Review Filem 65

Filem:
65

Penilaian:
5/10

Tiktok Review:

Pengarah:
Scott Beck & Bryan Woods

Genre:
Sains Fiksyen & Thriller

Pelakon:
 Adam Driver, Ariana Greenblatt, Chloe Coleman & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
9 Mac 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah pesawat penjelajah yang menghadapi kerosakan di angkasa lepas selepas merempuh gugusan komet dan terhempas di sebuah planet yang tidak dicartakan di dalam sistem. Planet tersebut merupakan Bumi pada 65 juta tahun yang lampau. Penjelajah yang terselamat di dalam insiden tersebut cuma juruterbang pesawat iaitu Mills dan seorang kanak-kanak perempuan iaitu Koa. Mereka kini perlu mendapatkan bantuan dan mencari pesawat gantian yang berada di atas puncak bukit sambil berhadapan dengan haiwan gergasi seperti dinosaur demi kelangsungan diri. Berjayakah mereka untuk kembali ke planet asal? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Mac 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Sony Pictures Malaysia untuk menonton sebuah filem dari Hollywood iaitu 65 pada 7 Mac 2023 yang lepas di GSC The Starling Mall.


Kami secara jujurnya mengharapkan filem ini lebih baik daripada apa yang kami jangkakan namun ianya agak menghampakan dan jauh daripada apa yang kami ramalkan. Apabila bercerita tentang sebuah dunia yang dipenuhi dengan dinosaur maka tidak dapat ditepis bahawa majoriti penonton mengimpikan babak-babak epik akan berlaku melibatkan pertembungan antara manusia dan dinosaur itu sendiri. Filem ini menawarkan perkara tersebut namun apa yang mengecewakan dinosaur yang diketengahkan lebih kepada dinosaur kecil di dalam aksi-aksi yang dramatik. Bukannya tidak ada pertembungan antara manusia dan T-Rex di dalam filem ini namun ianya hanya seketika dan lebih kepada penghujung cerita. Jadi, ianya agak mengecewakan buat kami yang terlebih dahulu menyaksikan trailer filem ini yang lebih banyak menjual adegan dinosaur yang besar dan ganas.


Selain itu, filem 65 juga dilihat menawarkan plot penceritaan yang bersifat sehala yang sedikit membosankan. Tiada perkara yang mengujakan melibatkan watak Mills dan Koa yang boleh diingati. Sebaliknya secara mudah filem ini bergantung lebih kepada babak-babak thriller yang mencemaskan berbanding kekuatan jalan ceritanya yang boleh disifatkan lemah.


Namun, penghasilan visual bumi dan kehidupan yang ada pada 65 juta tahun yang lampau di dalam filem ini sememangnya masih boleh diberikan pujian. Ianya agak mengujakan dan setiap imej kelihatan sangat realistik. Kami rasa faktor ini sahaja yang membuatkan kami tertarik tentang filem ini selain babak aksinya yang boleh kami katakan lebih menghiburkan jika melibatkan makhluk dinosaur yang lebih besar dan ganas.


Jadi, jangan lupa untuk menonton filem 65 yang telah ditayangkan pada 9 Mac 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

0 Ulasan