Review Filem Big Brother


Filem:
Big Brother

Penilaian:
6 / 10

Pengarah:
Ka-Wai Kam

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Donnie Yen, Joe Chen, Jack Lok, Kang Yu, Dominic Lam, Alfred Cheung,
Bruce Tong, Chris Tong, Gladys Li, Gordon Lau, Chaney Lin & Etc 

Tarikh Tayangan:
16 Ogos 2018

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Henry Chen yang tidak pernah berpengalaman menjadi seorang guru namun baru sahaja memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengan yang berdepan dengan sebuah krisis dimana kemungkinan besar sekolah tersebut akan ditutup oleh kerajaan pada tahun hadapan jika tidak mencapai piawaian yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan. Henry diminta mengajar sebuah kelas dimana kesemua pelajarnya sangat nakal dan langsung tidak berminat untuk belajar. Antara pelajar-pelajarnya yang cukup sukar mendengar arahan ialah Jack yang terkenal sebagai kaki gaduh, Bruce seorang remaja hiperaktif, Chris orang pemain tegar permainan video online, Gladys pelajar wanita yang tomboi serta Gordon yang merupakan pelajar kacukan India dan Pakistan yang minat menyanyi. Henry terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan yang berlainan dengan guru-guru lain untuk menarik perhatian pelajar-pelajarnya untuk berubah demi masa depan mereka. Dalam masa yang sama, Henry juga sebenarnya mempunyai  sejarah hitam dengan sekolah menengah tersebut. Adakah usaha Henry untuk mengubah anak-anak muridnya menemui kegagalan? Apakah rahsia besar Henry yang berkaitan dengan sekolah tersebut? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Filem Big Brother bukan sebuah filem aksi seperti mana filem IP Man yang berjaya melonjakkan nama Donnie Yen di kalangan rakyat Malaysia. Filem ini lebih memberi fokus kepada emosi, nilai kekeluargaan serta kritikan terhadap sistem pendidikan dan juga tenaga pendidik. 


Secara umumnya, filem ini bagi aku tiada banyak keistimewaan atau keunikan yang baru kerana sudah banyak kali aku menonton filem yang menyajikan kisah sekumpulan pelajar dan guru seperti yang terdapat di dalam filem ini. Ditambah pula dengan perjalanan plot ceritanya yang terlampau cepat kerana perlu memberi fokus kepada pengenalan dan pengembangan lima watak utama pelajar-pelajar di dalam filem serta dalam masa yang sama juga filem ini perlu merungkai siapakah Henry Chen dan musuh tradisinya yang saling berkait rapat dengan sekolah tersebut menyebabkan filem ini terlalu pantas untuk ditonton.


Setiap karakter pelajar ini mempunyai masalah tertentu yang sebenarnya agak menarik untuk dijadikan penyebab kenapa mereka menjadi nakal dan tidak berminat untuk belajar. Tetapi, sayangnya apabila masalah mereka ini terlalu mudah diselesaikan oleh Henry Chen yang merupakan guru kelas mereka tanpa ada sebarang halangan. Aku beranggapan ini adalah antara masalah utama filem ini kerana segala permasalahan begitu mudah sangat untuk diselesaikan dan membuatkan aku sebagai penonton tidak nampak akan kesusahan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh watak Henry Chen ini. Segalanya tampak mudah dan sangat anti klimaks bagi aku. Hahaha!


Filem ini masih bernasib baik kerana babak-babak aksi yang melibatkan Donnie Yen walaupun tidak banyak tetapi mampu memberi warna dan nyawa kepada perjalanan filem ini. Aksi pergaduhan di belakang tabir acara tinju @ gusti serta pergaduhan untuk membebaskan anak-anak muridnya daripada dihalang untuk mengambil peperiksaan sememangnya cukup menarik dan memberi kepuasan kepada penonton-penonton yang meminati aksi kungfu daripada Donnie Yen ini. 


Secara kesimpulannya, filem ini sebenarnya ada nilai-nilai yang bagus yang ingin dikongsikan. Aku suka cara filem ini mengkritik sistem pendidikan negara mereka melalui filem dan pada waktu yang sama juga menyindir sinis sebilangan tenaga pengajar yang pilih kasih dan hanya menghukum pelajar yang mereka anggap tiada masa depan berbanding memberi hukuman yang sama kepada pelajar yang pintar akademik sedangkan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar ini adalah sama. Disini juga sebenarnya ingin dipertontonkan bahawa setiap pelajar yang bermasalah ini sebenarnya mempunyai kisah hidup tersendiri yang menjadi penyebab kepada masalah disiplin mereka sama ada masalah dengan keluarga, kemiskinan, persekitaran hidup yang tidak sesuai serta masalah keyakinan diri mereka sendiri yang perlu dibantu oleh pihak ketiga.


Tiada manusia yang dilahirkan bodoh dan tidak bererti kegagalan di sekolah merupakan penamat kehidupan. Kejayaan di sekolah adalah bonus untuk masa hadapan. Sebagai seorang guru, filem ini mencabar tenaga pendidik untuk berani menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian anak murid mereka untuk belajar dan dalam masa yang sama mendidik juga segelintir golongan ibu bapa serta guru yang terlalu mengagung-agungkan gred kejayaan akademik yang ternoktah di atas helaian kertas ujian. Ini antara mesej yang aku boleh kongsikan yang aku nampak wujud di dalam filem ini. Masih sebuah filem yang menghiburkan. Jadi, selamat menonton!

P/S : Pada Pandangan Aku, Thailand Merupakan Negara Yang Bijak Dan Berani Menghasilkan Karya Berkenaan Kehidupan Pelajar Sekolah Melalui Drama Bersiri Atau Filem. 

Catat Ulasan

2 Ulasan