Review Filem Hantu Kak Limah


Filem:
Hantu Kak Limah

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Mamat Khalid 

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Awie, Delimawati, Rab Khalid, TJ Isa,Sharwani,
Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim,
Ziema Din, Erra Fazira, Jue Aziz, DS Vida, Imuda & Etc 

Tarikh Tayangan:
8 Ogos 2018

Terbitan:
Infinitues Gold & Astro Shaw

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Husin yang kini sudah menetap di Kampung Pisang dan kini bekerja di kilang arang bersama rakan-rakan baiknya iaitu Yeh Sekupang, Wani dan Khuda. Ditakdirkan Khuda berkahwin dengan Kak Limah dan hidup bahagia namun satu kejadian misteri berlaku apabila Kak Limah telah ditemui mati dengan keadaan yang cukup menakutkan. Bermula daripada hari dimana mayat Kak Limah ditemui, seluruh penduduk Kampung Pisang mula diganggu oleh kelibat hantu Kak Limah. Jadi, Yeh Sekupang membawa Husin dan rakan-rakan yang lain untuk meminta bantuan kepada Encik Solihin yang merupakan seorang guru silat dan dikatakan mempunyai kemahiran menghalau hantu untuk menghentikan gangguan hantu Kak Limah. Pelbagai insiden lucu dan seram mula berlaku terhadap penduduk Kampung Pisang sepanjang mereka cuba menyelesaikan misteri kematian dan gangguan hantu Kak Limah ini. Untuk mengetahui punca sebenar gangguan hantu Kak Limah, jangan lupa saksikan filem yang sangat menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda.

Ulasan:

Filem Hantu Kak Limah sememangnya merupakan antara filem yang amat aku nanti-nantikan sejak aku tahu tentang kewujudan judul filem ini pada bulan Disember 2017 yang lepas. Sebelum ini aku berkesempatan menonton promosi filem ini di youtube dalam durasi lebih kurang 15 minit yang berakhir dengan babab Yeh Sekupang di dalam bilik air sebelum akhirnya aku berpeluang menonton keseluruhan kisah filem ini di TGV The Mines pada 8 Ogos 2018. Secara peribadi, aku sukakan cara pihak produksi mempromosi filem ini melalui youtube kerana mereka bijak memilih babak di minit terakhir yang membuatkan aku semakin tertanya-tanya apa yang terjadi seterusnya dan tidak sabar-sabar untuk menonton.


Seperti mana yang semua sedia maklum jika kalian menonton di youtube secara percuma untuk 15 minit terawal filem ini, pasti anda semua sedar bahawa plot cerita filem ini sebenarnya ringkas sahaja tetapi filem ini menjadi kuat dan hebat kerana kelincahan dan kekuatan para pelakon yang terlibat di dalam filem. Rata-rata mereka tidak kira sama ada pelakon utamanya, pelakon pembantunya, pak pacak mahu pun cameo sekali pun memang berjaya memberi lakonan yang sangat baik dan menghidupkan watak masing-masing. Secara tidak langsung mata aku yang menonton rasa puas kerana aku memahami setiap watak yang berfungsi dengan betul dan berkesan.


Siapa sangka lirik lagu 'enjit-enjit semua, siapa sakit naik atas' yang merupakan lagu rakyat terkenal di kalangan kanak-kanak ini sekali lagi memberi fenomena kepada peminat filem-filem berlatar belakang Kampung Pisang ini. Selepas kejayaan filem-filem sebelum ini seperti Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin Mon Jin Pakai Toncit, kemunculan filem Hantu Kak Limah ini bukan sekadar berjaya menyampaikan gabungan dua elemen kesukaan penonton Malaysia iaitu seram dan komedi tetapi juga berjaya memperkenalkan watak-watak baru yang sangat menghiburkan pada naskhah kali ini seperti Yeh Sekupang, Wani dan banyak lagi.


Aku suka dengan watak serta perwatakan Kak Limah lakonan Delimawati dalam filem Hantu Kak Limah untuk naskhah terbaru ini. Kalau sebelum ini Hantu Kak Limah yang bukan hantu pun sebenarnya dipaparkan di dalam keadaan lawak yang biasa-biasa sahaja. Namun, kali ini ia berlainan kerana watak ini tampil dalam keadaan kejahatan yang berjaya memberi debaran tetapi dalam masa yang sama masih berjaya mengekalkan identiti hantu Kak Limah sebelum ini yang sentiasa dalam keadaan selamba. Boleh dilihat pada babak Kak Limah mengganas di rumah Yeh Sekupang tetapi dalam masa yang sama keadaan seram itu masih mampu menghiburkan penonton dengan gaya berdiri dan pergerakan tangannya yang melucukan. Sama juga keadaannya sewaktu hantu Kak Limah mengganggu Nayan di klinik kesihatan dengan mematikan sumber bekalan elektrik. Boleh dilihat juga babak dimana hantu Kak Limah bersama dengan barisan pelakon utama yang sama-sama mencari kelibat dirinya di rumah Khuda.


