi yang pelbagai yang mana setiap detik ketakutan mahu pun kesedihan saat diculik dan dikurung di dalam bilik bawah tanah yang menyeramkan itu betul-betul dapat dirasai oleh kami. Begitu juga dengan lakonan Madeleine McGraw yang turut menyakinkan di dalam filem The Black Phone ini


Kami pada mulanya agak risau apabila mendapat perkhabaran bahawa filem The Black Phone ini menggunakan elemen jumpscare di dalam adegan-adegan seramnya kerana teknik ini selalunya diguna terlalu berlebihan di dalam filem-filem seram Hollywood sehingga elemen seram itu kelihatan murah dan mengecewakan. Namun, tanggapan kami silap kerana teknik jump scare yang digunakan di dalam filem ini tidak terlampau banyak dan kemunculannya secara rawak memang berjaya mengejutkan kami dengan jayanya. 


Elemen mistik dan gore yang diguna pakai di dalam filem The Black Phone ini sehingga membuatkan filem ini diklasifikasikan untuk tonton 18 tahun ke atas juga agak unik dan menarik buat kami. Kami menyukai fungsi telefon hitam yang berdering tanpa ada sambungan wayar yang berjaya menambahkan suasana seram di dalam penceritaan filem ini sehingga kepada pengakhiran filem. 


Mesej-mesej tentang anti buli, jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali serta mencurigakan dan kepentingan hubungan positif ibu bapa dan anak menjadi antara intipati filem The Black Phone ini untuk menjadikan karya ini bukan sekadar sebuah filem seram yang kosong. Berbaloi untuk ditonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem seram The Black Phone yang bakal ditayangkan pada 23 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Komedi Dari Singapura Berjudul Ah Girls Go Army Again! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 


Catat Ulasan

1 Ulasan