Bagi aku, ada dua orang pelakon di dalam filem ini yang sangat berjaya memberi impak terhadap filem Hantu Kak Limah. Kedua-dua ini berjaya membantu memberi nilai tambah kepada unsur humor yang bukannya sedikit sepanjang filem ini bercerita kepada penonton. Salah seorang pelakon tersebut ialah Ropie yang memegang watak Nayan dimana dia sememangnya layak diberi pujian. Lakonan, dialog, mimik muka serta nada suara Ropie yang sangat bersahaja pasti akan buat penonton ketawa tanpa henti sepanjang kemunculan dia di dalam filem ini.


Pelakon kedua yang sangat memberi kesan di dalam filem ini ialah pelakon Rab Khalid yang memegang watak sebagai Yeh Sekupang di dalam filem ini. Pekat dengan loghat utaranya, tidak lekang dengan rokok panjang di mulutnya serta kelihatan dialognya seperti dalam keadaan spontan sememangnya membuatkan aku ketawa berdekah-dekah kerana unsur komedi yang datang daripada dia memang kena dengan selera tontonan aku. Sayangnya, bakat lakonannya hanya dapat ditonton sampai disini sahajab kerana Allahyarham telah pun meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Januari 2018 yang lepas. Al Fatihah untuk Allahyarham!


Menyentuh berkenaan kemunculan pelakon Zul Ariffin yang kali ini lari seratus peratus daripada forte dia yang lebih dikenali penonton dengan watak-watak romantik dan macho. Kali ini dia berjaya tampil dengan lakonan yang cukup lucu dan sangat selenga. Aku pada mulanya agak was-was adakah Zul Arifin ini akan memberikan lakonan yang akhirnya tergolong di dalam kategori syok sendiri tetapi sangkaan aku meleset kerana dia berjaya menyampaikan mesej lucu wataknya itu melalui dialog serta mimik mukanya yang mengenakan celak mata di dalam filem ini.



Tidak termasuk lagi dengan watak-watak Cameo yang walaupun muncul sekejap tetapi berjaya menggamatkan panggung dengan jayanya seperti kemunculan Erra Fazira, DS Vida, Mus May dan Imuda. Nak tahu kenapa panggung boleh jadi gamat? Itu kalian semua kena tonton sendiri di pawagam. Hehehe!



Salah satu perkara yang aku suka di dalam filem Mamat Khalid ialah kritikan sosial beliau terhadap masyarakat tempatan yang disampaikan secara bersahaja di dalam filem ini. Kritikan terhadap soal halal haram rezeki melalui dialog mesin kuda dan kedai vape yang disampaikan oleh watak Yeh Sekupang. Kritikan terhadap orang Melayu dari sudut perniagaan yang walaupun bukan semua tetapi masih ramai yang nak cepat kaya berbanding memberikan servis yang terbaik yang disampaikan melalui watak Nayan. Kritikan terhadap kebergantungan manusia kepada manusia sedangkan sepatutnya bergantung dan meminta kepada Allah yang disampaikan oleh watak Encik Solehin. Banyak lagi sebenarnya kritikan yang jika ditonton pasti anda akan perasan semua ini. 


Ada babak di dalam filem ini yang di ambil daripada filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu babak hantu jepun di dalam filem berjudul Pendekar Bujang Lapuk. Memandangkan filem P.Ramlee tersebut telah aku tonton beratus kali atau mungkin ribuan kali, jadi aku tidak merasakan babak itu memberi kekuatan kepada filem ini. Tetapi, menurut Mamat Khalid pula, dia hanya sekadar mahu memberi tribute kepada seniman hebat negara. Jadi, terserah kerana filem ini ialah karya dia. Cuma bagi aku kalau tak ada pun tak apa.



Biasalah kalau filem Mamat Khalid, salah satu elemen yang aku suka ialah dialog-dialognya yang memang lucu kalau dengar sepintas lalu tetapi sebenarnya membawa makna yang tersirat. Dialog serampang dua mata yang sememangnya merupakan kekuatan dan kelebihan di dalam mana-mana naskhah Mamat Khalid. Melalui watak yang dilakonkan Sabri Yunus dan Rab Khalid, aku dapat lihat dialog yang disampaikan sebenarnya memberi fokus kepada dunia politik yang bukan sahaja dituju kepada yang di atas tetapi sebenarnya kepada seluruh peringkat. Tak kiralah dari kampung, tempat kerja dan sebagainya sebenarnya isu-isu yang ditunjukkan itu memang sentiasa berlaku seperti peralihan kuasa ketua, jasa-jasa yang disumbangkan, melobi untuk kepentingan diri sendiri dan banyak lagi.



Salah satu sebab lain kenapa aku nak sangat puji filem Hantu Kak Limah ini ialah walaupun filem ini mempertaruhkan elemen komedi sebagai kekuatan utama namun elemen seramnya juga tidak diambil ringan kerana setiap aspek dalam mana-mana babak-babak seram yang dipertontonkan sentiasa menitik beratkan sinematografi, kesan bunyi serta pergerakan kamera yang sangat baik dan membantu menambah rasa seram tersebut.



Kesimpulannya, aku setuju filem Hantu Kak Limah ini perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia untuk ditonton di pawagam kerana lima sebab yang aku senaraikan di bawah :

1) Jalan ceritanya mudah difahami tetapi dialog-dialognya bukannya dialog bodoh yang tidak bermakna apa-apa. Jika dilihat dan difikirkan, setiap dialog itu mempunyai maksud tersirat yang sebenarnya berjaya menyindir sikap rakyat Malaysia sendiri daripada pelbagai sudut seperti kehidupan, budaya, sikap, politik, kepercayaan karut serta agama jika diamati betul-betul.

2) Gabungan komedi dan seram yang sangat menjadi dan berkesan kerana berjaya disampaikan dengan cukup baik oleh pelakon-pelakonnya. Kau boleh ketawa berdekah-dekah dan dalam masa yang sama juga kau akan rasa cuak. Hahaha!

3) Lakonan pelakon-pelakonnya memang hebat. Hebat yang dimaksudkan disini kerana hampir kesemua pelakonnya sama ada yang terkenal mahu pun popular sehinggalah yang kita tak pernah kenal atau tahu kewujudan mereka berjaya menyerlahkan watak masing-masing dan secara tak langsung menguatkan jalan cerita filem ini daripada awal hingga akhir .

4) Sinematografi filem ini menarik. Kesan bunyinya pun berpada-pada dan tidak sesekali memaksa penonton untuk cuba takut. Solekan hantu kak limah pun kali ini berjaya menimbulkan rasa seram kepada yang menonton.

5) Filem ini pasti tidak akan mengecewakan anda dan aku yakin anda tak akan bosan untuk menonton buat kali kedua mahu pun kali ketiga selepas ini kerana watak-watak di dalam filem ini memang sumpah kelakar dan poyo habis. Boleh dicakapkan dalam semua filem yang berkaitan dengan Kak Limah, filem Hantu Kak Limah ini adalah yang paling terbaik sekali antara semua!

P/S : Aku Masih Tak Boleh Move On Dengan Dialog Allahyarham Rab Khalid Berkenaan Stim. Serius Terhibur Betul Dengan Filem Hantu Kak Limah Nih :)

Catat Ulasan

54 Ulasan

  1. saya mmg tak minat filem atau drama melayu..
    tapi kalau cerita macam Man laksa, zombi kg pisang dgn hantu kak limah yg dulu..layan la jugak.
    rasanya mmg kena layan la yang ni jugak. :)

    BalasPadam
  2. Best jugak bila baca ulasan ni. Nak ke panggung macam tak sesuai lagi. Anak kecik lagi. Tunggu keluar tv je la.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe...nanti menangis pula anak dalam panggung tu

      Padam
  3. Balasan
    1. tengok jangan tak tengok
      pasti tak menyesal bayar duit tiket sebab filem ini sangat menghiburkan

      Padam
    2. ok..da tgok sbtu lepas..best mmg best.kelaka tp mcm emmm..xtau nk kate pe..klo yaya bagi rating cuma dlm 7/10 je..hukhuk

      Padam
    3. biasalah
      masing-masing ada selera tersendiri

      Padam
  4. Buah tangan Mamat Khalid mmg sentiasa dinanti..suka tgk Rab Khalid berlakon dan ininfilem terakhirnya kan..AlFatihah utk arwah

    BalasPadam
  5. Ternyata Zombi Kampung Pisang & Hantu Kak Limah Balik Rumah lagi best! Pada pendapat saya filem HKL 2018 barisan pelakon kurang mantap. Itu pendapat saya lah

    BalasPadam
    Balasan
    1. kita meraikan pendapat masing-masing
      untuk saya pula, saya menyatakan filem Hantu Kak Limah ini bagus bukan sekadar melihat kepada barisan pelakon tetapi juga hasil kerja kamera, sinematografi, solekan, props dan sebagainya yang menjadikan filem Hantu Kak Limah ini seperti art movie :)

      Padam
  6. hah..hah...memang lucu filem ni. PH tak tahan part bila Nayan first time tengok jenazah Kak Limah. Habis speaking England hah..hah... Dah lama tak tonton filem komedi Melayu dan sangat puas hati tengok filem ni. Very entertaining!

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      yang paling seronok masa dia jemput kak limah naik kereta dia
      "Wanginya Kak Limah..Bau macam F&N Oren."
      Hahahaha

      Padam
    2. Yang aku xmenahan tu , ropie punya dialog masa dia tgok jenazah kak limah ' oh mai god ,im speechless!' lepas tu dialog masa diorg pasang pagar ' who are her ?' who are they' adoi hai ropieee. Hahahaha.

      Padam
    3. hahahaha...lagi kelakar masa Ropie duduk berselimut atas katil tengah-tengah laki bini tu..hahaha

      Padam
  7. hahaha
    tengok kepada tahap keberanian anak-anak tu
    hahaha

    BalasPadam
  8. Review yg baik. Memang kelakar abis filem ni. Tak rugi tonton. Semua.pelakon dpt menghidupkan character mereka dgn baik. Dialog Yeh Sekupang mengenai stim tu memang lawak!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha
      muka dia selamba tak bersalah pun ucap benda tu
      haha

      Padam
    2. Sebagai seorang perempuan, mula-mula saya agak annoyed dengan dialog tersebut, dah kenapa ya asyik stim je? Kemudian saya tersedar itulah hakikatnya dalam masyarakat kita sekarang. Macam menakutkan jugak bila tersedar yang orang-orang yang cepat stim ni memang ada di kalangan masyarakat kita.

      Padam
    3. yups
      filem Mamat Khalid nih memang dalam melawak sebenarnya dia sampaikan mesej tersirat
      antara orang nampak dengan tak jer
      sebab tu bila ada wartawan akhbar cakap filem HKL nih hiburan kosong memang saya tak setuju

      Padam
  9. wah seronok lah dapat tengok tayangan perdana :)

    BalasPadam
  10. kalau sempat nak tengok minggu ni..

    BalasPadam
  11. semalam tengok memang tepat pilihan tu sebab dari awal lagi dah gelak. Tak sangka betul Zul boleh berlakon genre komedi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      itulah
      not bad juga dia berlakon komedi

      Padam
  12. saya suka cerita mamat khalid. cerita dia je saya bagi anak2 tengok sebab ada moral di sebalik cerita yg dipaparkan.kalau cerita melayu lain tu minta maaflah byk yang merapu.huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      ada juga filem2 tempatan lain yang bagus
      kena tengok pada pengarah dan syarikat produksi :)

      Padam
  13. baru je abis tengok hantu kak limah..jam 12.10 pagi.
    ni dalam perjalanan balik rumah..

    panggung kat alamanda
    dari awal hingga akhir, riuh gelak ketawa ...

    terbaik..

    kami sekeluarga follower filem mamat khalid..


    BalasPadam
  14. Lagu kat rumah encik solihin tu lagu apa ye?

    BalasPadam
    Balasan
    1. terlupa pula tapi lagu tu memang familiar dan hit zaman dulu

      Padam
    2. lagu Black Dog Bone - Hatiku Luka Lagi

      Padam
  15. Filem ni best...klu x xkn smpaii 9 juta dh kutipn bru brpe ary...dialog pling xle move on,mse kt bilik air.....baabbyyyyyy!!!

    BalasPadam
  16. uih depa mmg suka cite2 hantu :D kecoh aje dok sebut hantu kak limah jek. Thanks hans!

    BalasPadam
  17. Hahaha..memang masyuk citer HKL ni..saya dah tertengok 2x..mula2 tngok sendri, then kali ke-2 bwk family..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      patutlah dah nak cecah 30 juta
      tahniah kerana menyokong filem HKL :)

      Padam
  18. Best! semua enjoy the movie *thumbs up* haha..

    BalasPadam
  19. One of the best movie of the year. Really good.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      tahun nih banyak filem yang menarik dan bagus

      Padam
  20. Diebabkan filem HKL ni, anak-anak tak habis-habis menyanyi lagu joy oren joy apple sampai siap cari iklan jenama joy tu. Lepas tu suruh beli pula minuman tu. Ada lagi ke jenama Joy ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      rasa2 macam dah tak ada
      saya pun tak pasti

      Padam
  21. siapa tau tajuk lagu ghazal merdu yg didendangkan ketika mereka mendayung sampan pada awal tayangan filem

    BalasPadam